Memaparkan catatan dengan label Penerbangan Malaysia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Penerbangan Malaysia. Papar semua catatan

Isnin, 31 Mac 2014

Bila juruterbang keluar bertugas, tidak semestinya akan pulang, kata balu




PUTRAJAYA: Para anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dinasihati agar reda dengan sebarang kemungkinan berlaku terhadap pesawat yang hilang itu.

Perkara ini disampaikan oleh balu kepada juruterbang pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang suaminya meninggal dalam nahas pesawat 17 tahun lepas.

Norhaslina Hashim, 47, meminta anggota keluarga berkenaan agar terus berdoa untuk orang tersayang mereka yang berada di dalam pesawat.

Beliau berkata bagi dirinya, setiap juruterbang menghadapi risiko besar apabila mereka keluar bertugas dan anggota keluarga terutama isteri juruterbang telah dididik untuk berhadapan dengan risiko kehilangan suami apabila suami mereka bertugas.

Beliau menceritakan bahawa sebelum berkahwin pada tahun 1989, beliau telah diingatkan oleh suaminya, Allahyrham Mejar Azlizan Abdul Manas untuk menerima apa sahaja berita buruk setiap kali beliau keluar bekerja.

"Allahyarham mengingatkan saya dari mula kami berkahwin bahawa apabila beliau keluar bekerja, tidak semestinya dia akan pulang," katanya kepada pemberita di Hotel Everly di sini hari ini, untuk membantu menguatkan semangat anggota keluarga penumpang pesawat yang hilang itu.

Dalam nahas yang menimpa Azlizan, pesawat helikopter Agusta A109E yang dipandunya yang membawa Pengerusi Kumpulan DRB Hicom ketika itu Tan Sri Yahaya Ahmad dan isterinya Puan Sri Rohana Othman dilaporkan hilang dari skrin radar dan terputus hubungan pada jam 11.15 malam, ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu.

Mayat ketiga-tiga mereka ditemui dua jam selepas pesawat itu terhempas di Kampung Atong, Jerangsang, Kuala Lipis, Pahang.

Norhaslina berkata dengan kejadian itu, pesanan suaminya bahawa apabila beliau keluar bertugas dan tidak semestinya akan pulang, benar-benar menjadi kenyataan.

Kamarul Mizan Ipit, 50, pula menasihati semua pihak agar tidak menuding jari antara satu sama lain berhubung kejadian kehilangan pesawat itu.

"Anggota keluarga perlu terus maju ke hadapan dan apa yang penting ialah percaya kepada takdir dan teruskan berdoa," katanya yang suaminya Mejar (B) Azhari Ghazali, 50, hampir menemui maut dalam nahas pesawat yang berlaku di Laut China Selatan pada tahun 1996.

Berita mula diterbitkan pada: Mac 31, 2014 14:51 (MYT)

Sabtu, 29 Mac 2014

MH370: Apa salah dengan teori konspirasi?


KUALA LUMPUR: Kita mungkin akan mengetahui apakah nasib yang menimpa pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang telah hilang hampir tiga minggu lalu, atau mungkin juga tidak.

Atau mungkin juga, biar apa sahaja penemuan dari serpihan pesawat atau kotak hitam yang ditemui, sebahagian dari kita berkemungkinan tidak akan dapat menerimanya.

Pengumuman Perdana Menteri yang pesawat malang itu hilang di bahagian selatan Lautan Hindi, hadir pada hari ke-17 selepas pesawat itu hilang pada 8 Mac lalu, ketika dalam perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Beijing, China.

Namun, sejak itu juga pelbagai spekulasi dan teori samakin banyak yang timbul, sehinggakan ke hari ini ada antara kita yang mempersoalkannya (kehilangan pesawat), masih berharap yang pesawat membawa 239 nyawa itu menemui nasib yang lebih baik, tidak hilang di bawah dasar Lautan Hindi.

Berasaskan teori konspirasi juga, ada yang beranggapan kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu.

Ada yang mendakwa pesawat dirampas, mendarat di satu kawasan yang tersembunyi dan akan dijadikan senjata. Ada pula yang berkata kejadian didalangi anggota kumpulan rahsia “Illuminati” bagi mendapatkan hak kepada “paten” sesuatu produk. Ada juga yang berkata kononnya pesawat dilencongkan ke Diego Garcia, bagi menyembunyikan kandungan kargo yang dibawa pesawat. Mana boleh kita mengenepikan teori Segitiga Bermuda, Black Hole dan makhluk asing yang banyak diperkatakan.

Kebanyakkan teori melampau dan paranormal ini agak pelik tanpa asas saintifik untuk menyokongnya, ini hanya meningkatkan harapan terhadap ahli keluarga penumpang dan kru yang masih mengharapkan akan ada petunjuk menjelaskan segalanya, meskipun ia sekadar spekulasi.

Bagaimanapun, menurut satu kajian teori konspirasi ada fungsinya – sebagai satu mekanisme untuk orang ramai menghadapi atau memahami sesuatu peristiwa yang buntu.

“Dalam kes pesawat MH370, adalah sukar untuk memahami bagaimana pesawat boleh hilang. Teori konspirasi memberikan ruang untuk sesetengah orang untuk mendapatkan penjelasan buat mereka yang memerlukannya.

“Saya tidak berpendapat teori konspirasi sentiasa memberikan impak negatif. Ia memenuhi fungsinya dalam masyarakat. Ia mungkin bukan fungsi yang baik, atau membantu, tetapi ia memberikan respon rasional terhadap satu fenomena yang sukar,” kata Dr Viren Swami, seorang pakar psikologi dari Universiti Westminster, United Kingdom.

Ketika dihubungi Astro AWANI, Swami menjelaskan yang sudah menjadi sifat manusia untuk mendapatkan jawapan (terhadap sesuatu persoalan) dan untuk memahami seuatu yang tidak diketahui atau difahami.

