Perusuh pukul polis macam mahu membunuh - Saksi
Rujukan : Utusan Malaysia OnlineKUALA LUMPUR 30 April - Atas dasar kemanusiaan, jurukamera TV Al-Hijrah, Mohd Azri Mohd Salleh mengetepikan keselamatan diri dan membantu seorang anggota polis yang diserang sekumpulan peserta perhimpunan pada Sabtu lepas. Akibatnya beliau sendiri menjadi mangsa serangan kumpulan “pengganas" terbabit sehingga terlantar di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur dengan 15 jahitan di kepala, selain lebam di beberapa bahagian badan.
Menceritakan pengalamannya kepada Bernama, di sini hari ini, Mohd Azri berkata, beliau sedang membuat liputan di hadapan kompleks membeli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman kira-kira 4 petang apabila melihat peserta perhimpunan membaling pelbagai objek ke arah sebuah kereta polis.
"Mereka baling macam-macam termasuk batu menyebabkan kereta terbabas dan langgar tembok Sogo. Mereka kemudian serbu kereta itu dan menyerang anggota polis di dalam kereta tersebut.
"Mereka serang bertubi-tubi. Saya tengok anggota polis itu sudah pengsan jadi saya datang untuk leraikan sebab saya takut mereka akan terus pukul sampai dia mati," katanya.
Akibat tindakannya itu, kumpulan perusuh terbabit menyerang dan memukulnya bertalu-talu sekalipun beliau sudah terjatuh termasuk ada yang menggunakan topi keledar.
Mohd Azri berkata beliau akan membuat laporan polis selepas ini dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat.
Ini kerana katanya, rakaman wajah individu berkenaan berjaya diperolehinya.
Mohd Azri juga berkata kejadian tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus memberi liputan terbaik dalam sebarang situasi termasuk ketika keganasan pada hari berkenaan. - BERNAMA
0 Komen:
Catat Ulasan