Rabu, 29 April 2015

Apa cerita berkenaan Halo ini? -FALAKONLINE



Cuaca kita sering mengusik-usik dengan pelbagai fenomena menarik yang kadangkala sukar untuk dijelaskan. Bagi sesetengah orang, ia mungkin fenomena harian, bagi yang baru kali pertama nampak, ia pasti pelik dan menakutkan. Bagi yang sukakan konspirasi, pelbagai teori dan pendapat diberikan.

Lebih-lebih lagi sekarang, yang mana maklumat begitu cepat dan pantas disebar menerusi media sosial dan apps sosial seperti Whatsapp, Telegram, FB dan Twitter.

Semalam sekitar tengahari, saya menerima begitu banyak posting dan persoalan mengenai satu lingkaran putih yang besar mengelilingi matahari.

Kejadian yang berlaku sekitar Zuhur semalam, kelihatan di kebanyakan tempat di Semenanjung Malaysia, dan antara hot spot ialah di sekitar Lembah Kelang.

Untuk meringkaskan cerita, fenomena itu dipanggil sebagai HALO.



Helo HALO

Halo ialah satu lingkaran besar yang kelihatan mengelilingi samada matahari ataupun bulan. Ia berlaku apabila wujudkan satu lapisan awan cirrus yang nipis di persekitaran langit di kawasan di mana Halo itu kelihatan.

Jika ia berlaku waktu siang, ia digelar SUN HALO.

Jika ia berlaku pada waktu malam, ia digelar MOON HALO. Untuk kejadian Moon Halo, ia sering berlaku apabila bulan semakin hampir dengan fasa purnama, dan juga ketika dalam fasa purnama.




Apa yang berlaku di sekitar awan cirrus nipis tu?

Kita semua dah belajar di bangku persekolahan, udara kita mengandungi pelbagai jenis gas, seperti nitrogen, oksigen dan lain-lain. Selain itu, ada banyak wap air yang terapung-apung sana sini.

Pada kedudukan yang amat tinggi ini, wap air ini akan MEMBEKU lagi membentuk kristal ais.

Apabila cahaya matahari memasuki kristal ini, ia akan dibiaskan sebanyak 22 darjah.

Kenapa 22 darjah? Ia disebabkan kristal itu sendiri yang berbentuk heksagon, lalu mengakibatkan cahaya matahari terbias pada sudut tersebut.














Adakah Halo boleh kelihatan di seluruh dunia secara serentak?

Tidak. Kejadian Halo ini wujud berdasarkan lokasi di mana wujudnya kristal ais tersebut. Maka, ia mungkin mudah kelihatan di Kuala Lumpur semalam, tetapi di Perlis tak kelihatan.

Adakah kejadian ini berlaku setiap 5000 tahun sekali?

Tidak. Ia merupakan kejadian atmosfera, yakni pergerakan udara, awan dan seumpamanya. Kita semua sedia maklum, pergerakan awan dan cuaca sering berubah-ubah dan sukar diramal dengan tepat. Oleh itu fenomena ini tidak berulang dalam jangka waktu yang konsisten.

Itulah sebabnya, semua terpegun dengan kemunculannya yang tiba-tiba semalam!

Saya nampak bentuk bulatan di sekeliling matahari itu semakin membesar lah! Betul ke?

Bulatan Halo tidak akan membesar, Ia akan kekal 22 darjah dari matahari.

Sebesar mana 22 darjah tu? Kedudukannya adalah lebih kurang sejengkal tapak tangan kita dari matahari.






Betul ke kejadian Halo ini semakin kerap berlaku? eeee takutlah!

Errr.. sebenarnya fenomena halo ini sering berlaku dan tidak ada kajian yang menunjukkan ia ‘semakin kerap’. Jika ada, mohon kongsikan bersama.

Saya berpendapat disebabkan begitu pantasnya maklumat dalam zaman sekarang, berita akan tersebar dengan lebih pantas. Hanya dengan menekan butang ‘Share’ atau ‘Forward’, berita seumpama ini akan tersebar ke seluruh ‘pelusuk alam’.