“Seseorang itu mungkin tidak percayakan teori konspirasi, tetapi ia memberikan penjelasan ringkas untuk sesuatu perkara yang sukar difahami. Ia membolehkan (pihak yang menerimanya) merasa lebih lega dan baik. Dengan adanya perasaan ini, ia memberikan mereka suara. Ia memberikan mereka seakan kuasa,” katanya.

Penerimaan pelbagai teori mengenai kehilangan ‘misteri’ pesawat juga dikatakan disumbang oleh maklumat bercanggah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, adakalanya tidak disahkan kesahihannya dan juga laporan berbentuk spekulatif oleh pihak media.

Dalam reaksi terhadap peningkatan pelbagai spekulasi, pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussien terpaksa menghabiskan tempoh sidang medianya untuk menangkis khabar angin, spekulasi dan laporan yang tidak sahih.

Namun apabila ada serpihan ditemui, tetapi tidak disokong oleh data konklusif mengenai di manakah posisi pesawat, tidak dapat tidak, ia menguatkan lagi teori ada cubaan untuk menutup ‘sesuatu’.

Menurut Nicholas DiFonzo, seorang pakar dalam bidang kajian ’khabar angin’ daripada Institut Teknologi Rochester, ramai yang tidak lagi percaya kepada saluran maklumat dan pihak berkuasa terpaksa bekerja keras untuk mengemukakan ‘bukti’ terhadap teori-teori mereka sendiri.

“Adalah penting untuk memastikan orang ramai dan ahli keluarga dimaklumkan (apa jua makumat) bagi mengelak dan menguruskan spekulasi yang tidak diingini. Namun dalam kes ini (MH370) ia sememangnya tidak masuk akal. Saya tidak pasti sama ada penerangan yang lebih baik dari pihak berkuasa akan membantu ( mengurangkan spekulasi),” katanya.

Selain itu, pihak media, internet dan sifat dahagakan maklumat oleh masyarakat memberikan cabaran kepada pihak berkuasa untuk menguruskan krisis sebegini.

“Tumpuan 24-jam media terhadap berita ini menyukarkan lagi keadaan, ini kerana (pihak media) perlu membekalkan orang ramai dengan berita bagi merungkai persoalan. Ramai yang terlalu obses dengan ‘misteri’ ini, ia disumbangkan lagi berita-berita yang disampaikan pihak media, ditambah lagi oleh berita dari internet yang bersifat interaktif,” kata DiFonzo.

Laman media sosial, katanya adalah ruang paling mudah untuk digunakan dan mencetuskan pelbagai spekulasi.

“Media sosial melakukannya dengan' baik'. Ia memberikan ruang untuk teori konspirasi berkembang tanpa ada pihak yang boleh menangkisnya – tiada bukti-bukti bercanggah atau analisis yang kritikal. Apabila anda memberikan maklumat yang kritikal berkenaan sesuatu teori, ia berjaya mengurangkan andaian ia sekadar satu konspirasi.”

“Rangkaian atas talian adalah “mesra” kepada teori konspirasi dan bertindak sebagai satu ruang bersuara. Mendengar berulang kali dari sumber yang mereka percayai, dan sebagai sebahagian daripada rangkaian dimana ‘kepercayaan’ terhadap teori tertentu disebarkan, menyebabkan seseorang itu akan mudah mempercayai sesuatu teori ,” tambah DiFonzo.

Jadi adakah kita (termasuk mereka yang paling rasional) terdedah untuk menerima dan menyebarkan teori-teori konspirasi,? Jawapannya adalah ‘ya’ kata Swami, namun bergantung kepada pelbagai perkara seperti personaliti dan psikologi seseorang individu.

“Mereka yang lebih mudah terdedah kepada (mempercayai) konspirasi adalah mereka yang mempunyai rasa rendah diri , mereka yang tidak berkuasa dan mereka yang beranggapan tidak diberikan pilihan.

“Apabila anda telah mempercayai teori konspirasi ini, anda juga berkecenderungan untuk menerimanya. Sebagai contoh, jika anda percaya kepada konspirasi serangan 9/11, atau tidak percaya manusia telah menjejak kaki di bulan, anda akan berkecederungan juga untuk mempercayai teori-teori berhubung kehilangan pesawat (MH370),” katanya.


Berita mula diterbitkan pada: Mac 29, 2014 09:52 (MYT)


Read more at:http://www.astroawani.com/news/show/mh370-apa-salah-dengan-teori-konspirasi-32739?cp

MH370: Lima pesawat lihat beberapa objek pelbagai warna terapung

Petugas bersedia mengeluarkan helikopter Sea Hawk dari pesawat C-17 milik Tentera Udara Di Raja
Australia selepas pesawat itu mendarat di Pangkalan RAAF Base. --AP Photo/Rob Griffith

KUALA LUMPUR: Lima pesawat dilaporkan terlihat beberapa objek pelbagai warna ketika dalam misi mencari pesawat Penerbangan Malaysia MH370 pada Jumaat.

Misi mencari tersebut kini telah berakhir dengan pencarian dalam kawasan seluas 256,000 kilometer persegi.

Imej fotografik objek-objek tersebut telah diambil dan ia akan dikaji malam ini.

Objek-objek terbabit setakat ini masih belum disahkan atau dinafikan sebagai milik MH370 sehingga ia ditemui dan dibawa balik oleh kapal.

Pesawat P3 Orion milik Tentera Udara Di Raja New Zealand (RNZAF) dilaporkan melihat beberapa objek berwarna putih dan terang serta satu boya memancing.

Sementara itu, pesawat P3 Orion milik Tentera Udara Di Raja Australia (RAAF) turut melihat objek sama yang dilihat pesawat RNZAF, disamping dua objek segi empat tepat berwarna biru/kelabu terapung di permukaan laut.

Pesawat P3 Orion kedua milik RAAF turut melihat beberapa objek pelbagai warna di satu kawasan lain, kira-kira 546 kilometer dari kawasan penglihatan pertama.

Sejumlah sepuluh pesawat dikerahkan dalam misi pencarian hari ini oleh AMSA, dan kini telah meninggalkan lokasi pencarian.

