SHENZHEN 12 Julai - Kebiasaannya, pesakit yang menjalani pembedahan otak akan diberikan bius sehingga tidak sedarkan diri sepanjang prosedur dilaksanakan doktor.
Bagaimanapun, keadaan jauh berbeza bagi seorang pesakit lelaki di China, apabila satu video yang disiarkan rangkaian Shenzhen TV, memaparkan dia bercakap, membaca puisi dan menggerakkan tangan ketika dibedah.
Menurut laporan Daily Mirror, lelaki berusia 46 tahun itu menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan di bahagian otak dipanggil Broca, yang mengawal kemampuan bertutur seseorang.
Doktor menggalakkan pesakit tersebut bercakap sepanjang prosedur bagi memastikan pasukan pembedahan tidak menyentuh atau merosakkan bahagian berkenaan.
“Pesakit nampak selesa ketika dibedah, tidak menunjukkan tanda-tanda sakit atau tidak selesa. Pembedahan berjalan dengan lancar,” kata seorang doktor kepada portal berita Hong Kong Free Press.
Lelaki itu yang identitinya tidak didedahkan telah pun dibenarkan keluar dari hospital.
Bulan lalu, seorang pekerja bank dari Brazil, dilapor sempat bermain gitar mendendangkan lagu Yesterday nyanyian kumpulan The Beatles ketika menjalani pembedahan otak.
Anthony Kulkamp Dias, 33, yang menjalani prosedur membuang ketumbuhan juga sempat menyanyikan beberapa lagu lain ketika dibedah.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/cakap-ketika-dibedah-1.113375#sthash.rFAVtWeV.dpuf
0 Komen:
Catat Ulasan