Memaparkan catatan dengan label ILMIAH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ILMIAH. Papar semua catatan

Selasa, 3 Disember 2013

Hukum memakai baju bergambar

BOLEHKAH seseorang itu memakai baju mempunyai gambar binatang atau orang (sama ada kecil, besar, jelas atau tidak) ketika menunaikan solat. Segala pandangan yang ustaz berikan, saya sanjung tinggi untuk kebaikan bersama. Terima Kasih.

Khalid
Puchong, Selangor

JAWAPAN: Soalan ini sebenarnya termasuk di dalam satu perbincangan besar berkaitan dengan gambar. Terdapat satu hadis yang sahih di mana Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, "Para malaikat tidak masuk rumah yang ada gambar" (Hadis sahih riwayat al-Imam al-Bukhari, No. 3224 dan juga al-Imam Muslim, No. 3938).

Berdasarkan hadis ini, sebahagian besar para ulama melarang daripada menyimpan gambar makhluk yang bernyawa di rumah termasuklah menyimpan dan memakai baju yang mempunyai gambar binatang atau orang.

Melukis gambar makhluk yang bernyawa seperti serangga, binatang dan orang adalah dilarang. Jika kita minat melukis, maka lukislah gambar makhluk yang tidak bernyawa seperti bukit bukau, kereta, rumah dan lautan serta langit.

Marilah kita memerhatikan riwayat ini; Said bin Abi al-Hasan berkata, 'Saya berada di sisi Ibn Abbas di mana seorang lelaki telah bertanya kepadanya, 'Wahai Ibn Abbas, saya adalah seorang lelaki yang mencari makan dengan kemahiran tangan dalam melukis gambar-gambar ini.' Jawab Ibn Abbas, 'Saya hanya akan menjawab dengan apa yang saya dengar daripada Rasulullah SAW iaitu, "Sesiapa yang melukis gambar maka Allah Azza wa Jalla akan mengazabnya pada hari kiamat sehinggalah dia meniupkan roh dalam gambar itu, namun dia tidak akan dapat berbuat demikian." Kata Sa'id, 'Mendengar jawapan itu, Lelaki tersebut amat-amat marah dan mukanya bertukar kuning. Melihat keadaannya, Ibn Abbas berkata, "Tidak guna engkau ini, kalau engkau hendak lukis juga, maka hendaklah engkau lukis pokok dan apa sahaja yang tiada roh" (Riwayat al-Imam Ahmad, No. 3266. Al-Imam Ahmad Syakir berkata: Sanadnya Sahih).

Riwayat ini jelas membezakan antara gambar makhluk yang bernyawa dan gambar makhluk yang tidak bernyawa. Islam tidak mengongkong, sebaliknya Islam memberi garis panduan.

Dengan itu, timbul satu persoalan lain iaitu adakah sah solat orang yang melaksanakan solat dengan memakai pakaian sebegitu rupa? Jawapannya ialah, sekiranya dia belum mengetahui hukum larangan memakai baju yang mempunyai gambar makhluk yang bernyawa seperti binatang atau orang, maka dia tidak berdosa.
Sebaliknya, jika dia telah pun mengetahui bahawa hukum berpakaian begitu adalah haram, namun dia tetap bersolat dengan pakaian itu maka solatnya sah namun dia berdosa. Dia tidak perlu mengulangi solatnya itu. Namun dia berdosa kerana melanggar larangan yang terdapat di dalam hadis-hadis yang dinyatakan di atas.
Perlulah dijelaskan di sini bahawa, jika keadaan memerlukan dan mendesak, maka hukum haram ini bertukar menjadi harus dan dibenarkan.

Contohnya ialah gambar kad pengenalan, gambar paspot, gambar penjenayah, gambar kad matrik pelajar dan pekerja, gambar aktiviti sebagai bukti dan sebagainya.