AMSA telah mengarahkan kapal peronda Pentadbiran Maritim China, Haixun 01, yang berada berhampiran kawasan pencarian dan akan tiba untuk mencari dan mendapatkan objek-objek terbabit, esok.

Cuaca pada Sabtu dijangka sesuai untuk misi mencari.


Read more at:http://www.astroawani.com/news/show/mh370-lima-pesawat-lihat-beberapa-objek-pelbagai-warna-terapung-32725?cp

Jumaat, 28 Mac 2014

MH370: Berkemungkinan terbang lebih pantas, kawasan pencarian diubah


KUALA LUMPUR: Kawasan pencarian pesawat Penerbangan Malaysia, MH370 yang hilang 8 Mac lalu kini diubah lokasinya susulan penemuan baharu yang kredibel oleh Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh laman web AMSA, hasil maklumat yang disampaikan oleh pasukan penyiasat antarabangsa di Malaysia, kawasan pencarian baharu akan diubah lokasinya 1,100 kilometer ke Timur Laut.

Agensi penyiasat, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), telahpun memeriksa maklumat yang diberikan dan berpendapat maklumat itu adalah paling kredibel untuk mengesan kawasan serpihan.

Kawasan pencarian baharu itu dianggarkan merangkumi kawasan seluas 319,000 kilometer persegi, kira-kira 1,850 kilometer ke barat Perth.

Maklumat terbaharu ini adalah berdasarkan analisa data radar antara Laut China Selatan dan Selat Melaka sehingga hubungan radar terputus.

Hasil siasatan juga mendapati pesawat terbang lebih pantas dari masa yang dianggarkan sebelum ini, menyebabkan peningkatan penggunaan minyak dan berkemungkinan mengurangkan jaraknya menuju ke Lautan Hindi.

ATSB juga berpendapat maklumat akan lebih diperincikan oleh pasukan penyiasat yang kini terus menganalisa maklumat radar.

Pertubuhan Perisikan-Geopatial Australia juga dilaporkan kini sedang berusaha mendapatkan imej satelit di kawasan baharu ini.

Sementara itu keadaan cuaca dlaporkan semakin baik dengan 10 pesawat telah ditugaskan untuk meneruskan misi pencarian hari ini.

Ia termasuk dua kapal P3 Orion milik Tentera Udara Australia, sebuah jet milik pasukan Pengawal Pantai Jepun, sebuah P3 Orion milik Jepun, Sebuah P3 Orion milik Republik Korea, sebuah pesawat Hercules 130 milik Republik Korea, sebuah P3 Orion milik Tentera Udara Diraja New Zealand, sebuah Ilyushin IL-76 milik tentera China, sebuah P8 Poseidon milik tentera laut Amerika Syarikat dan sebuah pesawat awam untuk tujuan komunikasi.

Sebuah lagi pesawat P3 Orion turut diletakkan dalam keadaan bersedia di pelabuhan Pearce sekiranya terdapat penemuan baharu.

Ketika ini terdapat enam kapal di kawasan pencarian termasuk HMAS Sucess dan lima kapal milik China.
AMSA dan ATSB dijangka akan mengadakan satu siding akhbar mengenainya.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA pada 12.41 pagi 8 Mac dan hilang daripada skrin radar semasa terbang di Laut China Selatan.



Berita mula diterbitkan pada: Mac 28, 2014 10:26 (MYT)


Read more at:http://www.astroawani.com/news/show/mh370-berkemungkinan-terbang-lebih-pantas-kawasan-pencarian-diubah-32681?cp

MH370: Kerajaan tidak akan menyerah kalah - DCA


BEIJING: Kerajaan Malaysia tidak akan menyerah kalah dalam usaha mencari Penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) walaupun kotak hitam pesawat hanya mengeluarkan isyarat selama 30 hari.

Pengarah Perkhidmatan Trafik Udara Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Ahmad Nizar Zolfakar berkata kerajaan Malaysia telah memberi komitmen untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sehingga kotak hitam pesawat dijumpai.

Nizar berkata kerajaan akan mencontohi langkah yang diambil dalam operasi SAR bagi penerbangan 447 Air France yang terhempas di Lautan Atlantik pada 2009.

"Masa dua tahun diambil untuk menjumpai kotak hitam Air France 447, daripada pesawat Air France 447, oleh itu kami akan menjadikannya sebagai contoh dalam misi SAR untuk MH370.

"Mencari kotak hitam adalah usaha yang diberi keutamaan peringkat tertinggi oleh kerajaan (Malaysia)," kata beliau.

Nizar berkata demikian pada taklimat antara delegasi tertinggi Malaysia dan anggota keluarga penumpang warga China pesawat malang itu di sini pada Khamis. Taklimat itu yang bermula pukul 3 petang berakhir pada 6.40 petang (waktu tempatan).

Sementara itu, Komander Operasi Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Lt Jen Datuk Seri Ackbal Abdul Samad meminta keluarga penumpang tidak menganggap taklimat itu sebagai perbicaraan dan membangkitkan persoalan membabitkan aspek perundangan.

Semasa taklimat, berpuluh-puluh persoalan teknikal dan bersifat spekulasi ditanya oleh anggota keluarga.

Persoalan itu membabitkan kemudahan yang dilengkapi di dalam pesawat Boeing 777-200ER untuk menghalang rampasan, ketinggian maksimum penerbangan MH370, tempoh pesawat boleh terbang melepasi had ketinggian, bekalan oksigen yang mencukupi dan reaksi fizikal penumpang di dalam pesawat sebaik mencapai had ketinggian.

Anggota keluarga juga bertanya sama ada panggilan telefon satelit dibuat ketika sistem Komunikasi dan Pelaporan pesawat (ACARS) dan peralatan transponder dimatikan.

Anggota keluarga juga meminta wakil dari syarikat Rolls-Royce (pembuat enjin) dan Boeing hadir pada taklimat akan datang.

