Pengikut

Azimat Muadzar | TOK GAJAH

Oleh Mohd Rafi Mamat
Kuantan: Pengalaman Muadzar Mohamad selama 27 tahun menjaga gawang Tok Gajah akan dicurahkan sepenuhnya kepada Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid yang ditugaskan menyekat asakan jentera serangan Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, Sabtu ini.
“Sudah banyak ilmu saya curahkan kepada Khairul Azhan yang memiliki ciri-ciri seorang penjaga gol yang bagus, kini terpulang kepadanya untuk menterjemahkan pada aksi yang dijangka sengit Sabtu ini.
“Selain kemahiran menangkis asakan lawan yang pasti turun dengan misi menjaringkan seberapa banyak gol, turut diberi tumpuan ialah mengawal perasaan apabila berhadapan dengan pelbagai gelagat penonton tuan rumah,” katanya yang pernah menyarung jersi kebangsaan.

Muadzar yakin Mohd Khairul Azahan mampu memikul tugas berat mengawal gawang Pahang pada perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia terutama selepas berjaya membuktikannya di Stadium Darulmakmur, Sabtu lalu.

Foto
MUADZAR (kanan) memberikan nasihat kepada Khairul Azhan pada sesi latihan.
Katanya, untuk menjadi penjaga yang bagus, pemain perlu memberi sepenuh tumpuan kepada perlawanan, melihat pergerakan bola dan mampu bekerjasama dengan pertahanan.

“Saya harap dia dapat memikul tugas dengan sempurna bagi memastikan misi Pahang melangkah ke final Piala Malaysia musim ini menjadi kenyataan.

“Kepercayaan diberikan jurulatih perlu terjemahkan dengan aksi cemerlang andai dia ingin terus berjaya dalam kerjaya bola sepak tempatan,” katanya yang beraksi tiga kali bersama Pahang di separuh akhir Piala Malaysia.

Sementara itu, Khairul Azhan berkata, kepercayaan diberikan jurulatih Dollah Salleh akan diterjemahkan sebaik mungkin demi kejayaan pasukan.

Dia berterima kasih kepada Muadzar yang tidak jemu-jemu mencurahkan ilmu sejak mula tersenarai bersama skuad Tok Gajah musim ini.

“Banyak pesanan dicurahkan Muadzar yang berharap saya dapat beraksi lebih baik dan konsisten pada perlawanan Sabtu ini. 

“Jentera serangan lawan pasti menggunakan pelbagai helah dalam usaha menjaringkan gol bagi membuka peluang melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/23sumber :  Hmetro
Previous
Next Post »