Memaparkan catatan dengan label KOSMO. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KOSMO. Papar semua catatan

Isnin, 1 November 2010

Penjual mercun di final Piala Malaysia kena penjara

sumber : KOSMO

iskh3... tak pasal-pasal kena penjara, kesian la... Umur dah 50 tahun.. tu.. baca la eik..

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang mengaku menjual mercun kepada peminat bola sepak pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil di sini Sabtu lepas, dia dijatuhi hukuman maksimum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap Sh Ahmad Sh Othman, 50, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki 95 biji mercun pelbagai jenis semasa ditahan di Stesen LRT di stadium itu pada 11 malam Sabtu lepas.

Sh Ahmad, pekerja kantin sekolah, diarah menjalani hukuman itu berkuatkuasa semalam.

Dia didakwa memiliki 40 biji mercun “bola”, 40 biji mercun “ketupat” dan 15 biji mercun “bunga api gasing” semasa ditahan.

Sh Ahmad, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ketika ditanya oleh Majistret Abdullah Siddiq tujuan dia memiliki bahan itu, Sh Ahmad menjawab:” Saya menjual pelbagai barangan termasuk barang permainan dan saya menjual bahan ini untuk pengunjung yang datang ketika mana-mana perlawanan berlangsung”.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin. - Bernama

Jumaat, 15 Oktober 2010

Hina Sultan????

Tengok keratan akhbar nie... tak patut betul dia orang buat macam nie... "Raja dan Rakyat Berpisah Tiada"... 



JOHOR BAHRU – Polis telah memulakan siasatan terhadap individu yang didakwa menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim menerusi laman Facebook berhubung pengurniaan kenderaan milik baginda kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Isnin lepas.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, siasatan dibuat selepas polis menerima satu laporan mengenai laman Facebook itu pada 4.33 petang semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan.
"Kita beri jaminan akan siasat laman sosial ini yang dilaporkan mengandungi maklumat palsu. Jika ada unsur hasutan, siasatan akan dijalankan dan kita akan serahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Mokhtar berkata, bagi mengelak pengendali laman itu daripada dikesan, individu berkenaan meletakkan gambar profil seorang wanita bagi mengelirukan pengguna Facebook dan pihak berkuasa. – Bernama

This entry was posted in

Khamis, 14 Oktober 2010

Video pendek tema kemerdekaan

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM




“VIDEO pendek yang saya hasilkan ini mengisahkan kepayahan hidup seorang datuk dan cucunya sebelum negara merdeka. “Bagaimanapun, datuk tersebut tidak menjadikan kesusahan itu sebagai penghalang untuk cucunya menyaksikan Hari Kemerdekaan,” kata pengarah video The Call of Freedom, Woo Mun Kit ketika ditemui Kosmo! selepas majlis pertandingan Anugerah Video Merdeka (MAViC) 2010 di UPM.
Menurut Mun Kit, 23, video pendek itu memerlukan masa selama sembilan hari untuk disiapkan sepenuhnya dengan hasil jerih-payah sembilan tenaga kerja.
Ujarnya mengenai cerita arahannya itu, watak datuk tersebut telah melakukan pelbagai pekerjaan semata-mata untuk mencari duit agar mereka berdua dapat menyaksikan detik bersejarah negara ini.
Malangnya, kata Mun Kit, duit yang dikumpul hanya mencukupi untuk melepaskan cucunya menyaksikan detik bersejarah tersebut, tetapi bukan dirinya sendiri.
“Bagaimanapun, si datuk meminta jirannya untuk menemani cucunya. Cucu itu diharapkannya menjadi manusia berguna apabila meningkat dewasa.
“Saya membikin video pendek berkenaan untuk menyampaikan mesej kepada mereka yang lahir selepas merdeka tentang kepentingan menghayati makna kemerdekaan negara,” katanya.
Menyimpan impian menjadi pengarah terkenal suatu hari nanti, Mun Kit turut diumum sebagai Pengarah Terbaik. Hasil karyanya menerima anugerah Konsep dan Skrip Terbaik serta Anugerah Khas Juri untuk Poster Terbaik.
Menyedari kepentingan generasi pelapis dalam bidang perfileman tanah air, Sekretariat Anugerah Merdeka dan Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan pertandingan Anugerah Video Merdeka (MAViC) sempena semangat sambutan ulang tahun kemerdekaan negara baru-baru ini.
Karya terbaik
MAViC 2010 yang bertemakan Aku dan Merdeka turut mendapat kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Astro. Ia diadakan khas untuk mencari 10 karya terbaik pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini meluahkan erti kemerdekaan dalam bentuk visual.
SYAFIKA hampir menitiskan air mata apabila karyanya mendapat tempat naib juara.


