Rabu, 11 Disember 2013

Guna duit saman bantu mangsa banjir


KUALA LUMPUR 11 Dis. - Pelakon Rebecca Nur Al-Islam bakal mendermakan keseluruhan wang berjumlah RM11,200 yang diterima hasil memenangi saman terhadap pengarah dan penerbit, Erma Fatima kepada mangsa banjir di Kuantan, Pahang dan pihak lain yang memerlukan.

Ujar Rebecca, pihak peguamnya memberitahu, pihak Erma telah pun membayar baki bayaran lakonan seperti yang diperintahkan pihak mahkamah sebelum ini, semalam. Erma sekali lagi mencetuskan rasa kecewa Rebecca apabila menjelaskan saman berkenaan dengan wang bernilai RM1.

"Saya tidak tahu mengapa dia berbuat demikian, mungkin ini membuktikan dia masih tidak ikhlas mahu melakukan pembayaran mengikut arahan mahkamah. Bagaimanapun untuk tidak memanjangkan lagi kes ini, saya terima.

"Kini saya dalam perjalanan ke Kuantan untuk membantu mangsa-mangsa tragedi banjir di sana dengan menggunakan duit tersebut," ujarnya yang telah membeli barang-barang seperti makanan dan keperluan harian asas.

Pada 8 November lalu, Mahkamah Majistret memerintahkan Erma membayar sebanyak RM11,200 sebagai baki bayaran lakonan Rebecca dalam drama arahan pengarah itu, Dejavu di Kinabalu.
Terdahulu, Erma telah membuat bayaran tersebut dengan wang syiling lima sen yang disertakan dengan senaskhah al-Quran tetapi ditolak Rebecca setelah mendapatkan nasihat daripada pihak peguamnya. - UTUSAN ONLINE

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...