Delegasi tertinggi itu yang diketuai Ackbal tiba di Beijing Khamis lepas.

Delegasi itu, mengandungi wakil dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Malaysia Airlines ditugaskan untuk memberi taklimat kepada anggota keluarga berhubung perkembangan terkini pencarian pesawat.

Kira-kira 154 warga China adalah antara 227 penumpang dalam pesawat Boeing 777-200ER itu yang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi pada hari yang sama.

Misi pencarian pelbagai negara digerakkan bagi menjejaki pesawat, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian, di sepanjang dua koriror -- koridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand dan koridor selatan, meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Hasil analisis data satelit yang belum pernah diguna pakai sebelum ini, firma telekomunikasi satelit United Kinghdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) membuat rumusan bahawa Penerbangan MH370 terbang melintasi koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, ke barat Perth, Australia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.


Berita mula diterbitkan pada: Mac 28, 2014 07:06 (MYT)


Read more at:http://www.astroawani.com/news/show/mh370-kerajaan-tidak-akan-menyerah-kalah-dca-32675?cp

Rabu, 26 Mac 2014

MH370: Pencarian serpihan, rangka dan objek ambil masa

MH370: Pencarian serpihan, rangka dan objek ambil masa



KUALA LUMPUR: Selepas nasib pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin, usaha mencari kini tertumpu di bahagian selatan Lautan Hindi.

"Apa yang kita perlu lakukan pada minggu dan bulan akan datang ialah mencari segala serpihan, rangka serta objek-objek berkaitan pesawat MH370 supaya boleh kita mengesahkan tanpa ragu-ragu bahawa MH370 telah hilang di selatan Lautan Hindi," katanya.

Perdana Menteri mengumumkan bahawa penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi pada Ahad.
Ketika membentangkan usul khas di Dewan Rakyat pada Isnin, Najib merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga, rakan dan kenalan 227 penumpang serta 12 anak kapal penerbangan MH370.

Najib berkata walaupun jawapan berhubung misteri kehilangan pesawat itu hanya boleh dirungkai oleh rakaman perbualan kokpit dalam kotak hitam, siasatan terperinci perlu dilakukan secara profesional disertai dengan komitmen.

Susulan analisis data terbaharu, operasi mencari dan menyelamat di koridor utara dan bahagian utara koridor selatan dekat Indonesia, dihentikan.

Koridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand sementara koridor selatan, meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Pihak berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA), dalam kenyataan hari Selasa, menyebut usaha pencarian MH370 di Lautan Hindi ditangguh berikutan cuaca buruk dan laut bergelora.

Kenyataan itu menyebut kawasan berkenaan dijangka mengalami ombak setinggi 2 meter dan boleh mencecah empat meter selain diramal mengalami tiupan angin kencang sehingga 80 kilometer sejam beserta hujan lebat dan awan rendah dengan ketinggian antara 60 dan 150 meter.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya pula berkata MAS memberi bantuan awal kewangan US$5,000 kepada anggota keluarga terdekat setiap penumpang MH370. Beliau juga berkata sejak penerbangan MH370 hilang pada 8 Mac, syarikat itu memfokus kepada keselesaan dan khidmat sokongan untuk anggota keluarga penumpang selain menyokong usaha pencarian.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis tidak akan mengumumkan hasil siasatan terhadap penumpang dan anak kapal pesawat Boeing 777 itu kerana ia akan menjejaskan siasatan ketika ini.

Beliau bagaimanapun berkata siasatan yang menjurus kepada empat elemen iaitu rampasan, sabotaj, masalah mental dan masalah peribadi, tidak berubah.

Berita mula diterbitkan pada: Mac 26, 2014 08:48 (MYT)


Selasa, 25 Mac 2014

Pesawat MH370 disahkan hilang di kawasan selatan Lautan Hindi

Pesawat MH370 disahkan hilang di kawasan selatan Lautan Hindi


KUALA LUMPUR: Pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang gagal dikesan sejak 8 Mac lalu disahkan hilang di kawasan selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan berita itu dalam satu sidang khas yang disiarkan secara langsung dari Pusat Dagangan Dunita Putra (PWTC) malam tadi.

Kata Perdana Menteri, kedudukan terakhir penerbangan MH370 itu didasarkan kepada maklumat daripada data satelit yang diberikan oleh syarikat Britain, Inmarsat dan Bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) yang mengesahkan pesawat Boeing 777-200 itu terbang ke jalur selatan isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu.

"Ini kawasan yang terpencil, jauh daripada mana-mana tapak pendaratan yang munasabah.

"Oleh itu, dengan rasa penuh dukacita dan kesal, saya memaklumkan bahawa, berdasarkan kepada data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib.

Sementara itu, MAS dalam satu kenyataan memaklumkan akan terus memberikan bantuan dan sokongan kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal yang terlibat seperti yang ia lakukan sejak pesawat ini hilang.

MAS juga memaklumkan operasi mencari dan siasatan menyeluruh akan diteruskan untuk mencari jawapan kepada misteri kehilangan pesawat miliknya itu.

"Sekali lagi, dengan rendah hati, ingatan, doa dan takziah kami untuk semua yang terjejas dengan tragedi ini," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Najib memberitahu satu sidang media akan diadakan pada Selasa dengan maklumat yang lebih lanjut.

"Pada masa ini, kami ingin memaklumkan kepada anda perkembangan terbaru ini pada kesempatan yang terdekat. Kami berkongsi maklumat ini dengan komitmen kepada keterbukaan dan rasa hormat kepada keluarga, dua prinsip yang menggarisbawahi penyiasatan ini," katanya.

Menurut Najib lagi, Malaysia Airlines telah memaklumkan perkembangan baru ini kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal.

"Bagi mereka, beberapa minggu kebelakangan ini cukup menyedihkan; saya tahu berita tentunya lebih sedih lagi," katanya.

Najib juga menyeru kepada media untuk menghormati ruang peribadi ahli keluarga yang terlibat dan memberikan kepada mereka ruang yang sangat diperlukan pada masa yang sukar ini.