Kerja-kerja penggambaran mereka telah pun dimulakan sejak bulan Mei, hinggalah hasilnya dinilai dan diakhiri pada malam anugerah MAViC 2010 yang berlangsung di UPM akhir September lalu.
Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) telah mendominasi kemenangan apabila karya hasil kreativiti pelajar institusi pengajian swasta tersebut membolot lima daripada 11 anugerah dipertandingkan.
UTAR menjadi juara bagi kategori Video Pendek Terbaik menerusi karya bertajuk The Call of Freedom, manakala karya universiti itu yang bertajuk One pula dinobatkan sebagai Pengumuman Khidmat Awam (PSA) Terbaik.
Bagi pengarah juara PSA pula, K. Sarannya, 22, dia sangat gembira dengan kemenangan yang dicapai dalam pertandingan berkenaan.
“Kejayaan yang dicapai akan menjadi pemangkin kepada saya untuk menempa nama dalam industri ini,” katanya.
Hadir pada majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Datuk Dr. Abu Bakar Salleh, Pengarah Eksekutif Sekretariat Anugerah Merdeka, Datuk Khalid Mohd. dan Pengerusi MAViC 2010, Dr. Megat Al-Imran Yasin.
Diminta mengulas mengenai pertandingan tersebut, Khalid berkata, beliau berpeluang menonton karya-karya yang dihasilkan dan berpuas hati dengan hasilnya.
“Memandangkan ini merupakan kali pertama pertandingan seperti ini dianjurkan, adalah tidak adil jika memperkatakan soal mutu. Saya yakin mutu karya akan meningkat.
“Saya berharap MAViC dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha memberi peluang kepada mereka bergelar karyawan muda,” katanya.

BARISAN tenaga produksi The Call of Freedom dari UTAR meraikan kemenangan besar mereka.


Sementara itu, hasil arahan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Syafika Mohd Ghazi, 20 berjudul Titis-Titis Kealpaan diumumkan sebagai naib juara dalam kategori video pendek manakala Cermin Mata Atuk hasil karya Mohd. Rahhiemie Alias, 24 dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam merangkul naib juara PSA.
Ilham pengarahan
Syafika berkata, dia mendapat ilham untuk membikin video berkenaan apabila ternampak keratan akhbar yang melaporkan statistik pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara tidak kembali ke tanah air.
“Saya cuba mengambil idea tersebut dengan menghasilkan sebuah karya mengenai seorang pelajar Malaysia yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Namun, dia tidak menepati janji untuk pulang semula selepas tamat pengajian. Lebih menghibakan, dia terlupa pada permata berharga di tanah air iaitu ibunya yang telah membesarkan agar dia menjadi insan berguna,” katanya.
Lebih menyayat hati, Syafika menambah, apabila pelajar itu pulang ke tanah air segala-galanya sudah terlewat kerana ibunya telah meninggal dunia.
Syafika turut menerima anugerah Bunyi dan Kesan Khas Terbaik serta Suntingan Terbaik untuk video pendek berkenaan.
Selain Titis-Titis Kealpaan, UPM turut menerima Anugerah Khas Juri untuk kategori Mesej Terbaik menerusi video yang bertajuk Lain-Lain.
Sementara itu, Mohd. Rahhiemie mengakui bahawa dia perlu berdepan dengan cabaran membantu pelakon menjiwai watak yang dikehendaki dalam PSA berkenaan.
“Boleh dikatakan pelakon-pelakon yang melakonkan watak dalam PSA ini tidak pernah muncul di kaca televisyen.
ANTARA adegan dalam video pendek Titis-titis Kealpaan.