Semua ini dibenarkan kerana manusia amat memerlukannya. Semoga Allah mengampuni segala kesilapan kita.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121209/re_11/#ixzz2mMm8ffIk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rabu, 23 Oktober 2013

Fadhilat Dan Khasiat Surah Al-Mulk

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Surah Al Mulk (bahasa Arab:الملك ) adalah surah ke 67 dalam Al-Qur’an. Surah ini tergolong surah ‘makkiyah’ yang terdiri daripada 30 ayat. Dinamakan Al Mulk kerana kata Al Mulk yang terdapat pada ayat pertama surah ini. yang bererti ‘Kerajaan’. Surat ini disebut juga dengan ‘At Tabaarak’ yang bererti Maha Suci.
Surah Al Mulk adalah surah keamanan dan keselamatan, kerana ia akan menjadi penyelamat dan pendinding dari seksa kubur kepada pembacanya. 
Surah Mulk hendaklah dibaca secara istiqamah dengan menjadikan membacanya amalan kehidupan seharian. Ulama berkata: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam tidak akan beradu melainkan setelah membaca surah As Sajadah dan surah Al Mulk.”

Kandungan Surah Al Mulk


Secara umumnya, surah ini banyak mengisahkan tentang kekuasaan Allah terhadap makhluk ciptaan-Nya. Ini jelas digambarkan daripada tajuk surah ini, al-Mulk, yang bermaksud ‘kerajaan’. Pada awal surah, ayat ini diceritakan kesempurnaan ciptaan alam ini, yang tidak ada cacat-celanya.
Allah telah menciptakan alam ini daripada awal yang tiada apa-apa kepada yang ada dan seterusnya menjaga alam ini dengan penuh kesempurnaan. Allah berkuasa menciptakan dan mematikan sesuatu menurut kehendak-Nya.
Beberapa ayat yang seterusnya mengisahkan azab di neraka, di mana setiap kali sekumpulan manusia di campakkan ke dalam api neraka, malaikat penjaga bertanya, “Apakah belum pernah datang orang yang memberi peringatan kepada kamu?”. “Ya, tetapi kami mendustakannya”. Begitulah respons mereka.
Cuba kita lihat dalam kehidupan seharian kita. Adakah kita sering menolak ajakan untuk membuat kebaikan? Jika ya, cuba check iman, mudah-mudahan kita tidak termasuk ke dalam golongan yang akan menyesal di akhirat kelak.
Dan secara ringkasnya, ayat-ayat yang berikutnya berkisarkan kuasa Allah yang mengetahui perkara yang disembunyikan, berkuasa menciptakan burung yang terbang di angkasa, dan yang berkuasa memberi dan menahan rezeki kita. Allah amatlah murka terhadap mereka yang mendustakannya, walhal telah jelas bukti kewujudan dan kekuasaaan-Nya.
Surah ini ditutup dengan suatu pernyataan yang harus kita renungi bersama : “Katakanlah (Muhammad), Terangkanlah kepadaku, jika sumber air kamu menjadi kering, maka siapa yang akan memberimu air yang mengalir?”


Kelebihan Surah Al Mulk

Surah ini menyelamatkannya daripada azab kubur. Kelebihan juga dinyatakan pada malam hari. Seseorang yang membacanya pada malam hari telah melakukan banyak ibadah dan telah melakukan satu amalan yang baik.
“Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak akan tidur melainkan setelah membaca surah As Sajadah dan surah Al Mulk.”
Di antara kelebihan Surah ini ialah:
1. Surah ini akan menjadi penyelamat.
2. Penegah pembacanya dari seksa kubur.
3. Berada di bawah naungan sayap malaikat (mendapat rahmat Allah).
4. Di hari kiamat rupanya akan dicerahkan seperti wajah Nabi Yusuf (cantik).
5. Dinamakan Surah gagah perkasa, pintar lagi cerdik.

