Memaparkan catatan dengan label Pemain Pahang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pemain Pahang. Papar semua catatan

Rabu, 23 Oktober 2013

Tok Gajah tak kecut perut

Azamuddin Akil meraikan jaringannya ketika membantu Pahang membenam Sarawak 3-1 pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Kuantan, minggu lalu.

KUANTAN - Biar pun bakal beraksi di depan puluhan ribu penyokong fanatik Ngap Sayot di Stadium Negeri, Kuching, Sabtu ini, namun suasana 'panas' itu tidak sedikitpun menakutkan pemain-pemain Tok Gajah yang cukup bersemangat untuk memburu tiket final Piala Malaysia.

Penyerang Pahang, Azamuddin Akil berkata, keinginan untuk mengulangi memori 1997, iaitu kali terakhir mereka layak ke perlawanan akhir mengatasi segala-galanya.

Katanya, skuad Tok Gajah tidak akan mensia-siakan kelebihan dua gol yang dimiliki dan tetap akan turun bermati-matian untuk mencari gol di Kuching.

''Jika misi ini berjaya, ramai pemain Tok Gajah akan melakar sejarah peribadi tersendiri kerana buat pertama kalinya melangkah ke final Piala Malaysia.

"Saya sendiri hanya pernah beraksi sehingga peringkat suku akhir Piala Malaysia tahun lalu bersama Pahang tetapi belum lagi ke final.

''Andai kami menang, sudah tentu ini hadiah berharga kepada penyokong sepanjang tujuh tahun saya bersama skuad Pahang," katanya semalam.

Pada perlawanan separuh akhir pertama Sabtu lalu, anak jati Kuala Lipis itu berjaya meledakkan dua gol pada minit ke-28 dan 32, manakala satu lagi gol dicipta Matias Conti pada minit ke-37 bagi meletakkan Pahang berkelebihan untuk bersaing di final pada 3 November depan.

Bagaimanapun, Azamuddin, yang terkenal dengan jolokan Alex berkata, dia agak terkilan kerana rakannya sepasukannya, Hafiz Kamal tidak dapat beraksi pada perlawanan penting itu ekoran penggantungan perlawanan selepas menerima kad kuning.

"Agak malang kerana Hafiz tidak dapat diturunkan tetapi saya percaya kesebelasan utama Pahang tidak mudah mengalah dan berupaya mencipta kemenangan berdasarkan prestasi terkini.

''Apa pun saya dan rakan-rakan akan melakukan yang terbaik dan mengikut segala perancangan jurulatih, Dollah Salleh," katanya.

klik untuk : 

Azimat Muadzar | TOK GAJAH


Azimat Muadzar | TOK GAJAH

Oleh Mohd Rafi Mamat
Kuantan: Pengalaman Muadzar Mohamad selama 27 tahun menjaga gawang Tok Gajah akan dicurahkan sepenuhnya kepada Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid yang ditugaskan menyekat asakan jentera serangan Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, Sabtu ini.
“Sudah banyak ilmu saya curahkan kepada Khairul Azhan yang memiliki ciri-ciri seorang penjaga gol yang bagus, kini terpulang kepadanya untuk menterjemahkan pada aksi yang dijangka sengit Sabtu ini.
“Selain kemahiran menangkis asakan lawan yang pasti turun dengan misi menjaringkan seberapa banyak gol, turut diberi tumpuan ialah mengawal perasaan apabila berhadapan dengan pelbagai gelagat penonton tuan rumah,” katanya yang pernah menyarung jersi kebangsaan.

Muadzar yakin Mohd Khairul Azahan mampu memikul tugas berat mengawal gawang Pahang pada perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia terutama selepas berjaya membuktikannya di Stadium Darulmakmur, Sabtu lalu.

Foto
MUADZAR (kanan) memberikan nasihat kepada Khairul Azhan pada sesi latihan.
Katanya, untuk menjadi penjaga yang bagus, pemain perlu memberi sepenuh tumpuan kepada perlawanan, melihat pergerakan bola dan mampu bekerjasama dengan pertahanan.

“Saya harap dia dapat memikul tugas dengan sempurna bagi memastikan misi Pahang melangkah ke final Piala Malaysia musim ini menjadi kenyataan.