“Saya perlu membuat kelas lakonan melatih mereka menjiwai watak yang dipegang untuk memastikan keberkesan lakonan mereka,” katanya yang turut memenangi anugerah Sinematografi Terbaik.
Juara dan Naib Juara setiap kategori menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan RM3,000 beserta trofi serta sijil penghargaan.
Bagi Anugerah Cipta iaitu Pengarah Terbaik, Konsep dan Skrip Terbaik, Sinematografi Terbaik, Bunyi dan Kesan Khas Terbaik, Suntingan Terbaik dan dua Anugerah Khas Juri masing-masing menerima wang tunai RM1,000 beserta trofi dan sijil penyertaan.
Pertandingan tersebut menerima sebanyak 177 penyertaan daripada institusi pengajian tinggi di seluruh negara dan ia merupakan satu bilangan yang memberangsangkan kerana melebihi sasaran awal 100 penyertaan.
Kesemua filem yang menang akan
 ditayangkan di saluran Astro Prima pada 13
 Oktober bermula pukul 9 malam.

Isnin, 11 Oktober 2010

Saranan gubalkan Akta Jenayah Sihir

KUANTAN 11 Okt. - Malaysia disaran agar menggubal Akta Jenayah Sihir bagi membanteras kegiatan jenayah menggunakan ilmu hitam melalui mekanisme perundangan.

Pensyarah Undang-Undang Kolej Antarabangsa Ikip, Dr. Mahyuddin Ismail berkata, penggubalan akta berkenaan memberikan kuasa kepada pihak yang berkaitan untuk mengambil tindakan berhubung jenayah membabitkan sihir.
"Bukan hanya di Malaysia, tetapi negara-negara lain juga mengalami masalah sama (sihir) tetapi tidak ada penyelesaian dari segi undang-undang. Sebenarnya, jenayah sihir ini boleh dibuktikan di mahkamah syariah dan sivil,” katanya ketika membentangkan kertas kerja Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Sihir pada seminar Undang-Undang Jenayah Sihir di sini hari ini.
Seminar itu dirasmikan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Datuk Rahman Md Yunus.
Dr. Mahyuddin berkata, akta tersebut juga perlu mengandungi peruntukan bagi penubuhan Jabatan Siasatan Jenayah Sihir di bawah Polis Diraja Malaysia, yang berkuasa menyiasat dan menjalankan segala prosedur berkaitan untuk membanteras kegiatan jenayah membabitkan ilmu sihir.
Beliau juga mencadangkan jabatan itu dibantu lembaga penasihat khas daripada golongan berpengalaman luas dalam bidang berkaitan sihir kerana mereka perlu menyiasat suatu jenayah yang sukar dikesan dengan mata kasar. - Bernama
artikel : kosmo online
This entry was posted in

Koleksi warisan anggun

Koleksi warisan anggun



Set Four Gentlemen dihiasi imej bunga orkid, kekwa dan plum.


TIGA himpunan piuter dengan rekaan kontemporari dan klasik pastinya sesuai untuk dijadikan koleksi hiasan dalaman baik di rumah mahupun di pejabat.
Apatah lagi, himpunan piuter Royal Selangor masih mengekalkan keabadian warisannya biarpun dengan sentuhan cita rasa moden.
Menariknya, buat pertama kali rekaan koleksi aksesori pembancuh kopi yang impresif dinamakan Arabica, pasti akan menjadi rebutan para pencinta kopi.
Diilhamkan dengan rekaan motif menarik ala Maghribi dan seni bina Moor, ia kelihatan mewah.
Selain pembancuh, setiap aksesorinya juga direka dengan penuh terperinci. Antaranya ialah pelocok keluli dan bikar kaca yang dilapik dengan piuter tahan karat.
Pemegang dan bucu penutup pula diperbuat daripada kayu sepetir. Melengkapi koleksi itu ialah mangkuk gula dan bekas hidangan kek yang mempunyai reka bentuk geometrik jubin Maghribi dipanggil zillij.
Dulang tersebut dilengkapi dengan sekeping alas kaca yang berbentuk bulat untuk memudahkan anda menyajikan kek.
Sementara itu, koleksi Four Gentlemen pula merupakan set wain Cina. Bekas wain dihiasi dengan imej bunga buah plum, orkid, kekwa dan pokok buluh.
Set bekas wain itu meliputi empat penyepit, alas penyepit dan teko. Setiap aksesori tersebut mempunyai makna tersendiri seperti alas penyepit didatangkan dengan bentuk awan yang melambangkan syurga dan tuah.
Dipenuhi dengan rekaan simbolik, koleksi Four Gentlemen merupakan pilihan pemberian hadiah yang amat sesuai untuk orang istimewa.