Fadhilat Dari Hadis

Terdapat banyak hadis tentang fadhilat yang terkandung dalam Surah Al Mulk, iaitu:

1. Mendapat Syafaat
  • Daripada Abu Hurairah r.a dari Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam al_Quran ada 30 ayat memberi syafaat kepada pembacanya sehingga diberi keampunan untuknya iaitu surah al-Mulk.”
  • Abu Hurairah meriwayatkan hadis, katanya: “Sesungguhnya di dalam Al-Quran itu, ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, ia mensyafaat bagi lelaki yang membacanya. Maka selagi mana lelaki itu membacanya, selagi itu pula ia meminta ampun untuknya. Surah itu ialah surah Al Mulk.” 
  • Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebahagian surah-surah yang terdapat di dalam Al-Quran ada satu surah yang mengandungi 30 ayat. Surah itu surah Al Mulk. Ia memberi syafaat kepada orang yang membacanya dengan mengeluarkannya dari Neraka dan memasukkannya ke dalam Syurga.” 
  • Ulama berkata: ”Sesungguhnya surah Al Mulk itu melepaskan pengamal-pengamalnya dari kena azab. Ia akan bersoal jawab pada hari kiamat di hadapan Tuhan kerana menuntut kelepasan mereka yang mengamalkannya dari azab api Neraka.”
 .
2.  Menyelamatkan daripada seksa kubur
Di dalam kubur orang yang telah mati para malaikat azab datang pada sisi kakinya untuk memberi  hukuman.  Kakinya berkata; “kamu tidak dapat hampir dari sisi kakiku kerana orang ini pernah berdiri dalam solat dan membaca Surah Al-Mulk”. Kemudian mereka datang dari sisi dada (hati) dan perut, dan mereka juga terhalang. Kemudian mereka datang dari sisi kepala.
Pendekata, setiap sendi berkata; “kamu tidak dapat datang dari arah ini kerana orang ini selalu membaca Surah Al-Mulk”. Maka, Surah ini menyelamatkannya daripada azab kubur.
  • Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Surah Al Mulk itu memelihara dan menghindarkan pembacanya dari azab kubur.” 
  • Nabi Muhammad SAW  bersabda: “Sesiapa membaca surah Al Mulk setiap malam, diselamatkannya dari azab kubur.” 
  • Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca surah Al Mulk pada mana-mana malam, nescaya datang ke dalam kuburnya surah itu sebagai penganti untuk bersoal jawab dengan Munkar Nakir”. 
  • Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya di dalam Al-Quran ada satu surah yang terkandung 30 ayat. Surah itu ialah surah Al Mulk. Ia akan datang kepada pembacanya untuk membantu bersoal jawab dalam kubur sehinggalah mereka selamat masuk ke dalam Syurga.” 
  • Saiyidina ‘Abdullah bin Abbas berkata: “Sesiapa membaca surah Al Mulk sehingga menjadi amalan wiridnya, nescaya ia mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam kuburnya. Bila azab hendak datang ke kepala, terdengar satu seruan: “Tidak boleh engkau datang ke pihak kepala ini kerana ada surah Al Mulk.”
  • Daripada Ibnu Abbas r.a berkata, seorang sahabat Rasulullah SAW telah mendirikan khemah di atas kubur dan beliau tidak tahu ianya kubur. Maka di dalamnya terdengar suara bacaan surah al-Mulk sehingga khatam maka beliau menemui baginda SAW dan berkata : “Wahai Rasulullah SAW, saya dirikan satu khemah di atas satu kubur dan saya tidak tahu bahawa ianya kuburdan saya terdengar seorang manusia sedang membaca surah al-Mulk sehingga khatam. ” Nabi SAW bersabda; “Itulah yang menahan dan menyelamatkan dia daripada siksa kubur.”  (HR At-Tarmizi)
3. Hati Beriman
  • Rasulullah SAW bersabda: “Hatiku ingin supaya Surah Al-Mulk berada di dalam hati setiap orang yang beriman.” (iaitu setiap muslim hendaklah mempelajarinya dan membacanya dengan istiqamah).
  • Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Aku sungguh gembira, sekiranya orang mukmin sentiasa membaca surah Al Mulk sehingga seolah-olah surah itu tertulis di dalam hatinya.”
4.  Mendapat Keistimewaan
  • Saiyidina ‘Ali berkata: ”Sesiapa mengamalkan surah Al Mulk, nescaya dibawa ia pada hari kiamat di atas sayap malaikat serta wajahnya yang cantik seperti nabi Yusuf.” 
  • Ulama berkata: “Sesungguhnya surah Yasin dan surah Al Mulk terkandung di dalamnya beberapa rahsia dan kelebihan. Sesiapa mengamalkannya, nescaya ia mendapat rahsia-rahsia dan kelebihan-kelebihan itu serta dikasihi oleh semua manusia dan juga menjadi hebat pada pandangan makhluk.” 

