KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, tidak perlu menjadi saksi pembelaan dalam kes liwat melibatkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, demikian diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Ketika membenarkan permohonan Najib dan Rosmah bagi mengetepikan sapina yang menghendaki mereka memberi keterangan dalam kes itu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata Anwar gagal menunjukkan sebarang kaitan atau pentingnnya Perdana Menteri dan isteri dijadikan saksi pembelaan.
Katanya beliau membuat keputusan itu selepas meneliti afidavit, hujah dan rujukan oleh pihak-pihak yang terlibat dan mendapati Anwar gagal menunjukkan apa kaitannya dan pentingnya Najib dan Rosmah disapina sebagai saksi.
Dalam permohonan mereka yang difailkan pada 21 Sept lepas, Perdana Menteri dan isteri meminta mahkamah mengetepikan sapina itu dengan alasan mereka bukan saksi yang relevan dan penting untuk membantu Anwar dalam pembelaannya.
Anwar, 64, sedang dibicara berhubung tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di Kondominium Desa Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Pada 8 Ogos lepas, Hakim Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Anwar untuk menemubual 71 saksi termasuk Najib dan Rosmah yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan, sebagai saksi pembelaan. -BERNAMA
0 Komen:
Catat Ulasan