PEMBANCUH kopi Arabica yang diilhamkan dengan rekaan ala Maghribi.


Koleksi itu boleh didapati disemua kedai jualan Royal Selangor, pengedar berdaftar dan di laman sesawang www.royalselangor.com pada harga serendah RM75.
Sementara itu, koleksi Zodiak Cina menampilkan beberapa patung kecil berbentuk haiwan. Koleksi tersebut terdiri daripada 12 bentuk patung kecil seperti tikus, lembu, arnab, ular, kuda, kambing, monyet dan ayam.
Setiap patung kecil tersebut bermotifkan awan berdasarkan hasil seni Cina. Ia didatangkan lengkap bersama alasnya untuk memudahkan anda menyusun atur patung Zodiak itu.
This entry was posted in

Anak-anak ibarat kain putih.........

Kanak-kanak ilmuwan agama




APABILA diminta untuk menghasilkan tulisan seni kaligrafi Islam atau lebih dikenali sebagai tulisan khat, kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun itu pantas mengambil peralatannya.
Lalu, dia memilih untuk menunjukkan kebolehannya itu di atas meja yang mempunyai ruang besar. Baginya, persekitaran selesa amat penting untuk mendapatkan hasil seni khat yang menawan.
Amin Al-Hadi Abdul Hadi memulakan dengan membancuh sendiri dakwat hitam yang akan digunakan. Katanya, untuk mendapatkan dakwat yang cantik, dia perlu tahu sukatan air yang ingin digunakan. Malah, dakwat tersebut turut tidak boleh didedahkan terlalu lama kerana ia akan cepat kering dan keras.
“Hanya air suam yang boleh digunakan untuk membancuh dakwat. Kalau terlebih air mungkin dakwat tersebut akan cair dan tulisan yang ditulis kurang cantik kerana warna hitamnya tidak pekat,” kata anak bongsu daripada tiga beradik.
Dalam rancak berbicara, Amin tidak ketinggalan menunjukkan pena diperbuat daripada buluh dan pokok resam yang digunakan untuk menghasilkan tulisan khat.
“Pen mata besi atau buatan boleh digunakan pada peringkat awal iaitu sewaktu ingin mengenal dan melatih tulisan khat.
“Tetapi apabila sudah mahir, disarankan untuk menggunakan pen diperbuat daripada bahan tumbuhan kerana tulisan lebih cantik dan mengekalkan kualiti tradisional seni khat. Bagaimanapun, penggunaannya sedikit susah iaitu dari segi mengasah mata pen tersebut,” jelasnya laksana seorang pakar khat.
Daripada kesabaran dan kesungguhannya ternyata, Amin seorang kanak-kanak yang tidak pernah mengalah malah, mementingkan kesempurnaan.

ABDUL MOHSIN meluangkan masa memberi tunjuk ajar kepada 'Ammar melagukan al-Quran dengan betul.