Khasiat Ayat Dari Surah Al-Mulk

Ayat dari Surah Al Mulk juga mempunyai khasiat dan keistimewaan yang lain. Diantaranya:
1.  Khasiat Ayat 14 Surah Al-Mulk

أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ‌ ﴿١٤

Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!
1. Dipandang hebat dan berwibawa.
2. Boleh mengetahui apakah kelebihan diri sendiri.
3..Dapat merasai apabila ajal telah hampir tiba.
4. Jika diamalkan menjadi wirid, zikir harian boleh meluaskan rezeki dan menghilangkan fakir.
5. Dibaca 2,012 kali untuk menolak bala yang besar.
6. Jauh dari seksa kubur jika dibaca ayat 14 dan 15 surah Al Mulk.
7. Jika berhajat hendak melihat orang yang melakukan jahat, pencuri, sihir, memfitnah, orang yang sudah meninggal dalam kubur dan perkara yang penting dalam peperiksaan lakukan:
a. Solat hajat.
b. Baca ayat di atas 9 kali dan diniatkan.
c. Tidur dalam keadaan berwudhu dan berdoa (apa niat kita) dan tidur mengiring dengan lembung kanan.

2.  Khasiat Ayat 23 Surah Al-Mulk

قُلْ هُوَ الَّذِي أَنشَأَكُمْ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ‌ وَالْأَفْئِدَةَ ۖ قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُ‌ونَ ﴿٢٣

Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”.
- Jika diamalkan ayat ini, iaitu dibacakan pada gigi yang sakit. InsyaAllah, akan berkurangan dan sembuh sakit giginya.
Terdapat banyak keistimewaan daripada tiga puluh ayat Surah Al – Mulk tersebut. Ia akan terus mensyafaati bagi orang yang membacanya dengan istiqamah hingga ia diampunkan.
Wallahua’lam bish showab

والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته


Selasa, 11 September 2012

MENCARI PENAWAR DUKA, PENGUBAT SENGSARA | DR. MAZA

012995451
Kagum dengan DR. Maza


Apabila insan terjatuh dalam ujian hidup; kesusahan, keperitan, kezaliman, keresahan, kesedihan dan segala rupa paras penderitaan, insan akan bertanya, apakah penawarnya? Di manakah jalan keluar dari segala kegelapan ini? Bagaimana mungkin dapat aku buang derita yang bersarang dalam jiwa dan peristiwa? Dapatkah aku keluar dari kemelut ini?