Pesawat penerbangan MH370 membawa 239 orang, termasuk 38 penumpang dan 12 anak kapal warga Malaysia. Operasi mengesan pesawat ini digerakkan sejak ia hilang pada awal pagi 8 Mac lalu dan disertai oleh lebih 20 buah negara.

Siasatan awal mendapati pesawat yang hilang itu telah dilencongkan dengan sengaja oleh seseorang yang memandunya. Bagaimanapun, pelbagai spekulasi dan teori konspirasi timbul kerana sistem komunikasi dengan pesawat itu terputus dan tiada bukti-bukti kukuh atau petunjuk mengenai kehilangan pesawat itu.

Antara teori yang dikemukakan dalam masa pencarian sepanjang 17 hari lalu oleh pakar dan penganalisis penerbangan termasuk rampasan, sabotaj oleh juruterbang serta kemungkinan pesawat itu mengalami masalah sehingga menyebabkan semua anak kapalnya tidak sedarkan diri dan pesawat itu terbang sendiri sehingga kehabisan minyak.

Pesawat penerbangan MH370 membuat hubungan terakhir dengan pusat kawalan trafik udara semasa berada di Laut China Selatan di sebuah kawasan yang terletak antara sempadan Malaysia dan Vietnam. Ia kemudian dikesan berpatah balik dari laluan asalnya dan terbang selama beberapa jam.

Usaha mengesan pesawat itu kemudiannya digerakkan di dua jalur di sebelah utara yang menganjur dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand serta dari Indonesia sampai ke selatan Lautan Hindi.

MH370 | Kenyataan penuh sidang media Perdana Menteri

MH370

Petang ini saya telah diberikan taklimat oleh wakil daripada Badan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB). Mereka memaklumkan kepada saya bahawa Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit yang menunjukkan koridor utara dan selatan, telah menjalankan perkiraan lanjut ke atas data berkenaan.

Menggunakan satu bentuk analisis yang belum pernah digunakan dalam siasatan seperti ini, mereka mampu memberikan beberapa petunjuk yang lebih jelas mengenai laluan penerbangan pesawat MH370.

Berdasarkan analisis baharu mereka, Inmarsat dan AAIB merumuskan bahawa pesawat MH370 telah terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang lokasi pendaratan. Oleh itu dengan perasaan yang amat sedih dan terharu, menurut data terkini yang diperolehi, saya ingin memaklumkan bahawa penerbangan pesawat MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi.

Kami akan mengadakan satu sidang media esok (Selasa) bagi memberikan butiran lanjut. Buat masa ini, kami akan terus memaklumkan tentang perkembangan baru ini secepat yang mungkin. Kami berkongsi maklumat ini kerana kami komited kepada keterbukaan dan menghormati ahli keluarga yang terlibat, dua prinsip yang sentiasa menjadi panduan dalam siasatan ini.

Malaysia Airlines sudah berhubung dengan ahli keluarga penumpang dan anak kapal untuk memaklumkan kepada mereka perkembangan terbaru ini. Buat mereka, beberapa minggu lepas merupakan masa yang amat memilukan; saya sedar berita ini akan lebih menyedihkan lagi. Saya menggesa pihak media agar menghormati privasi mereka dan memberikan mereka sedikit ruang yang amat diperlukan di saat-saat sukar seperti ini.

Berita mula diterbitkan pada: Mac 24, 2014 23:27 (MYT)

Read more at:http://www.astroawani.com/news/show/kenyataan-penuh-sidang-media-perdana-menteri-32480?cp

MH370 | Kenyataan Penuh MAS

Kenyataan penuh MAS

Malaysia Airlines dengan penuh rasa kesal ingin memaklumkan bahawa kami terpaksa menganggap bahawa MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. Seperti yang akan anda dengar tidak lama lagi daripada Perdana Menteri Malaysia, analisis baru data satelit membayangkan pesawat itu jatuh di selatan Lautan Hindi.

Bagi pihak semua kami di Malaysia Airlines dan seluruh rakyat Malaysia, doa kami kepada semua insan tersayang kepada 227 penumpang dan 12 sahabat serta rakan kerja kami pada saat-saat yang sukar ini.

Kami tahu tidak ada kata-kata yang boleh kami atau sesiapa pun ucapkan untuk meringankan kepedihan itu. Kami akan terus memberikan bantuan dan sokongan kepada anda, seperti yang telah kami lakukan sejak MH370 mula-mula hilang pada awal pagi 8 Mac lalu semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Operasi mencari yang sedang dijalankan oleh pelbagai negara akan diteruskan sementara kita mencari jawapan kepada persoalan yang masih belum berjawab. Di samping usaha mengesan MH370, ada juga satu siasatan menyeluruh yang kami harapkan akan memberikan jawapan itu.

Kami juga ingin memberi jaminan bahawa Malaysia Airlines akan terus memberikan anda sokongan penuh untuk mengharungi minggu-minggu dan bulan-bulan yang akan datang.

Sekali lagi, dengan penuh rendah hati kami panjangkan ingatan, doa dan takziah yang penuh ikhlas kepada semua yang terjejas dengan tragedi itu.

Berita mula diterbitkan pada: Mac 25, 2014 00:30 (MYT)

Read more at:http://www.astroawani.com/news/show/kenyataan-penuh-mas-32484?cp

Jumaat, 21 Mac 2014

MH370: Pasukan penyiasat teliti 'panggilan misteri' Kapten Zaharie


MH370: Pasukan penyiasat teliti 'panggilan misteri' Kapten Zaharie

Kapten Zaharie Ahmad Shah - Gambar Fail


SEPANG: Pihak penyiasat sedang meneliti petikan perbualan telefon yang dipercayai dibuat oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah, beberapa minit sebelum pesawat Penerbangan Malaysia (MAS)  MH370 berlepas ke Beijing.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Datuk Ahmad Jauhari Yahya hari ini mengesahkan panggilan telah dibuat oleh jurutebang pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu itu.