“Maaf abang, boleh ambil gambar lain, yang saya tulis ini tidak cantik. Kita cuba buat tulisan baru, selagi tidak cantik saya memang tidak akan puas hati,” seloroh Amin kepada jurufoto yang sibuk mengambil gambarnya sedang menghasilkan seni khat.
Selain itu, keperluan asas yang perlu dimiliki ialah kertas tebal dan licin supaya ia memudahkan proses pengeringan dakwat. Antaranya ialah Art Paper, Mattart, Tracing Paper atau kertas biasa bersaiz A4.
Ralit menghayati kehalusan seni khat yang dilakarkan oleh Johan Khat Peringkat Kebangsaan 2010, terdetik di hati untuk mengetahui lebih lanjut, bagaimana Amin mula meminati seni khat pada usia yang masih muda.
Walhal kanak-kanak lain yang seusia dengannya lebih seronok menghabiskan masa dengan bermain permainan video, melayari Internet dan sebagainya.
Amin menceritakan dia mula terdedah dengan dunia kaligrafi Islam sewaktu menemani ayahnya ke kelas seni khat.
Ketika itu usianya baru mencecah lima tahun. Tertarik dengan seni itu, dia pernah curi-curi menulis tulisan khat dengan mengambil peralatan khat bapanya, Abdul Hadi Abdul Ghani, 55.
Disebabkan Amin menunjukkan minat khat dengan mendalam, bapanya mengambil keputusan untuk menghantar Amin ke kelas khusus seni khat di Yayasan Shah Alam pada usia 10 tahun.
Di sana, dia memperuntukkan masa selama tiga jam setiap Sabtu untuk memperhalusi seni khat dengan lebih serius. Secara jujur, pelajar Sekolah Menengah Taman Ilmu Dan Budi, Gombak itu menyatakan, dia memilih mendalami seni khat kerana keunikan seni itu sendiri.
“Bila dah lama, baru saya dapat lihat seni khat ini merupakan sesuatu tulisan yang unik dan perlu diberi perhatian.
“Apatah lagi dalam keadaan kecenderungan pelajar muda terhadap keindahan seni Islam ini masih rendah, mungkin suatu hari nanti saya boleh menjadi pelopor seni khat dalam kalangan kanak-kanak,” ulasnya yang aktif berpidato.
Melagukan al-Quran
Bukan senang untuk membesarkan anak-anak dengan mengikut segala kemahuan yang diimpikan oleh setiap ibu bapa.
Itulah yang diharungi oleh Abdul Mohsin Mohd. Fazil, 38, dalam membesarkan anak pertama mereka, Muhammad ‘Ammar Abdul Mohsin, 12.
Didedahkan dengan bacaan al-Quran sejak kecil lagi, Abdul Mohsin yang tinggal di Kuala Kedah menyifatkan dia tidak pernah membiarkan anaknya itu mempelajari ilmu al-Quran secara bersendirian dengan hanya mengikuti kelas agama semata-mata.
“Saya sendiri akan meluangkan masa dengan mengaji bersama-samanya di rumah. Tidak cukup sekadar hantar dan ambil anak ke kelas agama. Ibu bapa perlu tanam minat terhadap perkara yang sama,” beritahu Abdul Mohsin yang merupakan kakitangan kerajaan.
Usaha gigih Abdul Mohsin itu akhirnya sudah menampakkan sinar cahaya apabila ‘Ammar mampu memperoleh pelbagai kemenangan yang membanggakan pada usia mentah.
Antaranya ialah Johan Tilawah al-Quran Peringkat Sekolah Kedah selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2008, 2009 dan 2010.
KEHALUSAN seni tulisan khat Amin hasil usaha gigihnya mempelajari kaligrafi Islam itu sejak kecil selain dorongan bapanya, Abdul Hadi (kiri).


Selain itu, kejayaannya diperolehi menerusi Johan Tilawah Peringkat Negeri Kedah 2009, Johan Tilawah Makhrajan J-Qaf 2010 dan Naib Johan Tilawah Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan 2009.
Kebolehan memperdengarkan bacaan dengan seni lagu atau taranum yang dimiliki oleh kanak-kanak itu bermula apabila bapanya sering kali memperdengarkan kaset, cakera padat dan video qari dan qariah dari Timur Tengah terutama Mesir.
“Pada usia enam tahun dia sudah didedahkan dengan pembelajaran taranum. Kecemerlangan kebolehannya itu dapat dilihat pada umur lapan tahun.
“Setiap kali berada dalam kereta saya akan pastikan alunan taranum dimainkan supaya dia lebih bersemangat untuk belajar,” katanya.
Jenis lagu taranum yang biasa dipelajari oleh masyarakat di Malaysia seperti Bayati (Mesir), Jaharkah (Afrika) Soba (Arab Mesir), Hijaz (Makkah dan Madinah), Nahawand, Sikah dan Rast (Parsi).
Namun, bagi mencapai kelunakan suara apabila menyampaikan taranum, ‘Ammar memerlukan pengawasan pemakanan yang ketat.
Dia disarankan tidak mengambil makanan berminyak dan meminum minuman ais. Biasanya, menjelang dua minggu sebelum menyertai sebarang pertandingan pantang larang itu akan diamalkan sepenuhnya.
“Bukan tidak boleh makan dan minum langsung tetapi pada saat akhir ayah saya tidak bagi jamah makanan yang akan memudaratkan suara.
“Malah perkara yang akan merosakkan minda juga tidak dibenarkan kerana ia akan mengganggu ketenangan saya untuk menghayati bacaan lagu ayat suci al-Quran,” akui ‘Ammar yang sentiasa mulutnya terkumat kamit menyebut kalimah al-Quran.
KEHEBATAN Syafiqah dalam berpidato pernah melayakkan dia menyertai program Adik-Adikku.