“Kepercayaan diberikan jurulatih perlu terjemahkan dengan aksi cemerlang andai dia ingin terus berjaya dalam kerjaya bola sepak tempatan,” katanya yang beraksi tiga kali bersama Pahang di separuh akhir Piala Malaysia.

Sementara itu, Khairul Azhan berkata, kepercayaan diberikan jurulatih Dollah Salleh akan diterjemahkan sebaik mungkin demi kejayaan pasukan.

Dia berterima kasih kepada Muadzar yang tidak jemu-jemu mencurahkan ilmu sejak mula tersenarai bersama skuad Tok Gajah musim ini.

“Banyak pesanan dicurahkan Muadzar yang berharap saya dapat beraksi lebih baik dan konsisten pada perlawanan Sabtu ini. 

“Jentera serangan lawan pasti menggunakan pelbagai helah dalam usaha menjaringkan gol bagi membuka peluang melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23sumber :  Hmetro

Selasa, 22 Oktober 2013

Memori 1997 gamit 'Abang Jalal'

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Jalaluddin Jaafar (kiri) berdepan pemain Perlis, Mohd. Nazaruddin Zain ketika beraksi pada suku akhir kedua Piala Malaysia 2004 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
 KUALA LUMPUR - Jalaluddin Jaafar merupakan satu-satunya tonggak utama skuad final Piala Malaysia 1997 Pahang yang masih membarisi pasukan Tok Gajah ketika ini, justeru tidak hairanlah dia amat mengimpikan untuk mengulangi detik itu apabila berdepan Sarawak pada separuh akhir kedua, Sabtu ini.

Anak jati Pekan, Pahang itu adalah pemain yang paling setia bersama skuad Tok Gajah.
Beraksi di posisi bek kanan, Jalaluddin sentiasa bersama pasukan negeri kelahirannya di kala senang atau susah sepanjang 16 tahun.

Masih gagah pada usia 38 tahun, Jalaluddin memang layak menjadi kapten kerana dia satu-satunya pemain yang tahu bagaimana pengalaman beraksi di pentas akhir kejohanan berprestij itu.

Bagaimanapun pengalaman terakhir Jalaluddin tidak menggembirakan. Dia yang membuat penampilan sulung di pentas akhir Piala Malaysia pada 1997 gagal membantu Pahang muncul juara selepas tewas 0-1 kepada Selangor.

Sejak detik itu, Pahang tidak pernah menjejak kaki ke final, biarpun pada 2004 mereka digelar ‘Real Madrid’ Malaysia kerana kemampuan memikat ramai pemain berstatus bintang. Piala Malaysia terakhir yang dimenangi Tok Gajah kekal pada 1992.

Sudah memberi bayangan mahu bersara pada hujung musim ini, Jalaluddin atau lebih mesra disapa ‘Abang Jalal’ bagaimanapun memasang impian untuk mengakhiri karier dengan membantu Pahang menjulang Piala Malaysia.

Kejuaraan berprestij itu adalah satu-satunya piala yang tidak pernah dimenanginya sepanjang bergelar pemain bola sepak.

Kemenangan 3-1 yang dilakar ke atas Sarawak pada separuh akhir pertama minggu lalu menjadikan dia cukup bersemangat untuk mendekati pentas akhir.

‘‘Setelah sekian lama, inilah detik terbaik buat Pahang bangkit kembali dalam saingan bola sepak Malaysia dan saya teruja mahu beraksi di perlawanan akhir buat kali kedua selepas 1997.

‘‘Enam belas tahun menanti, memang satu tempoh yang lama, namun ia akan menjadi saat yang indah jika kami mampu mempertahankan kelebihan yang ada pada pertemuan di Kuching, Sabtu ini.

‘‘Memang luar biasa saya rasa semangat yang dimiliki kali ini. Kalau kami boleh kekal kecemerlangan di Kuching, bukan saja final, malah kami ada potensi untuk muncul juara," katanya.

Jalaluddin yang merupakan produk akademi bola sepak Pahang tidak pernah beraksi dengan negeri lain, kecuali dipinjamkan ke kelab yang berpengkalan di negeri yang sama, Shahzan Muda pada 2009.

Sepanjang bersama Pahang, dia berjaya meraih gelaran Liga Perdana pada 1999, Liga Super 2004 dan serta Piala FA pada 2006.

SUMBER :
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...