Ahad, 5 September 2010

Perlukah Berdakwah Dengan Berbogel?

Akhir-akhir ini banyak penerbit mahupun pengarah filem mahukan sesuatu yang luar biasa untuk ditonjolkan dalam produk mereka. Yang terbaru, Arja Lee atau nama sebenarnya Azharudin Ramli mengaku berbogel dalam filem ...Dalam Botol.
Memanglah tertakluk dalam perlembagaan setiap individu yang hidup di dunia ini mempunyai hak asasi dan kebebasan, namun perlu difikirkan juga sensitiviti masyarakat sekeliling, lebih-lebih lagi di Malaysia yang kaya dengan adab sopan dan santun.
Tidak salah berbogel jika di rumah yang pastinya adalah tempat privasi kita, namun sekiranya untuk tontonan umum walaupun tidak menampakkan bahagian tidak sepatutnya, adalah satu kesalahan di sisi agama dan undang-undang.
Adakah perlu babak berkenaan semata-mata apabila pelakonnya mengakui mengambil keputusan tersebut agar lakonan nampak lebih realistik? Atau tiada pendekatan lain yang boleh digunakan untuk memberi mesej dakwah?


Adakah dengan berbogel, dakwah yang ingin disampaikan akan berkesan dan lebih diterima? Rasanya belum pernah terdengar lagi orang yang terpaksa mencuri semata-mata ingin berdakwah kepada pencuri lain.
Malah menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, sudah terdapat ratusan filem di negara ini yang bersifat mendidik dan tidak pernah ke tahap perlu berbogel. Pihak kementerian mahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyiasat dakwaan iru kerana ia dianggap melakukan satu kesalahan.
"Dari segi moralnya, berbogel di hadapan orang sudah salah, termasuk ketika berlakon memang tidak boleh. Ia salah di sini agama dan juga undang-undang kerana membuka aurat juga sudah bersosa, apatah lagi berbogel seperti itu," kata Jamil.
Ada peruntukan undang-undang untuk kesalahan berbogel di hadapan orang. Belum ada mana-mana pelakon yang didakwa atas kesalaan itu, tapi sudah banyak kes di mahkamah yang mendakwa lelaki yang sengaja menunjukkan kemaluan mereka kepada orang lain.
Proses pembikinannya awal-awal lagi sudah diprotes Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana sensitiviti yang ingin ditonjolkan, jadi bagaimana alasan berdakwah itu boleh digunakan. Matlamat tidak menghalalkan cara, sekalipun ingin berdakwah di dalam filem.
Meskipun dibuat atas kerelaan sendiri namun adalah salah berbogel untuk tatapan penonton lebih-lebih lagi pelakunya seorang muslim. Di mana rasionalnya keperluan adegan itu kalau hanya sekadar mahu memberitahu watak Ruby lakonan Arja sudah menukar jantina?


Mangga Online akui zaman ini gejala gay atau transeksual berleluasa sehingga dilihat biasa pada pandangan mata, namun tidak perlu terlalu ekstrem memperlihatkan adegan tidak sepatutnya semata-mata kerana realiti yang ingin ditonjolkan.
Tidak dinafikan adalah realiti kebanyakan individu mandi tidak berpakaian, namun perlukah diberitahu di layar lebar akan hakikat itu?
Filem ada bahasanya dan ada cara untuk memberitahu penonton watak yang sedang dilakonkan itu sudah menukar jantina. Melalui dialog pun boleh dan tak perlu berbogel bagi mengukuhkan kepercayaan penonton bahawa watak tersebut sudah menukar jantina.
Arja mungkin boleh dianggap berani untuk memberitahu kebenaran di atas apa yang dilakukannya semasa penggambaran filem yang sedang menjalani proses akhir itu. Tapi keberaniannya boleh dianggap tidak kena pada tempatnya.
Apatah pada masa ini isu kes video lucah membabitkan artis Indonesia sedang hangat dan turut mendapat liputan di sini.
Nampaknya filem terbitan Raja Azmi Raja Sulaiman ini sarat dengan kontroversi. Sejak awal pengumuman lagi banyak yang diperkatakan pasal filem ini. Malah filem yang pada awalnya dinamakan Anu Dalam Botol terpaksa dipotong anunya kerana tidak bersesuaian.
 DITULIS OLEH NONIE    SELASA, 06 JULAI 2010 11:47  

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...