Pengikut

SKMM perlu lebih tegas - PM

NAJIB Abdul Razak menyampaikan sumbangan zakat kepada ibu-ibu tunggal di Dewan Majlis Daerah Pekan, Pekan, semalam.



PEKAN 4 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bertindak lebih agresif dan tegas dalam menangani penyalahgunaan laman sosial yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama tertentu.
Tegas Perdana Menteri, penyalahgunaan laman sosial tersebut tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati kaum dan penganut agama tertentu.
''SKMM kena bertindak dan saya minta SKMM tegas dalam perkara ini (penyalahgunaan laman sosial) sebab ini adalah suatu angkara yang tidak boleh kita benarkan sama sekali," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan zakat dan duit raya kepada lebih 3,000 penduduk dalam Parlimen Pekan yang kurang berkemampuan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah dan Pejabat UMNO Pekan di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan laman sosial seperti Facebook untuk menghina orang Melayu dan agama Islam yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
Dalam kes terbaru semalam, Gerakan Pemuda Prihatin Putrajaya (Gempur) membuat laporan polis berhubung satu akaun laman sosial Facebook yang dikesan menghina Islam dan Allah dengan kata-kata kesat.
Rabu lalu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) membuat satu laporan polis berhubung kewujudan satu akaun Facebook menggunakan nama 'Melayu Babi.'
Sebelum itu, seorang pemuda dari Muar, Wee Meng Chee atau dikenali sebagai 'Namewee' turut mencetuskan kontroversi kerana menghasilkan klip video berbaur perkauman.
Najib menegaskan, SKMM perlu segera mengambil tindakan terhadap pihak yang memuatkan bahan-bahan bersifat keterlaluan dari segi perkauman dan menyentuh sensitiviti agama.
''Kita ada undang-undang dan SKMM boleh ambil tindakan sewajarnya. Kita harap mereka yang menyalahi undang-undang dengan membuat pengisian bersifat keterlaluan dari segi perkauman dan menyentuh sensitiviti agama, patut dikenakan tindakan," katanya.
Menurut beliau, rakyat perlu menyedari bahawa laman sosial bukan ruang untuk melakukan apa sahaja sehingga menghina kaum dan agama lain.
''Laman web bukan memberi kebebasan mutlak yang membolehkan kita melakukan sesuka hati termasuk menghina agama lain atau peribadi orang lain," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat menggunakan media alternatif atau Internet dengan penuh tanggungjawab.
''Apa sahaja yang kita muatkan dalam laman web Facebook tidak sewajarnya menyentuh sensitiviti pihak lain," katanya.
Beliau mengingatkan bahawa undang-undang negara sentiasa melindungi hak semua kaum termasuk amalan agama masing-masing.
''Undang-undang negara tidak akan melindungi pihak yang cuba menyentuh soal yang terlalu sensitif dan mencemar kemuliaan agama tertentu," tambahnya.
Terdahulu dalam ucapannya, Najib mengajak lebih banyak badan korporat dan syarikat milik kerajaan (GLC) mengeluarkan zakat serta menyumbang bantuan kepada golongan tidak berkemampuan di negara ini.
Menurut beliau, amalan yang dilakukan pihak terbabit dapat membantu usaha kerajaan membasmi kemiskinan.
''Saya berharap trend menyalurkan bantuan dan zakat pada bulan puasa ini diteruskan pada bulan-bulan lain," katanya.
Previous
Next Post »