Handal pidato
Sewaktu menonton rancangan Karnival Inovasi Islam anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini, kehebatan Nur Syafiqah Mohd. Paris, 11, memberi ceramah cukup membanggakan.
Memiliki personaliti yang cukup matang, dia langsung tidak goyah meskipun berada di hadapan penonton yang pastinya lebih berusia dan berpengetahuan daripadanya.
“Kalau rasa bimbang dan tidak tenang ia akan menjejaskan kesemua kandungan ceramah atau pidato yang telah saya hafal.
“Jadi saya ambil pendekatan untuk menarik nafas dan yakin pada diri sendiri supaya perasaan bukan-bukan tidak mengganggu,” terangnya yang tinggal di Sabah.
Sering tampil ceria di hadapan penonton, Syafiqah bijak mengambil hati penonton agar tidak bosan mendengar intipati yang dilaungkannya itu. Bagaikan seorang penceramah profesional, namun Syafiqah mengakui bukan mudah untuk mencapai ke tahap itu.

Ahad, 10 Oktober 2010

Spa atas Laut

Spa atas Laut


GOLDEN Palm Tree Resort & Spa baru menerima tetamu sejak dua bulan lalu.


SUDAH bosan menjalani sesi spa yang dikelilingi suasana rimba dan hutan konkrit? Mungkin tiba masanya untuk anda merasai pengalaman ‘dimanjakan’ di atas laut pula.
Di Spa Escapade yang terletak kira-kira satu kilometer dari pantai Bagan Lalang di Sepang Gold Coast, Selangor, anda ada sebab untuk berasa gembira. Berbeza dengan kebanyakan suasana spa tipikal lain, spa di bawah kendalian resort percutian lima bintang, Golden Palm Tree Resort & Spa Sdn. Bhd., itu menawarkan panorama indah vila-vila di atas air.
Pengurus Spa Escapade di Golden Palm Tree Resort & Spa Sdn. Bhd., Junaidah Jaafar berkata, spa berusia lebih dua bulan itu membawa identiti berbeza.
“Di sini, pakej-pakej spa yang ditawarkan merangkumi gabungan kaedah urutan tradisional ketiga-tiga bangsa terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
SUASANA damai dengan hembusan angin laut memberikan ketenangan saat memanjakan diri di Spa Escapade.


Menurutnya, terapi urutan signatur Escapade itu merupakan kaedah berkesan untuk meredakan kekusutan minda. Bagi yang sekadar mahu merehatkan tubuh sambil menikmati tempoh percutian pula, terapi itu juga pilihan terbaik untuk meningkatkan kesejahteraan diri.
Sebanyak enam jenis teknik urutan ditawarkan di spa yang beroperasi dari pukul 11 pagi sehingga 8 malam itu antaranya termasuk urutan batu panas, urutan timur, urutan terapi aroma dan urutan saliran limfa.
Bergantung kepada pakej yang dipilih, lazimnya sesi spa dimulakan dengan mandian kaki menggunakan bahan-bahan natural sama ada santan mahupun kelopak bunga ros dan bunga melur.


