Ombak Rindu
Ombak Rindu adalah sebuah novel berbahasa Melayu karya Fauziah Ashari. Ia berkisarkan tentang kehidupan seorang gadis bernama Izzah yang yatim piatu.
Sinopsis
Izzah adalah seorang gadis yatim piatu yang kematian orang tua mereka akibat kemalangan jalan raya. Justeru itu, pak saudaranya, Taha mengambil tugas memelihara Izzah. Isteri Taha tidak senang dengan kehadiran Izzah dan menuduh Izzah membawa bencana dalam keluarga.Pak cik Taha banyak berhutang. Disebabkan kesempitan wang dia sanggup menjual anak saudaranya itu kepada seorang tauke kelab malam. Izzah terpaksa mengikut kehendak pak saudaranya walaupun hatinya tidak rela.
Di situlah dia telah berkenalan dengan seorang pelanggan bernama Hariz. Hariz telah membeli Izzah dengan harga yang mahal dari tauke kelab itu dan membawa dia keluar dari neraka jahanam itu. Di atas permintaan Izzah, akhirnya Hariz berkahwin dengan Izzah tetapi dengan syarat semuanya mesti dirahsiakan.
Kehadiran Mila Amylia, anak Tan Sri Rashdan, iaitu model dan pelakon terkenal tanahair menggugat cinta Izzah yang mula berputik kepada Hariz. Dapatkah Izzah menerima Mila Amylia sebagai madunya? Bagaimana pula penerimaan Mila pada Izzah? Dapatkah hariz membahagiakan Izzah dan Mila? Bahagiakah rumah tangga yang dibina di atas kehadiran orang lain? Bagaimanakah tindakan Datuk Sufiah setelah mengetahui cerita sebenarnya?
Ombak Rindu (filem)
Ombak Rindu merupakan sebuah filem genre drama dan cinta dibawah arahan Osman Ali dan mula ditayangkan pada 1 Disember 2011 di Malaysia.
Sinopsis
Filem yang diadaptasikan daripada novel Ombak Rindu ini mengisahkan tentang perjalanan cinta dua insan, Izzah (Maya Karin) dan Hariz (Aaron Aziz) dari dua dunia yang berbezadan mereka terpaksa menempuh pelbagai rintangan sebelum menemui kebahagiaan. Izzah adalah gadis kampung yang telah dijual oleh bapa saudaranya kepada sebuah kelab hiburan di Kuala Lumpur untuk dijadikan pelacur. Seorang pemuda, Hariz anak Datuk Sufiah, pemilik empayar perniagaan Sufiah Cemerlang telah mermbeli Izzah dari pemilik kelab tersebut untuk dijadikan perempuan simpanan, namun Izzah telah merayu Hariz supaya menikahinya untuk menghalalkan hubungan mereka.
Hariz setuju dengan syarat Izzah tidak menuntut sebarang hak sebagai isteri. Namun selepas itu, Hariz yang kasar dan panas baran telah jatuh cinta dengan Izzah yang penuh dengan kelembutan. Hariz kemudian terpaksa menikahi Mila (Lisa Surihani), kawan zaman persekolahannya setelah didesak oleh Datuk Sufiah dan Mila yang amat mencintainya. Semasa Hariz koma dihospital akibat kemalangan jalan raya, Datuk Sufiah telah menghalau Izzah keluar dari bungalow Hariz dan merampas telefon bimbit Izzah.
Setelah keluar dari hospital, Datuk Sufiah memberitahu Hariz yang Izzah telah menjalani hubungan dengan lelaki lain. Hariz yang marah telah memberitahu Izzah bahawa dia akan digantung tidak bertali semasa terserempak dengan Izzah di rumah Pak Dollah, pemandu keluarga Datuk Sufiah. Izzah kemudian kembali ke kampungnya. Pak Dollah yang marah dengan Datuk Sufiah telah memecahkan rahsia bahawa Hariz adalah anaknya yang telah diserahkan kepada suami Datuk Sufiah untuk dijadikan anak angkat serta memberitahu Hariz bahawa Izzah tidak bersalah. Hariz yang menyesal dan amat rindukan Izzah telah pergi ke kampung Izzah untuk memujuk supaya kembali kepangkuannya. Mila datang ke kampung Izzah dan menuntut cerai dari Hariz. Filem ini berakhir dengan Izzah dan Hariz menjalani hidup bahagia tanpa rahsia lagi.
sumber:
http://ms.wikipedia.org/wiki/Ombak_Rindu
http://ms.wikipedia.org/wiki/Ombak_Rindu_(filem)
0 Komen:
Catat Ulasan