“Kami telah memberikan maklumat panggilan ini kepada pihak penyiasat dan mereka akan menyiasatnya,” katanya dalam sidang media di KLIA petang tadi.

Akhbar United Kingdom The Sun sebelum ini melaporkan wujud satu ‘panggilan misteri’ sejurus sebelum pesawat MH370 itu berlepas.

“Diharapkan pihak yang menerima panggilan itu dapat memberikan petunjuk mengenai misteri kehilangan pesawat,” lapor akhbar itu lagi.

Kapten Zaharie dan pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid sedang disiasat bagi mengenalpasti samada mereka terbabit dalam kehilangan pesawat Boeing 777-200ER  itu.

Siasatan turut merangkumisimulator pesawat milik Kapten Zaharie. Polis memaklumkan pihaknya sedang meneliti kandungan simulator terbabit dimana beberapafail dikatakan telah dipadamkanpada 3 Feb lalu.

Pasukan penyiasat tempatan dan antarabangsa kini sedang cuba untuk mengesan kembali fail yang hilang dengan harapan dapat memberikan petunjuk kepada kehilangan pesawat.

Berita mula diterbitkan pada: Mac 21, 2014 22:19 (MYT)

Khamis, 20 Mac 2014

MH370: Inikah dia yang dicari???

MH370: Inikah dia?

                                      
KUALA LUMPUR: Apakah misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang ghaib daripada radar sejak 8 Mac lalu akan mula terjawab hari ini — pada hari ke-13 usaha mengesannya?

Apakah objek yang dikesan oleh satelit di selatan Lautan Hindi adalah bahagian daripada pesawat Boeing 777-200 itu? Apakah petunjuk kali ini betul dan tidak seperti beberapa petunjuk sebelum ini yang kemudiannya disahkan tidak betul?

Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) mengetuai misi mencari pesawat yang hilang itu di jalur selatan dengan kerjasama Angkatan Tentera Australia, Tentera Udara New Zealand dan Tentera Laut Amerika Syarikat.

Awal hari ini, ia menerima imej satelit yang menunjukkan dua objek yang boleh jadi ada kaitan dengan pesawat yang dicari itu.

"Ini satu petunjuk. Ini mungkin petunjuk yang terbaik yang ada setakat ini," kata Ketua Pengarah Bahagian Kecemasan AMSA, John Young dalam satu sidang media yang jadi perhatian dunia tengahari tadi.


map sar aussie 1

Pelan rancangan laluan NTSB dalam misi SAR MH370



Satu daripada objek itu dikatakan berukuran 24 meter panjang. Objek yang kedua itu lebih kecil. Apakah ini bahagian daripada pesawat MH370? Boleh jadi ya, boleh jadi tidak.

Semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari di jalur selatan itu kemudiannya mengerahkan pesawat dan kapal laut masing-masing ke kawasan carian yang terletak lebih kurang 2,500 kilometer ke barat daya Perth. Sesetengahnya sudah tiba dan beberapa lagi akan sampai dalam waktu yang terdekat.

Sebuah pesawat tiba di kawasan itu pada pukul 10.50 pagi tadi waktu Malaysia. Lima buah pesawat dijadual tiba pada pukul 12 tengahari manakala dua buah pesawat lagi berlepas ke kawasan itu pada pukul 3 petang dan 5 petang.

Sebuah kapal dagang yang kebetulan ada dekat kawasan itu juga menyahut seruan untuk menyertai operasi. Ia dijangka tiba pada pukul 3 petang.

Malaysia sebelum ini mengirimkan dua kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) -- KD Kelantan dan KD Selangor untuk menyertai operasi di jalur selatan.

Perdana Menteri Australia, Tony Abbott menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyampaikan perkembangan terbaru ini pada pukul 10 pagi tadi. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga diberikan taklimat sama oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia.

"Setakat ini, pihak berkuasa Australia masih belum memastikan apakah objek berkenaan ada kaitan dengan misi mencari MH370," kata Hishammuddin dalam satu kenyataan.

map sar aussie 2
Pelan pencarian yang dirancang untuk 19 Mac 2014





Usaha mengesan objek yang dirakamkan oleh satelit itu bukan mudah. Jarak penglihatan di kawasan berkenaan dilaporkan tidak begitu baik biarpun cuaca dilaporkan sederhana. Tetapi setakat ini dunia diberitahu bahawa "inilah petunjuk terbaik".

Beberapa petunjuk sebelum ini terbukti tidak betul dan pada suatu ketika disifatkan sebagai membantutkan tumpuan usaha mencari dan menyelamat. Ada tompokan minyak yang dijumpai di Laut China Selatan yang kemudiannya disahkan bukan daripada pesawat. Ada objek yang dikesan oleh pihak berkuasa Vietnam yang kemudiannya didapati tidak ada kena-mengena dengan pesawat MH370. Ada juga imej satelit yang dikeluarkan oleh China yang kemudiannya diumumkan sebagai "telah tersilap edar". Terakhir, penduduk di Maldives mendakwa melihat pesawat terbang rendah pada pagi kejadian. Itupun tidak benar serta dinafikan oleh tentera dan pihak berkuasa penerbangan Maldives.

Tetapi apakah imej satelit yang diterima oleh pihak berkuasa di Australia ini akan memberikan kita gambaran awal apa yang sebenarnya terjadi kepada pesawat MH370?

"Kita perlu sampai ke sana terlebih dulu, cari (objek itu), lihat dan nilai untuk mengetahui apakah ia bermakna atau tidak," kata Young.


map sar aussie 1
Pelan pencarian yang dirancang untuk 19 Mac 2014



Beliau juga memberi dua peringatan: usaha mencari objek yang dirakamkan oleh satelit itu tidak mudah dan kalau ditemui nanti, ia mungkin tidak ada hubung kait dengan pesawat MH370.
Tetapi setakat hari ini — pada hari ke-13 — operasi mengesan pesawat MH370 yang hilang dengan penuh misteri mendapat petunjuk baru. Adakah ini harinya — selepas kita menunggu selama hampir dua minggu khabar berita pesawat yang hilang itu? Apakah ini yang dicari-cari sejak 8 Mac lalu?
Berita mula diterbitkan pada: Mac 20, 2014 15:30 (MYT)

MH370: Penganalisis percaya pesawat mendarat, bukan terhempas



KUALA LUMPUR: Penganalisis jenayah percaya tiada unsur bunuh diri dalam misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dan pesawat itu selamat mendarat di suatu kawasan yang tidak diketahui lokasinya.

