Memaparkan catatan dengan label Bolasepak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bolasepak. Papar semua catatan

Rabu, 23 Oktober 2013

Azimat Muadzar | TOK GAJAH

Oleh Mohd Rafi Mamat
Kuantan: Pengalaman Muadzar Mohamad selama 27 tahun menjaga gawang Tok Gajah akan dicurahkan sepenuhnya kepada Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid yang ditugaskan menyekat asakan jentera serangan Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, Sabtu ini.
“Sudah banyak ilmu saya curahkan kepada Khairul Azhan yang memiliki ciri-ciri seorang penjaga gol yang bagus, kini terpulang kepadanya untuk menterjemahkan pada aksi yang dijangka sengit Sabtu ini.
“Selain kemahiran menangkis asakan lawan yang pasti turun dengan misi menjaringkan seberapa banyak gol, turut diberi tumpuan ialah mengawal perasaan apabila berhadapan dengan pelbagai gelagat penonton tuan rumah,” katanya yang pernah menyarung jersi kebangsaan.

Muadzar yakin Mohd Khairul Azahan mampu memikul tugas berat mengawal gawang Pahang pada perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia terutama selepas berjaya membuktikannya di Stadium Darulmakmur, Sabtu lalu.

Foto
MUADZAR (kanan) memberikan nasihat kepada Khairul Azhan pada sesi latihan.
Katanya, untuk menjadi penjaga yang bagus, pemain perlu memberi sepenuh tumpuan kepada perlawanan, melihat pergerakan bola dan mampu bekerjasama dengan pertahanan.

“Saya harap dia dapat memikul tugas dengan sempurna bagi memastikan misi Pahang melangkah ke final Piala Malaysia musim ini menjadi kenyataan.

“Kepercayaan diberikan jurulatih perlu terjemahkan dengan aksi cemerlang andai dia ingin terus berjaya dalam kerjaya bola sepak tempatan,” katanya yang beraksi tiga kali bersama Pahang di separuh akhir Piala Malaysia.

Sementara itu, Khairul Azhan berkata, kepercayaan diberikan jurulatih Dollah Salleh akan diterjemahkan sebaik mungkin demi kejayaan pasukan.

Dia berterima kasih kepada Muadzar yang tidak jemu-jemu mencurahkan ilmu sejak mula tersenarai bersama skuad Tok Gajah musim ini.

“Banyak pesanan dicurahkan Muadzar yang berharap saya dapat beraksi lebih baik dan konsisten pada perlawanan Sabtu ini. 

“Jentera serangan lawan pasti menggunakan pelbagai helah dalam usaha menjaringkan gol bagi membuka peluang melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23sumber :  Hmetro

Selasa, 22 Oktober 2013

'Bayar balik' | TIKET BOLA

 Oleh Khairil S Iswan

'Bayar balik'
Sebahagian penyokong Kelantan tidak berpuas hati gagal memasuki stadium walaupun mempunyai tiket pada saingan separuh akhir di Stadium Selayang, Jumaat lalu.

FAM minta PBNP dan PBAT bereskan isu tiket separuh akhir dengan penyokong

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan penyokong yang sudah membeli tiket yang tulen tetapi tidak dibenarkan memasuki stadium ketika separuh akhir pertama Piala Malaysia minggu lalu boleh mengemukakan tuntutan kepada persatuan negeri yang mengeluarkan tiket berkenaan untuk mendapatkan semula wang mereka. 

Pengerusi jawatankuasa tiket dan pintu  FAM berkata badan induk itu tidak terbabit dalam urusan mencetak dan menjual tiket pada perlawanan berkenaan kerana ia adalah tanggungjawab persatuan negeri. 

Ia tanggungjawab persatuan negeri untuk menyelesaikan masalah itu. Pada pandangan saya, jika benar penonton itu sudah membeli tiket yang tulen dan tidak dapat masuk stadium menyaksikan perlawanan berkenaan, persatuan negeri terbabit harus bertanggungjawab." Datuk S Sivasundram, Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM

“Ia tanggungjawab persatuan negeri untuk menyelesaikan masalah itu. Pada pandangan saya, jika benar penonton itu sudah membeli tiket yang tulen dan tidak dapat masuk stadium menyaksikan perlawanan berkenaan, persatuan negeri terbabit harus bertanggungjawab.

“Jadi, mereka perlu memulangkan semula wang penyokong yang membeli tiket berkenaan,” katanya dihubungi semalam.

Terdahulu, kekecohan meletus dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Tentera dan Kelantan di Stadium Selayang Jumaat lalu apabila ramai penonton yang sudah membeli tiket tidak dibenarkan memasuki stadium menyaksikan perlawanan kerana ia sudah penuh.