Sebahagian ujian itu, jika diukur dengan akal insani, seakan tiada lagi baginya jalan keluar. Warna kegelapan kadang-kala merangkumi segala penjuru, hanya Allah sahaja yang mampu mengeluarkan insan dari keadaan yang sedemikian. Kadang-kala pula insan terpaksa berhadapan dengan realiti yang amat pahit, tidak mampu ditolak oleh dirinya yang kerdil. Namun, insan yang beriman yakin bahawa Allah Yang Maha Berkuasa boleh menukar segala keadaan. Menggantikannya dengan lebih baik yang tidak disangka. Memindahkan duka kepada bahagia dalam pelbagai rupa dan warna.
Persoalannya, bagaimanakah caranya agar Allah Yang Agung melimpahkan rahmatNya lalu menurunkan pertolonganNya. Ya, memang insan disuruh berdoa dan merintih kepadaNya. Namun apakah caranya agar mustajab lalu Allah membawanya keluar dari daerah duka kepada daerah sejahtera atau bahagia? Apakah ungkapan yang meredhakan Tuhan al-Rahman yang menjadikanNya dengan pantas mendengar rintihan insan?

Insan perlu sedar, antara penghalang rahmat Tuhan kepadanya adalah dosa dan kesalahannya. Dan, setiap insan pula tidak terlepas dari salah dan dosa. Sehebat mana pun, sealim mana pun dia, insan tetap insan, terdedah kepada dosa. Jika tidak anggotanya, mungkin dosa jiwa atau hati nurani yang sombong dan bongkak, atau hasad atau sangka buruk dan pelbagai lagi. Percikan dosa sentiasa ada. Ia penghalang cahaya indah syahdu antara nurani insan mendampingi Allah untuk menjadi kekasihNya. Maka, doa sentiasa diganggu oleh dosa. Apakah penawar yang menerangi jalan agar doa itu sampai kepada insan dengan pantas dan mustajab?Jawapannya ialah taubat dan ‘istighfar’ iaitu kembalikan kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya. Dengan jujur, dengan luhur, dengan kusyuk. Itulah penawar yang akan membuka kebahagian hidup. Itulah janjiNya: (maksudnya)
“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubat kepadaNya supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia)…” (Surah Hud: 3)
Janji Yang Pasti

Setiap kita pernah melalui duka dan sengsara. Kita mencuba perbagai ungkapan dan doa agar Allah mendengar rintihan kita. Ya, doa itu senjata. Namun, di sana ada satu pemohonan yang jika dibuat oleh insan dengan keikhlasan jiwa, pengharapan dari lubuk jantung hatinya maka Allah akan mendatang pelbagai kebaikan lain kepadanya. Dikeluarkan dari kesempitan hidup, diberi kurnia rezeki dan anak, kebahagiaan jiwa dan ditambah kekuatan dan pertolongan.

Inilah janjiNya dalam al-Quran. Bukan janji yang diadakan oleh sesetengah buku doa, atau bicara tokoh-tokoh agama yang kadang-kala mengada-adakan pelbagai doa ‘sendirian berhad’ mereka yang entah dari mana dikutipnya. Tidak! Ini adalah jaminan langsung dari Allah dalam kitabNya. Apakah pemohonan itu? Pemohonan ialah doa agar Allah S.W.T mengampuni dosa. Apabila ia dilafazkan dengan ikhlas dan jujur. Sebanyak-banyaknya. Dengan kekerdilan diri, tunduk dan insaf, maka keajaiban pertolongan Allah pun akan datang dalam pelbagai rupa dan cara. Inilah janji dalam banyak ayat dalam al-Quran.
Firman Allah menceritakan nasihat Nabi Nuh a.s. kepada kaumnya: (maksudnya)
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (sekiranya kamu berbuat demikian) Dia akan menghantarkan langit yang mencurah-curah (hujan) kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; Dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai” (Surah Nuh: 9-12).
Pelbagai Kurnia

Inilah janji Allah kepada yang berikan kepada sesiapa yang beristighfar dengan ikhlas. Atas lisan Nabi Nuh a.s. Allah berjanji untuk menurunkan hujan rahmatNya, dibanyak rezeki dan anak, diberikan harta yang berharga dan subur. Maka, yang beristighfar dengan penuh ikhlas sebanyaknya, akan menikmati peruntukan ini. Kekurangan hujan, harta, anak, kesuburan dan segalanya penawarnya ialah ‘istighfar’.

