Memaparkan catatan dengan label SOAL JAWAB. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SOAL JAWAB. Papar semua catatan

Khamis, 4 November 2010

Berbogel di kamera web

SAYA berusia 37 tahun dan berasal dari utara tanah air. Saya berkahwin enam tahun lalu dan ada seorang anak lelaki. Perkahwinan kami bahagia hinggalah Mac lalu apabila saya dapati isteri selalu berbalas SMS dan bersembang di laman sosial (chatting) hingga larut malam.
Pada satu malam setelah isteri tidur, saya memeriksa kandungan SMSnya dan terkejut kerana ada SMS daripada lelaki yang mengandungi ayat dan perkataan berbaur cinta. Saya memarahi isteri dan bertanyakan sejauh manakah hubungan mereka.

Isteri saya mengatakan mereka cuma berhubung melalui SMS dan telefon. Setelah saya menceritakan perkara berkenaan kepada ibunya, isteri saya tidak lagi melakukan perkara itu dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Dua minggu lalu, isteri meminta kebenaran untuk menggunakan komputer riba saya dan membaca e-mel yang sudah lama tidak dibuka.

Dia memberitahu saya kawannya menghantar sesuatu menerusi e-mel tetapi setelah memuat turun, dia tidak tahu ke mana bahan itu disimpan.

Dengan kuasa Allah, saya menjumpai apa yang didakwa isteri saya dihantar oleh ‘kawannya’. Hampir pengsan saya dibuatnya kerana yang dihantar adalah gambar seorang wanita menyelak bajunya dan mendedahkan buah dada

Walaupun gambar itu dari paras leher ke pinggang (kerana gambar diambil dengan kamera web pada komputer riba), saya dapat mengagak itu adalah isteri saya berdasarkan rantai tangan dan rantai leher dipakainya.


Baju singlet yang dipakai juga kepunyaan isteri saya. Oleh kerana tidak boleh berdalih lagi, isteri saya mengaku itu gambar dia, tetapi dia mendakwa tidak menyelak bajunya ketika ‘chatting’.

Oleh kerana terlalu marah, esoknya saya mencari lagi di dalam komputer dan terjumpa empat keping lagi gambar yang amat mengaibkan, di mana gambar isteri saya berbogel di depan kamera web dan orang yang bersembang dengannya mengambil gambarnya tanpa pengetahuannya.


Saya memarahinya dan mengugut akan meninggalkannya. Dia menangis dan meminta ampun dan maaf serta berjanji tidak akan mengulanginya.

Dia juga mengatakan perkara itu sudah lama berlalu iaitu kira-kira tujuh bulan lalu dan dia tidak pernah berjumpa lelaki berkenaan.

Oleh kerana teramat marah, saya meminta kata laluan e-melnya dan membuat pemeriksaan esoknya di tempat kerja.

Hampir pengsan dibuatnya kerana saya menjumpai 10 keping lagi gambar isteri saya bersama seorang lelaki di dalam kereta dalam keadaan berpelukan dan bercium pipi.

Apabila pulang ke rumah pada petangnya, saya hilang sabar dan sekali lagi saya menunjukkan gambar berkenaan dan memberitahu isteri, saya sudah tawar hati kepadanya. Saya sangat kecewa dan marah apabila dipermainkan oleh isteri saya yang berlagak baik selama ini.

Saya menceritakan perkara itu kepada adik ipar saya dan dia menyampaikan kepada ibu mentua saya. Ibu mentua memujuk dan merayu saya supaya memaafkan dan melupakan apa yang terjadi serta tidak memanjangkan perkara itu. Isteri saya juga memujuk dan berjanji kepada saya dia tidak akan mengulangi perkara itu.

Saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku dan berhasrat meninggalkan isteri saya, tetapi bila mengingatkan anak lelaki kami yang baru berumur empat tahun, saya tidak sampai hati. Apa patut saya buat? Saya buntu dan tertekan dengan apa yang berlaku.

INSAN KECEWA

Kedah

Isteri anda tidak memenuhi kriteria mengikut Islam dan perkara yang dilakukan membuatkan anda menjadi suami dayus.

Perkara yang dilakukan adalah keterlaluan dan anda perlu bertegas dalam menangani hal ini.

Maruah anda sebagai suami sudah tercalar dengan tindakan isteri dan seharusnya tidak mudah tunduk dengan deraian airmatanya.

Rumah tangga akan hancur jika pasangan suami isteri mengabaikan tanggungjawabnya. Dengan mengamalkan prinsip agama dengan betul, akan wujud keluarga bahagia yang juga tahap pertama pembentukan masyarakat Islam.

Berdasarkan penceritaan, isteri saudara jelas melanggar kewajipan yang digariskan dalam Islam bagi seorang isteri. Bagi Dang Setia, saudara mempunyai dua pilihan sama ada meneruskan hubungan itu demi anak atau menceraikannya.

Jika saudara berhasrat meneruskan hubungan itu, beri tempoh tertentu kepada isteri untuk memperbaiki dirinya dan pada masa sama bimbing dia ke arah kebenaran seperti dituntut agama.

Insya-Allah, jika dia benar- benar insaf di atas kesalahannya, dia pasti berusaha untuk berubah kerana seolah- olah diberi ‘nyawa’ kedua oleh saudara.

Kesalahan jelas dilakukan isteri tapi saudara, sebagai suami bertanggungjawab, mungkin boleh mencari sebab atau punca isteri berbuat demikian.

