Sabtu, 16 Julai 2011

‘Sokonglah Malaysia’

 

KETUA jurulatih negara, Datuk K Rajagobal menggesa peminat tempatan mempamerkan semangat patriotik apabila hadir menyaksikan perlawanan persahabatan Harimau Malaya menentang Liverpool petang ini.
Pengendali yang menjulang Piala AFF 2010 dan pingat emas Sukan Sea 2009 itu jelas kurang senang dengan suasana ‘Gelombang Merah’ yang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil ketika menentang Arsenal pada Rabu lalu.

“Saya mengharapkan mereka akan lebih patriotik kali ini. Saya menasihatkan mereka untuk memakai jersi biru (jersi kedua Malaysia) namun saya tidak melarang mereka untuk menyokong kelab luar.
“Saya tidak faham dalam keadaan genting seperti ini kenapa mereka tidak menyokong skuad negara. Mereka perlu berfikir dengan bijak untuk membandingkan pasukan mana yang lebih penting untuk disokong,” katanya.

Tambahnya ia mungkin memberi impak positif untuk pemain negara bangkit memberikan tentangan kepada lawan, malah pemain luar (Arsenal) memuji aksi pemain negara yang menggambarkan permainan Malaysia bagus pada separuh masa pertama.

“Gol mudah dan sepakan penalti pada peringkat awal mengubah permainan. Peminat perlu faham Malaysia adalah negara mereka namun bukan semuanya bersikap seperti itu kerana ia membabitkan sebahagian peminat saja,” katanya.

Rajagobal menggalas tugas berat petang ini untuk mengembalikan semula rentak sebenar permainan Harimau Malaya selepas aksi hambar menentang Arsenal sehingga diaib dengan kekalahan 4-0.

Beliau dijangka membuat beberapa perubahan dalam kesebelasan utama terutamanya bagi menggantikan pemain pertahanan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak dan penyerang berbisanya, Norshahrul Idlan Talaha.


Antara yang mungkin mendapat kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama adalah gandingkan penyerang Ahmad Fakri Saarani dan Abdul Hadi Yahaya selain memasukkan pemain sayap kanan, Baddrol Bakhtiar serta Mohd Muslim Ahmad menggantikan Mohd Aidil Zafuan.

Mohd Safee Sali pula berkemungkinan turun sebagai pemain gantian kerana Rajagobal pastinya tidak mahu kehilangan penyerang Pelita Jaya itu selepas kecederaan hamstring Norshahrul masih tidak menentu.

“Saya masih mempunyai Izzaq Faris Ramlan yang baru dipanggil bagi membantu jentera serangan selain Ismail Faruqi. Sekiranya diturunkan ini adalah peluang untuk kedua-duanya membuktikan sesuatu bagi diserap dalam skuad ke Singapura,” katanya.

Sumber hmetro
This entry was posted in

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...