Dalam Miskat al-Masabih ketika membahaskan hadis istighfar, diriwayatkan seseorang datang kepada al-Imam Hasan al-Basri r.a mengadu tanahnya tidak subur, lalu jawab Hasan al-Basri: Beristighfarlah. Datang yang lain mengadu kemiskinan, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang yang lain minta doa agar direzekikan seorang anak, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang pula yang lain mengadu kebunnya kekeringan, jawab beliau: Beristighfarlah. Lalu ditanya Hasan al-Basri mengapa jawapannya semua sama bagi soalan yang berbeza. Katanya “Ini bukan pendapatku, inilah yang Nabi Nuh a.s sebut” –lalu beliau membaca ayat di atas.

Mengelakkan Bala

Allah juga menjamin bahawa Dia tidak akan mengazabkan insan di dunia ataupun di akhirat kita insan itu benar-benar beristighfar kepadaNya. Hambatan dan ketakutan terhadap dosa dapat dibentengi oleh istighfar yang ikhlas. Inilah janji Allah. Dia Maha Benar janiNya. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedang engkau (wahai Muhammad) ada antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar” (Surah al-Anfal: 33).
Inilah janji Allah. Dalam ayat ini; kewujudan Nabi s.a.w dan kewujudan istighfar menghalang azab Allah. Adapun Nabi s.a.w baginda sudah tiada dalam kalangan kita, namun istighfar terus ada jika kita mengamalkannya. Wahai jiwa yang dihambat dosa! Beristighfarlah sebanyak-banyaknya nescaya diselamat dari bala dosa. Wahai yang takut ditimpa bala! beristighfarlah.


Ditambah Kekuatan

Gelora hidup kadang-kala amat menakutkan. Ia memukul insan dari sudut yang diduga dan tidak diduga. Jika hanya bergantung kepada kekuatan diri semata, insan akan terkorban dan tidak akan berdaya. Ganasnya lautan hidup hanya dapat dihadapi dengan kekuatan kurniaan Allah. Firman Allah: (maksudnya)
“(Kata Nabi Hud) dan Wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian taubatlah kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu (yang sedia ada)”. (Surah Hud: 52).
Dengan tambahan kekuatan dari Allah dan bantuanNya insan merasai kekuatan dalam menelusuri permusafiran di dunia yang fana ini.

Maka membanyakkan istighfar adalah penawar hidup. Betapa banyak kisah insan-insan yang Allah berikan pelbagai kurnia disebabkan mereka membanyakkan istighfar. Betapa banyak hamba-hamba Allah yang diselamatkan dari pelbagai kesusahan, diberikan ketenteraman jiwa dan pelbagai pertolongan berkat keikhlasan istighfar mereka. Setiap insan yang beristighfar dengan ikhlas sebanyak-banyaknya pada sesuatu hari akan merasai kesyahduan ruhnya. Allah akan membuka ufuk akalnya. Dia akan alami kekudusan jiwa, kesegaran minda dan merasai perdampingan dengan Allah.

Tapi syaratnya, hendaklah istighfar yang ikhlas. Bukan yang hanya ‘berlagu’ dimulut tapi kontang jiwanya dalam mengharapkan keampunan Allah. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (w. 728H) menceritakan bahawa bagaimana beliau apabila menghadapi masalah, beliau akan beristighfar sehingga seribu kali atau lebih, di mana sahaja beliau berada; di masjid, di pasar, di pusat pengajian sehinggalah beliau dapati Allah lapangkan dadanya dan tunaikan hajatnya. (lihat: Ibn ‘Abd al-Hadi, al-‘Uqud al-Durriyah, 21. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).