Presiden Kesedaran Pencegahan Jenayah, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata berdasarkan fakta-fakta diumumkan setakat ini, sesiapa jua yang mengambil alih pesawat itu tidak berniat untuk membunuh diri.
Katanya ini kerana pihak yang bertanggungjawab nampaknya membuat perancangan teliti dan amat pakar tentang selok-belok penerbangan serta kedudukan radar termasuk cara untuk mengelakkan pesawat itu daripada dikesan.
Dr Saharuddin juga percaya sesiapa sahaja yang mengambil alih pesawat Boeing 777-200ER itu berpengalaman mengendalikan pesawat itu.

"Walaupun pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam situasi sebegini, namun saya jangkakan tiada unsur bunuh diri melibatkan juruterbang pesawat berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac lalu. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Sehingga kini, nasib penumpang dan anak kapal tidak diketahui apabila usaha mencari yang melibatkan pelbagai negara, belum membuahkan hasil.

Ia telah didedahkan sebelum ini bahawa seseorang dengan sengaja mematikan sistem komunikasi dalam pesawat itu dan menurut data satelit Inmarsat, pesawat itu dikesan terbang beberapa jam selepas itu.

Pihak berkuasa Malaysia percaya pesawat itu terbang ke arah barat Semenanjung Malaysia sebelum membelok ke arah barat laut dan memasuki sama ada koridor utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand; atau koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.

Operasi mencari dan menyelamat terus dipergiatkan membabitkan 26 negara antaranya Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Pakistan, Bangladesh, India, Vietnam, Thailand, Singapura dan Indonesia .
Dr Saharuddin berkelulusan Doktor Falsafah Antropologi Sosial dari Universiti Antarabangsa Wisconsin di Amerika Syarikat, dan menaungi beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) selain menjadi tenaga pengajar di Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), cawangan Kuala Lumpur, dalam bidang Antropologi sejak 2009.

Berkecimpung sebagai pejuang hak pengguna selama lima tahun, beliau yang kini berusia 52 tahun itu kerap ditemu bual media tempatan mengenai isu-isu melibatkan keselamatan dan kepenggunaan.

Berita mula diterbitkan pada: Mac 20, 2014 08:04 (MYT)
Read more at:http://www.astroawani.com/news/show/mh370-penganalisis-percaya-pesawat-mendarat-bukan-terhempas-32145?cp

Rabu, 19 Mac 2014

MH370: IMEJ SETELIT MUNGKIN MH370 DITEMUI..

Imej satelit yang didakwa pesawat Malaysia Airlines yang hilang



NEW DELHI: Seorang penganalisis IT India menemui imej satelit menunjukkan sebuah pesawat besar terbang rendah di Kepulauan Andaman pada 8 Mac, pada hari pesawat Malaysia Airlines hilang semasa dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL ke Beijing, menurut akhbar The Hindu.

Anoop Madhav Yeggina, 29, percaya imej itu ialah pesawat Boeing 777-200ER MAS yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan MH370, lapor akhbar itu.

Pakar IT itu ialah antara beribu-ribu orang dari seluruh dunia yang melibatkan diri dalam projek 'crowdsourcing' iaitu khidmat luar kumpulan yang berusaha mengesan kapal terbang berkenaan yang telah melencong dari laluannya ke arah Lautan Hindi selepas menutup semua hubungan komunikasi ketika terbang merentasi Laut China Selatan.

Khidmat luar kumpulan ini merujuk kepada usaha mendapatkan maklumat atau input bagi sesuatu tugas atau projek dengan menyenaraikan perkhidmatan sejumlah individu, sama ada dibayar atau tidak, biasanya melalui Internet.

The Hindu melaporkan bahawa Anoop telah meneliti sejumlah imej dari DigitalGlobe Satellite QB02 sejak beberapa hari lalu sehingga beliau terjumpa imej yang benar-benar membuatkannya terkejut.

Beliau memuat naik 'penemuannya' bersama penulisan yang menjelaskan perkara itu kepada laman web CNN pada 14 Mac dan sejak itu ia menerima lebih 16,000 pengunjung yang melihatnya dan komen daripada mereka.

Saya yakin imej itu ialah pesawat yang hilang berkenaan atas pelbagai sebab. Satu daripada penunjuknya ialah imej itu dilihat hanya berada di atas sedikit daripada kawasan hutan dan begitu hampir dengan landasan kapal terbang Shibpur Kepulauan Andaman.

"Landasan kapal terbang itu digunakan secara eksklusif oleh angkatan tentera dan tidak memberikan kebenaran kepada pesawat awam berada di kawasan itu.

"Jika diamati secara teliti terhadap imej itu, akan menunjukkan ia terbang begitu rendah sehinggakan awan berada di atasnya, yang menunjukkan ia dilakukan untuk mengelak daripada dikesan radar.

"Yang paling penting ialah ukuran skala standard dan warna pesawat yang hilang itu berpadanan dengan imej kapal terbanag berkenaan," beliau dipetik sebagai berkata demikian dalam laporan The Hindu itu.

Anoop mendoakan keselamatan penumpang dan merayu kepada mereka yang pakar dalam IT sesebuah pesawat supaya menyiasat lebih lanjut imej itu bagi mengesan kedudukan pesawat berkenaan, menurut laporan itu.

Pesawat MAS MH370 penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pada 8 Mac. Penyiasat memberitahu bahawa ia sengaja dilencongkan daripada laluanya.

