KUALA LUMPUR 14 Mei - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merupakan saksi utama dalam isu rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai UMNO semula melalui bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor berkata, isteri kepada Penasihat PKR itu telah pergi bertemu sendiri Abdullah di pejabat Perdana Menteri suatu ketika dahulu bagi menyatakan hasrat yang sama.
''Saya yang membawa Wan Azizah dan tiga anaknya 'panjat' pejabat Perdana Menteri itu. Kejadian itu ketika Anwar masih di dalam penjara dan pada waktu itu juga Abdullah baru menjadi Perdana Menteri.
''Wan Azizah ketika itu merayu sampai menitiskan air mata. Anda boleh tanya Wan Azizah perkara ini betul atau tidak, kalau dia kata bohong, saya sanggup sumpah di mana-mana sahaja masjid atau surau,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah kedua Sumpah Keramat Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) 2012 di Peringkat Parlimen Ampang di sini Sabtu lalu.
Dalam laporan akhbar semalam, Mohamad Ezam mendedahkan bahawa Ketua Pembangkang tersebut pernah merayu kepada Abdullah agar membawanya masuk ke dalam UMNO semula selepas keluar dari penjara.
Mohamad Ezam memberitahu, apa yang didedahkan olehnya itu adalah 'kisah mengenai siapa itu Anwar' kepada umum supaya rakyat mengenali bahawa Ketua Pembangkang tersebut tidak mempunyai prinsip dalam hidupnya.
Kata beliau, Anwar sanggup melakukan perkara seperti itu kerana tidak mahu Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri di negara ini ekoran bimbang niat jahatnya diketahui umum.
''Anwar itu pernah bekerja dengan Najib, dia tahu macam mana Perdana Menteri bekerja, dia tahu kemampuan pemimpin kita ini. Mana nak dapat seorang Perdana Menteri hanya dalam tempoh tiga tahun mampu melakukan pelbagai transformasi untuk rakyat dan negara,'' katanya.
rujukan : utusan online
rujukan : utusan online
0 Komen:
Catat Ulasan