Jangan buat laporan palsu selesai masalah peribadi: Polis
SHAH ALAM: Polis memberi amaran supaya orang ramai tidak membuat laporan dan mereka-reka cerita apabila berdepan dengan masalah peribadi kerana ia hanya mengganggu tugas pihak berkuasa menangani kes-kes jenayah lain.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata apabila menerima laporan umpamanya mengenai culik, polis perlu membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya dalam usaha memastikan mangsa dapat diselamatkan.
"Namun jika laporan itu hanya laporan palsu dan direka-reka, ia mengganggu tugas harian polis," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini ketika mengulas kejadian seorang gadis pelajar sebuah kolej swasta mendakwa diculik padahal dia tinggal bersembunyi bersama teman lelakinya di sebuah rumah di Danau Kota di Kuala Lumpur.
Mohd Adnan berkata dalam kes berkenaan gadis berusia 19 tahun itu ditemui bersama teman lelakinya berusia 23 tahun yang ditahan pada Selasa lalu bagi membantu siasatan.
"Polis menerima laporan daripada ibu gadis itu pada 14 November lalu yang mendakwa anaknya diculik di mana beberapa barangan peribadi termasuk dompet dan telefon bimbit mangsa ditemui di tepi jalan. Namun, siasatan mendapati mangsa bukan diculik tetapi mengada-adakan cerita seolah-olah dia diculik.
"Berdasarkan fizikal, mangsa dipercayai hamil namun kita masih menunggu laporan perubatan," katanya. - Bernama
sumber: METRO
0 Komen:
Catat Ulasan