Marilah kita banyakkan istighfar, ia adalah penawar. Istighfar adalah penyembuh derita jiwa seorang hamba. Ia membawa kurnia Allah yang disangka dan tidak disangka. Maka datanglah rezeki, kebahagiaan dan pertolongan. Hiasilah kepahitan hidup dengan istighfar, nescaya kita akan merasai kemanisan dan kelazatan berada di persada alam yang sementara ini.

sharing is caring...semoga memberi manfaat pada anda semua..
This entry was posted in

Isnin, 10 September 2012

DEMI MASA... Semua orang tahu...

 

TERJEMAHAN SURAH AL ’ASR
(MASA)
SURAH INI DITURUNKAN DI MEKAH DAN MENGANDUNGI 3 AYAT.


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

1.Demi masa
2.Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian
3.Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan (nasihat menasihati) dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran.

KETERANGAN SURAH AL ’ASR

Semua manusia dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman teguh dan beramal soleh, serta suka nasihat menasihati tentang kebenaran serta kesabaran. Orang yang soleh sentiasa menjaga baik hubungan sesama manusia serta hubungan dengan Allah swt. Masa yang berlalu diisi dengan perkara yang berfaedah tanpa membazirkan perkara dengan perbuatan yang sia-sia. Pendek kata sentiasa mengikuti apa yang diperintahkan olehNya dan meninggalkan apa yang dilarang olehNya.
 
sumber : sini 

dari saya:
Sesungguhnya dalam kehidupan ini kita perlulah saling  ingat memperingati antara satu sama lain, lebih-lebih lagi adik beradik anak, isteri dan kawan-kawan terdekat. Selain dari pada itu kita juga boleh menggunkan medium seperti blog atau kita updated status kat mana-mana medan atau laman sosial pun tak salah... beringat-ingat dan berpesan-pesanlah untuk kebaikan, marah bukan kebencian, tapi tanda sayang....
Isi lah masa yang terluang dengan perkara yang bermanfaat yer...

Rabu, 14 Mac 2012

YA RASUL SALAM KEATAS MU

Carian Google

ASSALAMUALAIKA YA RASULLULAH

Ibn Umar  Meriwayatkan " Rasulullah s.a.w membuat cincin dari perak. Ketika Baginda mengenakannya, Baginda selalu menghadapkan mata cincin itu ke telapak tangannya cicin itu tertulis  محمد رسول الله 
Baginda tidak mengizinkan seorang pun menambah tulisan diatas cincin tesebut. Cincin itulah yang terjatuh di sumur Aris."

(Riwayat al bukhari, Muslim, al- Tirmizi, Abu Daud, al- Nasa'i, dan Ibn Majah )

Dipetik daripada Syama'il Muhammad s.a.w : Peribadi Muhammad, terbitan Telaga Biru Sdn.Bhd.
Solusi

 

Sabtu, 17 Disember 2011

3 Golongan Manusia


Manusia di bahgaikan kepada tiga golongan :


Hidup demi tuhan semata-mata.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud " Dan tentu mereka akan mengatakan ( pula ) :' Hidup hanyalah kehidupan kita di dunia ini sahaja,  dan kita sekali-sekali  tidak akan dibangkitkan." ( Surah Al - An'am 6 : 29 )
Golongan ini ialah golongan yang kufur dengan nikmat Allah dan mengingkari hari kebangkitan.

Golongan Yang percaya kewujudan akhirat namun....
Namun mereka tidak berusaha kearah mencapai kebahgaian " di sana ". Mereka selamba bersuka ria dan berhibur didunia tanpa berusaha gigih untuk menggapai kebahagian di akhirat.


Golongan yang menganggap dunia ini ladang akhirat.
Mereka menanam disini untuk menuai di akhirat kelak. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : " Dan tiadalah kehidupan di dunia ini, selain daripada main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Maka tidkkah kamu memahaminya? ( Surah Al- An'am 6: 32 )

DIMANAKAH AGAKNYA KITA?????
tepuk dada tanya iman...


ruj : Majalah Solusi ( 33 )
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...