Mungkin dia berbuat begitu kerana kebosanan disebabkan saudara kurang memperuntukkan masa kepada keluarga dek kesibukan bekerja.

Dalam Islam, suami juga ada kewajipannya bagi memastikan kebahagiaan rumah tangga. Selain mendoakan kebahagiaan buat saudara sekeluarga, Dang Setia berharap saudara mencuba amalan berikut:

•Suami adalah ketua keluarga, pelindung isteri dan anak. Sebagai pelindung keluarga dan ketua unit masyarakat yang kecil ini, suami berkewajipan mengawal, membimbing, menentukan tugas, berusaha mencari keperluan hidup keluarga dan berusaha menyediakan faktor kebahagiaan dan keselamatan keluarganya

•Dia wajib menyediakan kediaman, pakaian dan makan minum keluarga. Dia wajib mengajar anak isterinya hukum agama. Kalau tidak mampu mengajar sendiri, dia wajib menanggung biayanya. Dalam hal ini suami yang bijak awal-awal lagi akan memilih isteri beragama. Dengan itu dapat meringankan beban dan kewajipannya mengajar agama kepada isterinya. Isteri yang beragama itu pasti dapat bekerjasama mendidik anak dalam kehidupan beragama

•Pentadbiran suami di dalam rumah tangga hendaklah berdasarkan rahmah (kasihan belas) berakhlak dan contoh baik. la bertanggungjawab di depan Allah SWT terhadap keluarganya. Bersikap baik dan adil di dalam mengendalikan rumah tangga adalah penting. Rasulullah SAW menasihatkan orang baik ialah orang yang baik kepada ahli rumahnya

•Suami hendaklah mengasuh isteri dengan baik. Rasulullah SAW menyifatkan wanita sebagai amanah Allah SWT. Amanah itu hendaklah dijaga dengan cermat. Misalnya jika kita diamanahkan sesuatu barang dan barang itu rosak di tangan kita, tentu ia akan membabitkan nama baik kita. Sebab itu Rasulullah SAW berpesan supaya bersikap baik terhadap wanita dan sentiasa memesan mereka supaya berkelakuan baik Berdasarkan kewajipan suami isteri yang ditetapkan Islam, kita dapat melihat perkahwinan itu hanya digalakkan bagi mereka yang sanggup menunaikan tanggungjawab. Apabila berkahwin, menunaikan tanggungjawab kepada keluarga adalah wajib, sama ada suami atau isteri.

Dang Setia bukan ahli nujum yang boleh meramalkan pilihan terbaik untuk masa depan saudara, tapi cuba pendekatan di atas sebaik mungkin, insya-Allah rumah tangga saudara boleh diselamatkan demi anak tercinta.

Isnin, 1 November 2010

Solat Dan Pakaian Tidak Bersih



SAYA seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang aktif dan bergiat dalam pasukan Askar Wataniah.
Kegiatan ini memerlukan saya mengikuti latihan di kawasan hutan.
Waktu juga terhad kerana saya terpaksa mengikuti jadual latihan yang padat. Kadangkala waktu untuk mengerjakan solat terbatas dan terganggu kerana saya hanya menggunakan pakaian yang dipakai ketika latihan.

Ini kerana saya tidak berkesempatan menukarkan pakaian bersih.

Kemudian jarak antara kawasan latihan dan penginapan tidak terlalu jauh sebagaimana yang disyaratkan untuk melakukan solat jamak dan qasar perlu lebih dua marhalah.

Adakah sah solat saya dengan pakaian yang kotor terkena lumpur, tanah (tidak pasti kebersihannya) dan mengambil kira faktor masa yang terbatas, adakah dibolehkan untuk saya melakukan solat jamak atau qasar?

NURUL AIN
Kedah 



SOLAT fardu tetap wajib dilaksanakan dalam semua keadaan sama ada bermukim, bermusafir atau dalam latihan ketenteraan.

Memandangkan anda kadang-kadang kesuntukan masa, berpakaian tentera sepenuhnya tidak menghalang anggota wanita untuk bersolat.

Anggota wanita boleh berpakaian tentera untuk bersolat tanpa perlu menukar kepada pakaian khusus solat. Aspek utama yang perlu dipastikan ialah menutup aurat.

Syarat sah solat yang perlu dipatuhi iaitu 



(1) suci daripada hadas besar dan kecil, 
(2) suci daripada najis yang tidak boleh dimaafkan pada badan, pakaian dan tempat dan
(3) menutup aurat iaitu bagi wanita seluruh tubuh badan termasuk rambut kecuali muka dan dua tapak tangan.

Pakaian yang semata-mata terkena lumpur dan tanah tidak najis. Mengenai solat qasar dan jamak pula dalam masa latihan terbabit diberi beberapa panduan.

(1) Solat qasar tidak boleh ditunaikan kerana anda bukan dalam musafir.

(2) Solat jamak hanya boleh ditunaikan dalam keadaan tertentu seperti musafir, sakit, hujan lebat dan kesuntukan masa kerana terlalu sibuk.

Bagaimanapun, solat jamak mempunyai syarat tertentu dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana Nabi Muhammad s.a.w tidak melakukannya secara berterusan sebagaimana solat qasar dalam musafir.

Lebih afdal menunaikan solat secara biasa dan bukan jamak kecuali keadaan amat memerlukan. Biasanya lakukan jamak takdim dan bukan jamak ta’khir



myMetro bullet Soal Jawab Agama bullet Fikrah Dr Salam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...