Malah, kejadian itu berulang ketika perlawanan antara Pahang dan Sarawak di Stadium Darul Makmur dan lebih malang ia membabitkan peminat Sarawak yang sudah mengeluarkan perbelanjaan tinggi untuk datang ke Kuantan semata-mata untuk menyaksikan perlawanan itu. 

FAM hanya cetak tiket final saja: Sivasundram

Sivasundram berkata, pihaknya memandang serius kekecohan membabitkan isu tiket pada kedua-dua perlawanan itu dan memberi amaran kepada kedua-dua tuan rumah aksi timbal balik - Kelantan dan Sarawak - jangan sampai situasi sama berulang.

Menurutnya, pihaknya sudah meminta laporan daripada Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengenai kejadian itu untuk diteliti pada mesyuarat khas.

“Ia kejadian yang memalukan dan persatuan negeri harus bertanggungjawab di sebalik kekecohan yang berlaku itu. Apa yang dikesalkan, FAM turut menjadi sasaran kemarahan penyokong sedangkan kami hanya bertanggungjawab mencetak dan menjual tiket hanya untuk aksi final.

“Kami juga harap ia tidak berlaku lagi pada separuh akhir kedua Jumaat dan Sabtu ini. Kami harap Kelantan dan Sarawak perlu bijak menangani isu limpahan penyokong dan mereka perlu faham kehadiran penonton adalah perkara nombor satu yang perlu ditekankan,” katanya.

Memori 1997 gamit 'Abang Jalal'

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Jalaluddin Jaafar (kiri) berdepan pemain Perlis, Mohd. Nazaruddin Zain ketika beraksi pada suku akhir kedua Piala Malaysia 2004 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
 KUALA LUMPUR - Jalaluddin Jaafar merupakan satu-satunya tonggak utama skuad final Piala Malaysia 1997 Pahang yang masih membarisi pasukan Tok Gajah ketika ini, justeru tidak hairanlah dia amat mengimpikan untuk mengulangi detik itu apabila berdepan Sarawak pada separuh akhir kedua, Sabtu ini.

Anak jati Pekan, Pahang itu adalah pemain yang paling setia bersama skuad Tok Gajah.
Beraksi di posisi bek kanan, Jalaluddin sentiasa bersama pasukan negeri kelahirannya di kala senang atau susah sepanjang 16 tahun.

Masih gagah pada usia 38 tahun, Jalaluddin memang layak menjadi kapten kerana dia satu-satunya pemain yang tahu bagaimana pengalaman beraksi di pentas akhir kejohanan berprestij itu.

Bagaimanapun pengalaman terakhir Jalaluddin tidak menggembirakan. Dia yang membuat penampilan sulung di pentas akhir Piala Malaysia pada 1997 gagal membantu Pahang muncul juara selepas tewas 0-1 kepada Selangor.

Sejak detik itu, Pahang tidak pernah menjejak kaki ke final, biarpun pada 2004 mereka digelar ‘Real Madrid’ Malaysia kerana kemampuan memikat ramai pemain berstatus bintang. Piala Malaysia terakhir yang dimenangi Tok Gajah kekal pada 1992.

Sudah memberi bayangan mahu bersara pada hujung musim ini, Jalaluddin atau lebih mesra disapa ‘Abang Jalal’ bagaimanapun memasang impian untuk mengakhiri karier dengan membantu Pahang menjulang Piala Malaysia.

Kejuaraan berprestij itu adalah satu-satunya piala yang tidak pernah dimenanginya sepanjang bergelar pemain bola sepak.

Kemenangan 3-1 yang dilakar ke atas Sarawak pada separuh akhir pertama minggu lalu menjadikan dia cukup bersemangat untuk mendekati pentas akhir.

‘‘Setelah sekian lama, inilah detik terbaik buat Pahang bangkit kembali dalam saingan bola sepak Malaysia dan saya teruja mahu beraksi di perlawanan akhir buat kali kedua selepas 1997.

‘‘Enam belas tahun menanti, memang satu tempoh yang lama, namun ia akan menjadi saat yang indah jika kami mampu mempertahankan kelebihan yang ada pada pertemuan di Kuching, Sabtu ini.

‘‘Memang luar biasa saya rasa semangat yang dimiliki kali ini. Kalau kami boleh kekal kecemerlangan di Kuching, bukan saja final, malah kami ada potensi untuk muncul juara," katanya.

Jalaluddin yang merupakan produk akademi bola sepak Pahang tidak pernah beraksi dengan negeri lain, kecuali dipinjamkan ke kelab yang berpengkalan di negeri yang sama, Shahzan Muda pada 2009.

Sepanjang bersama Pahang, dia berjaya meraih gelaran Liga Perdana pada 1999, Liga Super 2004 dan serta Piala FA pada 2006.

SUMBER :
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...