“Bagi yang ingin merehatkan tubuh setelah penat melakukan aktiviti lasak seharian, mereka boleh menikmati pakej-pakej khas rawatan spa pada harga menarik,” tambahnya.
Pakej-pakej khas itu termasuklah rawatan spa bagi penggemar sukan air, cabaran eko dan melegakan lesu jet (jet lag).
Setiap pakej rawatan spa khas ini memberi tumpuan berbeza pada bahagian tubuh pengunjung. Spa untuk melegakan lesu jet misalnya disyorkan untuk merehatkan tubuh serta mengurangkan ketidakselesaan kaki setelah melalui tempoh penerbangan yang lama.

SPA ini turut dilengkapi dengan bilik sauna, stim dan kolam renang.


Tidak sah kunjungan ke spa juga tanpa membawa pulang sedikit cenderamata. Di Spa Escapade, tiga jenis minyak urut signatur, kotak hadiah dan bantal mata turut dijual kepada pelanggan yang berminat.
“Kami juga menyediakan pakej bagi mereka yang ingin mengadakan acara seperti parti hari jadi, majlis meraikan bakal pengantin mahupun sekadar berkumpul dengan kawan-kawan,” jelas Junaidah sambil memberitahu kemudahan lain yang disediakan termasuk kolam renang, sauna dan stim.

This entry was posted in

sTAILo...Rambut perang bukan dungu

Rambut perang bukan dungu




LEWAT kebelakangan ini nama Paris Hilton, 29, menghiasi paparan media tempatan. Sepatutnya dia dijangka menjejak kaki ke Malaysia bagi memeriahkan pelancaran koleksi beg tangan jenamanya sempena musim luruh/sejuk 2010 di Bintang Circle Pavilion Kuala Lumpur. Namun, jawapannya hampa.
Sememangnya kehadiran Paris di ibu negara dinantikan sebahagian besar para peminatnya yang mula teruja selepas media cetak dan elektronik menguar-uarkan kemunculan Paris secara meluas.
Barangkali sesiapa pun enggan melepaskan momen manis bertemu dengan Paris yang sinonim dengan kontroversi, cinta dan ceritera fesyen.
Namun, keterujaan itu tidak kekal lama apabila gara-gara kecewa dilarang memasuki Jepun, dia membatalkan semua lawatannya ke Asia.
Bagaimanapun menerusi laman sosial Twitternya, selebriti kelahiran New York, Amerika Syarikat (AS) itu mengakui terkilan tidak dapat bertemu peminat Malaysia yang terpaksa ditunda ke satu tarikh lain.
Pihak berkuasa Jepun bertegas menahan Paris daripada melawat negara itu ekoran menghadapi pertuduhan memiliki dadah di Las Vegas.
Berdasarkan laporan agensi berita Kyodo, Paris telah menarik balik permohonannya untuk memasuki Jepun tetapi tidak dapat dipastikan sama ada pelantun lagu Stars Are Blind itu diarahkan meninggalkan Jepun atau melakukannya secara sukarela.

PENAMPILAN dan fesyen Paris sering menjadi ikutan gadis muda.


