KUALA LUMPUR 13 Mei - Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor secara terbuka mengakui sanggup bersumpah bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah merayu kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi agar membawanya masuk ke dalam UMNO semula.
Ahli Dewan Negara tersebut berkata, perkara itu berlaku seminggu sebelum Abdullah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Katanya, tindakan mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri tersebut adalah usaha terakhirnya untuk menggagalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada terus memegang tampuk kerajaan di negara ini.
"Saya ada bukti kukuh untuk kejadian ini. Tujuan Anwar hanya satu iaitu mahu Pak Lah tidak letak jawatan dan membawanya masuk ke dalam UMNO dan kemudian beliau akan menyusun strategi bagi menyingkirkan Datuk Seri Najib.
"Kenapa beliau lakukan ini? Kerana Anwar tahu Perdana Menteri kita cerdik, cekap dan antara pemimpin UMNO yang tahu perilaku buruk dan terkutuknya sewaktu dalam kerajaan," katanya.
Beliau berucap pada ceramah kedua Sumpah Keramat Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) 2012 Peringkat Parlimen Gombak di sini malam semalam.
Mohamad Ezam juga mendedahkan, Anwar dalam mencapai cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri, pernah membawa seorang rakan ulama Abdullah dari Surabaya, Indonesia bagi memujuk bekas Perdana Menteri itu meletakkannya di peringkat tertinggi dalam UMNO.
"Saya juga yang membawa Anwar pergi ke pesantren di Surabaya itu untuk memujuk kiai atau ulama berkenaan datang ke Malaysia iaitu di Seri Perdana yang ketika itu kediaman Pak Lah.
"Anwar memujuk kiai itu agar berbohong kepada Pak Lah kononnya telah mendapat satu mimpi mengatakan Anwar paling layak menjadi pengganti Pak Lah, tetapi dengan izin Tuhan, Pak Lah tidak berkesempatan berjumpa kiai terbabit," katanya.
Mohamad Ezam berkata, Ketua Pembangkang itu sanggup melakukan apa sahaja asalkan beliau dapat memerintah Malaysia dan memuaskan nafsu serakahnya dalam banyak perkara.
Menurutnya, Anwar ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri pernah menyifatkan Najib yang sewaktu itu Exco Pemuda UMNO sebagai individu paling berpotensi menerajui negara kerana kepandaian dan kecerdikan yang ada padanya.
"Justeru, tidak hairanlah kenapa Anwar begitu drastik melakukan pembohongan demi pembohongan untuk menjatuhkan Perdana Menteri kerana beliau terlalu takut dengan individu yang bernama Najib," katanya.
Macam2 Anwar buat hal yek...hemmm
BalasPadam