Jumaat, 7 Ogos 2015

MH370 | ‘Jika jumpa sehelai baju pun jadilah...’


Bera: Bapa kepada salah seorang mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370, Selamat Omar, 62, terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengesahkan penemuan 'flaperon' di Pulau Reunion, adalah milik pesawat malang itu.

Menurutnya, penemuan itu adalah di luar jangkaan kerana kedudukan flaperon itu dari lokasi sebenar pesawat itu disahkan terhempas iaitu di Selatan Lautan Hindi lebih setahun lalu adalah terlalu jauh.

"Ini memang di luar jangkaan...sebab ia terlalu jauh dari lokasi sebenar pesawat itu dikatakan terhempas.

"Namun saya tetap menerima ini sebagai takdir...Usaha pencarian bukti-bukti lain akan diteruskan oleh kerajaan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama di kediamannya di Felda Bukit Mendi di sini, hari ini.

Selamat adalah bapa kepada mangsa Khairul Amri Selamat, 29.

Selamat berkata, dengan penemuan bukti terbaru itu mungkin sedikit sebanyak memudahkan usaha pencarian bukti-bukti lain termasuk barangan peribadi milik mangsa.

"Sekurang-kurangnya jika jumpa sehelai baju pun jadilah, ia untuk memberi keadilan kepada keluarga mangsa yang masih berharap agar mayat atau jenazah mereka dijumpai," katanya.

Pesawat MAS Penerbangan MH370 yang membawa Mohd Khairul Amri bersama 226 penumpang lain bersama 12 anak kapal ke Beijing, China hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lalu.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. Bernama

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68705#sthash.66RQbxob.dpuf

Selasa, 14 Julai 2015

MH17 (SEDIH) | Jelmaan jiwa ‘dada’


Putrajaya: “Kerinduan terhadap arwah suami terubat apabila melihat minat dan tabiat Abderrahman seakan-akan mewarisi perlakuan Allahyarham,” luah Sharifah Asma’a Syed Alwi Al Junied, 30, isteri pembantu juruterbang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 Ahmad Hakimi Hanapi.

Ibu tunggal itu berkata demikian ketika menceritakan perkembangan terkini diri dan anak tunggalnya, Abderrahman yang bakal menginjak usia dua tahun pada 20 Oktober depan.

Sharifah Asma’a berkata, dia juga sering rindukan kenangan bersama arwah suami lebih-lebih lagi melihatkan wajah anak seiras suaminya.

“Dari segi cara tidur, pilihan makanan, wajah, malah banyak persamaan Abderrahman dengan ayahnya yang dipanggil ‘dada’.

“Tidak tahulah sama ada jika dia membesar, akan ada perubahan, namun saya menemui sesuatu yang dekat dalam hati sebagai mengubat rindu,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Katanya, memori dan kenangan mengenai arwah muncul kembali dan tiada apa yang boleh menghalangnya untuk terus mengingati Allahyarham.

“Bagaimanapun, saya juga sedih kerana pada masa sama merindui ‘separuh jiwa’ saya yang lain untuk berkongsi kegembiraan melihat anak lelaki kami membesar,” katanya.

Bagi memastikan Abderrahman sentiasa mengingati bapanya, Sharifah Asma’a akan menunjukkan gambar dan video suaminya dan bercerita mengenai Allahyarham kepada anaknya setiap hari.

“Setiap hari saya tunjuk gambar dan video dan bersembang mengenai Allahyarham. Faham atau tidak itu tidak mengapa asalkan dia sentiasa ingat kepada arwah.

“Dia tengok gambar pada telefon dan menciumnya sambil memanggil ‘dada’. Malah, apabila melihat kapal terbang, dia akan tunjuk dan memanggil ‘dada’,” katanya.

Tatkala ditanya ketabahan menghadapi kehidupan selepas setahun kehilangan suami tercinta, Sharifah Asma’a mengakui, kebanyakan orang beranggapan dia sangat kuat mengharungi dugaan berkenaan.

“Orang cakap saya kuat sebab nampak dari luar, namun mereka tidak tahu dalaman macam mana. Selepas ada anak hanya satu pilihan yang saya ada iaitu menjadi kuat...Nak tak nak, perlu hadapi kehidupan seperti biasa,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/64211#sthash.DQszZsqv.dpuf

Budak setahun cedera digigit anjing


Jasin: Keadaan kanak-kanak lelaki yang cedera kedua-dua belah paha akibat diserang anjing di Taman Kesang Damai, Jasin, Sabtu lalu, kini stabil selepas dimasukkan ke Hospital Melaka pada hari kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Muhammad Aiman Shah Iskandar Saiful berusia setahun tujuh bulan, dikatakan sedang bermain di luar pagar rumahnya.

Sumber berkata, ketika itu pemilik anjing berkenaan membawa haiwan berkenaan keluar untuk bersiar-siar.

"Namun anjing itu dipercayai terlepas dan menerkam mangsa dan mengheret kanak-kanak itu sejauh 10 meter.

"Tindakan pantas pemilik haiwan itu yang membantu melepaskan gigitan anjingnya pada mangsa menyelamatkan kanak-kanak terbabit daripada mengalami kecederaan lebih parah," katanya.

Akibat kejadian itu mangsa mengalami luka akibat gigitan yang serius pada paha kiri dan kanan tetapi kini dilaporkan stabil dirawat di wad kanak-kanak Hospital Melaka.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/64074#sthash.9D9nK2F2.dpuf

Isnin, 13 Julai 2015

Facebook PDRM kena HACK



Kuala Lumpur: Laman Facebook (FB) rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) diceroboh penggodam yang menggelarkan diri sebagai AnonGhost, 2.23 petang tadi.

Tindakan menggodam laman Facebook itu dipercayai ada kaitan dengan kumpulan ISIS, berdasarkan beberapa gambar yang dimuat naik.

Difahamkan, selain laman Facebook, penggodam turut menceroboh laman Twitter milik PDRM namun berjaya dipulihkan.

Penggodam dikesan menukar gambar profil laman FB milik PDRM itu dengan menunjukkan individu mengibar bendera yang tertulis 'Khilafah Has Returned'.

Selain itu, beberapa status dan gambar lain turut dimuatnaik antaranya bertulis 'AnonGhost Was Here' dan 'Viva Islamic State' dengan gambar sekumpulan lelaki memegang senjata.

Sehingga 4 petang tadi, maklumat penggodam masih dipaparkan di laman FB itu.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/64055#sthash.yF5os9of.dpuf

KES LOW YAT | ‘Lebih ditokok tambah’




Kuala Lumpur: Peguam bela bagi tiga remaja lelaki yang direman susulan kekecohan di Plaza Low Yat Sabtu lalu memberitahu hanya 30 peratus daripada dakwaan yang menjadi viral adalah benar manakala selebihnya ditokok tambah untuk mendapat perhatian ramai.

Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, dalam pertemuan bersama dua remaja yang direman sehingga esok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pagi tadi, kes berkenaan sebenarnya berpunca daripada salah faham sebelum tercetusnya pergaduhan membabitkan kumpulan yang ramai.


"Saya tidak dapat mendedahkan secara terperinci perbualan selama 20 minit pagi tadi kerana akan menggangu siasatan polis dan proses pembelaan kelak.

"Cuma perlu diketahui remaja terbabit bukanlah mewakili mana-mana pertubuhan pun dan mereka pun tidak sangka kes ini boleh menjadi besar sehingga mencetuskan isu perkauman.

“Ini perlu dihentikan demi keharmonian kaum di negara ini," katanya ketika ditemui Harian Metro di pejabatnya di sini, hari ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...