Menurut Pegawai Kanan Imigresen Jepun, Masaaki Nakayama sesi soal siasat telah dilakukan terhadap Paris, memandangkan Jepun sama sekali tidak akan berkompromi dan membenarkan mana-mana individu yang pernah disabitkan kesalahan penyalahgunaan dadah memasuki negara itu.
“Saya hendak berlepas. Balik ke rumah sekarang. Sangat kecewa kerana terlepas peluang menemui peminat di Asia. Saya berjanji akan datang semula tidak lama lagi. Saya sayang anda semua! Sayang, Paris,” luah gadis berambut perang itu dalam laman Twitternya.
Biarpun Paris tidak berkesempatan menjejakkan kaki di Malaysia, majlis pelancaran beg tangan Paris Hilton dan minyak wangi koleksinya, Tease, tetap diteruskan. Para tetamu disajikan dengan pertunjukan beg tangan dalam suasana meriah di Pavilion Kuala Lumpur minggu lalu.
Tidak dapat bertemu mata secara langsung, bagaimanapun Paris muncul menerusi tayangan rakaman video dengan ucapan penghargaan pendek pada majlis tersebut. Bicara anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu, dia mengagumi kecintaan rakyat Malaysia terhadap fesyen. Sebab itu dia berusaha sebaik mungkin menampilkan rekaan dan konsep beg tangan ideal untuk peminat di seluruh Asia.
“Usah bimbang kerana dalam masa terdekat saya mencari peluang berkunjung ke Indonesia dan Malaysia.
“Insiden yang berlaku di luar kawalan dan sukar dielakkan,” tutur Paris yang mengajak peminat memiliki produk jenama Paris Hilton yang dijual di aras dua Pavilion Kuala Lumpur.
Paris atau nama sebenarnya Paris Whitney Hilton terkenal di seluruh dunia kerana dia merupakan salah seorang pewaris rangkaian hotel antarabangsa, Hotel Hilton milik ayahnya Richard Hilton. Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang kaya-raya dan memiliki aset bernilai jutaan ringgit, secara tidak langsung ia menyebabkan Paris gemar berfoya-foya dan berbelanja sakan.
Sejak remaja lagi, Paris dan adik-beradiknya sudah dimanja dengan wang ringgit dan mendiami di rumah mewah serta suite eksklusif di Waldorf-Astoria Hotel, Manhattan dan Beverly Hills.
Transisi hidup Paris
Masyarakat sekeliling pernah menyifatkan Paris hanya menghabiskan duit keluarga tanpa berusaha melakukan sesuatu demi masa depannya.
“Secara jujur saya tidak suka dikaitkan dengan pewaris Hilton. Sehingga ke hari ini saya masih mendengar kata-kata yang kurang enak tentang diri saya. Persepsi segelintir individu menyangka gadis berambut perang seperti saya tidak bijak dan lembab adalah tidak benar.
MENGENAKAN busana rona kuning, Paris nampak anggun bersama aksesori fesyen lengkap.


“Saya tidak pernah menyesal memiliki rambut perang malah, berbangga kerana ia menawan seperti mendiang Marilyn Monroe atau Puteri Diana,” kata Paris yang gemar menonton persembahan Aaron Spelling dan program Beverly Hills serta Models Inc.
Mengulas mengenai gelaran ‘celebutante’ (selebriti popular bukan kerana bakat tetapi kerana kekayaan dan kontroversi) yang dilemparkan kepadanya Paris tidak cepat melenting.
Pinta penggemar kek cawan itu, berikan dia peluang untuk membuktikan sesuatu. Dia mengakui sikapnya kini jauh berbeza berbanding sebelum ini. Dia menjadi lebih bertanggungjawab dan serius dalam setiap kerja yang dilakukan.
Atas faktor menginjak usia 19 tahun, Paris yang obses berfesyen melibatkan diri dalam dunia peraga.
Memiliki susuk tubuh yang langsing dan wajah jelita memudahkan Paris mencapai impian tersebut. Lantas dia mendaftarkan diri dengan agensi model Donald Trump’s, T Management.
Dia juga pernah berkerjasama dengan Ford Models di New York, Nous Model Management di Los Angeles dan Premier Model Management serta Models 1 Agency di London.
Antara kempen iklan yang pernah dijayakannya ialah Guess, Tommy Hilfiger, Christian Dior dan Marciano.
“Berkat kerjaya model dan berlakon untuk beberapa buah produksi saya telah mengumpul wang sedikit demi sedikit sehingga berjaya melancarkan koleksi beg tangan jenama saya sendiri. Saya bekerja keras untuk sampai ke tahap ini.
“Bukan mudah mengusahakan perniagaan, apatah lagi produk kita menembusi pasaran luar. “Saya akui banyak mendapat tunjuk ajar daripada ayah dan mendengar kata hati. Saya juga mengembangkan jenama fesyen saya dengan melancarkan koleksi minyak wang,” terang Paris yang bercita-cita membuka rangkaian hotelnya sendiri.
Nampaknya kesungguhan Paris membuktikan dia kini bukan lagi sosialit dungu dan gilakan kontroversi murahan seperti fasa remajanya dulu.
Meskipun mampu membayar tenaga kerja yang ramai bagi memastikan produk beg dan minyak wanginya terjual di pasaran, tetapi anak kepada pasangan Rick dan Kathy itu tidak melepaskan peluang untuk sama-sama mempromosikan produknya.
Tambah penulis buku Confessions of an Heiress : “Saya tidak pernah bosan mengembara ke seluruh dunia untuk mempromosi sendiri produk saya.”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...