26 negara kini membantu untuk mengesan pesawat berkenaan selepas satelit dan data radar tentera meramalkan ia mungkin terbang melalui dua koridor yang besar.

Koridor utara terbentang dari utara Thailand ke sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan manakala koridor selatan bermula dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Data satelit mencadangkan bahawa 'ping' terakhir, istilah yang digunakan untuk menjelaskan penghantaran data dalam bentuk isyarat pendek kepada satelit, diterima daripada pesawat berkenaan di sekitar Lautan Hindi. --- Bernama

Read more at:http://www.astroawani.com/news/show/mh370-pakar-it-india-dakwa-temui-imej-satelit-kemungkinan-pesawat-yang-hilang-32100?cp





MH370 | Adakah MH370 yang dilihat terbang rendah di Maldives pada pagi 8 Mac?


Maldives

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Maldives mula menyiasat dakwaan penduduk di sebuah pulau terpencil di republik itu yang dilaporkan melihat sebuah "pesawat terbang rendah" pada pagi hari yang sama pesawat milik Malaysia Airlines penerbangan MH370 hilang.

Laman web berita Haveeru Online pada Selasa bagaimanapun melaporkan polis republik itu tidak memberikan sebarang butiran lanjut.

Laman web tersebut sebelum itu memetik saksi yang memberitahu mereka nampak sebuah pesawat berwarna putih dengan jalur merah -- warna badan pesawat Malaysia Airlines -- terbang menuju ke arah selatan Maldives.

Kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar pukul 6.15 pagi pada 8 Mac lalu

Penduduk di pulau Kudahuvadhoo itu juga mendakwa mendengar bunyi bising yang kuat semasa pesawat itu melintasi pulau mereka.

"Saya tidak pernah lihat pesawat terbang begitu rendah di pulau ini. Kami pernah nampak kapal terbang tetapi yang ini bukan seperti yang selalu kami lihat," kata saksi itu, yang turut mendakwa ada saksi lain yang ikut melihat kejadian yang sama.

Kapal terbang kecil adalah antara pengangkutan utama di Maldives.

Wartawan Haveeru, Ahmad Naif yang menulis laporan itu mendedahkan pihaknya mendapat maklumat berkenaan sejak 9 Mac lagi tetapi sangsi dengan kesahihan dakwaan tersebut.

"Kami kemudian mendapat banyak maklumat yang serupa dan barulah kami menghubungi penduduk berkenaan," katanya seperti dipetik oleh laman web berita Minivan News.

Seorang pakar penerbangan tempatan turut memberitahu Haveeru Online ada kemungkinan pesawat yang terbang rendah itu adalah MH370 kerana pada masa tersebut tidak ada pesawat yang dijadual terbang melintasi pulau berkenaan.

Laman web Minivan News pula melaporkan penerbangan dari sebuah lapangan terbang terdekat hanya dijadualkan pada pukul 7.20 pagi dan itupun menuju ke Male yang terletak ke arah timur laut.

Laman web yang sama bagaimanapun menimbulkan kesangsian terhadap dakwaan saksi. Memetik jurucakap tentera, Minivan News melaporkan mustahil pesawat sebesar Boeing 777-200 boleh mendarat di landasan terpencil di pulau karang di sekitar Maldives.

"Jika saudara bertanya apakah ada landasan di luar lapangan terbang komersial, jawapannya tidak ada," kata Mejar Hussain Ali.

Jurucakap Maldives Airport Company Limited (MACL) juga meragui dakwaan penduduk di Kudahuvadhoo kerana "tidak ada maklumat sahih tentang pesawat berkenaan daripada radar atau penglihatan."

"Ada terlalu banyak teori konspirasi. Kami tidak ada maklumat pesawat itu datang ke sini," kata jurucakap MACL, Hassan Areef kepada Minivan News.

Laman web itu juga memetik beberapa orang penduduk yang enggan atau tidak dapat merumuskan dengan yakin bahawa pesawat yang mereka lihat pada pagi 8 Mac lalu adalah jenis Boeing 777-200.

Usaha mengesan pesawat MAS itu yang masuk hari ke-12 kini digerakkan di kawasan yang meliputi keluasan 2.24 juta batu nautika. Ia menganjur di dua jalur -- di sebelah utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan di sebelah selatan dari Indonesia sampai ke selatan Lautan Hindi.

Dua jalur itu diunjurkan daripada data satelit yang mengesan lokasi akhir pesawat MH370 pada pukul 8.11 pagi pada 8 Mac lepas.

Maldives terletak di Lautan Hindi, kira-kira 400 kilometer di barat daya India. Namun republik itu tidak tersenarai di kalangan 26 negara yang diminta bantuan oleh Malaysia dalam operasi mencari pesawat yang hilang itu.

Bagaimanapun laporan Berita Harian pada Selasa meletakkan Maldives dalam radar. Laporan itu memetik sumber polis mengatakan siasatan ke atas simulator penerbangan yang diambil dari rumah juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah menemui rekod lima lapangan terbang di Lautan Hindi.

Lapangan Terbang Antarabangsa Ibrahim Nasir di Male adalah satu daripadanya selain tiga lapangan terbang di India dan Sri Lanka serta pangkalan udara milik Amerika Syarikat di Diego Garcia.

Kapten Zaharie memandu pesawat penerbangan MH370 yang gagal mendarat di Beijing mengikut jadual pada pukul 6 pagi 8 Mac yang lalu setelah berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi hari yang sama.

Siasatan setakat ini mendapati pesawat itu telah dengan sengaja dilencongkan dari laluan asal. Sistem komunikasi pesawat itu juga didapati dimatikan dengan sengaja. Pendedahan itu menimbulkan spekulasi pesawat berkenaan mungkin dirampas namun siasatan masih meneroka pelbagai kemungkinan lain.

Read more at:http://www.astroawani.com/news/show/adakah-mh370-yang-dilihat-terbang-rendah-di-maldives-pada-pagi-8-mac-32084?cp








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...