Maka, tidak hairanlah jika ia ‘kelihatan’ seperti ‘semakin kerap berlaku’, walhal faktor di atas perlu diambil kira.

Pada 2 Oktober 2012, saya sempat merakam kejadian Halo dari rumah sekitar tengahari. Ia telah dipaparkan di laman web Universe Today.







Kecoh sana sini

Fenomena Halo ini seringkali menjadi bualan hangat. Malah, ada yang menjadi begitu takut sehingga telah buat laporan polis.

Pada 16 April 2014, Halo kelihatan di langit Tampa, Florida. Seorang penduduk telah menelepon 911 dan melaporkan ia sebagai UFO!

Kenapa kejadian ini berlaku sekarang? Ada konspirasi barat ke?


Sebenarnya, jika kita buat pembacaan lebih sikit, kita akan dapati dunia ilmuwan saintis Islam telah melahirkan seorang tokoh yang memberi sumbangan amat besar dalam dunia optik, iaitu Ibn Al-Haytham.


Al-Hassan Ibn al-Haytham (965M-1040M

Di antara beberapa kitab penting tulisan beliau ialah On the light of the Moon yang membincangkan mengenai bulan, yang bercahaya hasil daripada cahaya yang dipinjamkanoleh matahari. Spherical Burning Mirrors; Paraboloidal Burning Mirrors; dan the Shape of eclipse, yang mengkaji fenomena-fenomena cahaya pada kamera.

Salah sebuah buku beliau bertajuk The Rainbow and the Halo telah mengkaji fenomena Pelangi dan Halo! Semua ini TELAH PUN DIKAJI secara sistematik lebih 1000 tahun dahulu!

Sila rujuk

Book review: Ibn al-Haytham and the New Optics

1001 Inventions And The World Of Ibn Al-Haytham



Foto-foto Halo 28 April 2015

Secara amnya, fenomena Halo ini merupakan kejadian alam untuk kita perhati dan hayati kehebatan, keluasan rahmat Allah SWT yang menyusun atur segala-galanya hinggakan sebesar kristal di langit!

Kita kena SELALU PERHATI kejadian ini dengan teliti, MEMAHAMI kejadian dia, barulah kita akan dapat mengukuhkan keimana dan ketaqwaan kita terhadap Allah SWT.



Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?
(Al-Mulk 67:3)




Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).
(Al-Mulk 67:4)

Jika kita tidak boleh belajar dari sudut ‘sains’, maka bolehkah kita katakan tokoh-tokoh seperti Ibn Al-Haytham , Al-Khawarizmi, Al-Biruni, Abu al-Wafa al-Buzjani, Ulugh Beg dan ramai lagi, yang mana mereka pun mengkaji langit secara saintifik dan sistematik, kita katakan kerja mereka sia-sia?

Tu sebabnya untuk memahami kehebatan Pencipta Alam ini, kita kena perhati kejadian langit, bumi, malam, siang… dan hanya orang yang berakal (orang yang memikirkan bagaimana kejadian alam ini terjadi, bukan sekadar tengok tanpa ilmu) sahaja dapat mendapat memahami.




Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;


(A-li’Imraan 3:190)





(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.


(A-li’Imraan 3:191)


Itu semua untuk kita sebagai hambaNYA terus tawadu dan taat perintahNYA.

Lihat, Fikir, Zikir! Ungkapan yang sering ditekankan kepentingannya oleh Al-Fadhil Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi

Saya mohon agar janganlah disebarkan teori-teori yang tiada asasnya, yang tak tahu mana hujung pangkalnya. Ia tidak membawa apa-apa kebaikan melainkan kekecohan dan kerisauan tak bertempat di kalangan masyarakat kita.

Saya akhiri artikel ringkas ini dengan beberapa buat foto menarik yang telah dikongsikan di Page FalakOnline semalam. Terima kasih atas perkongsian foto-foto tersebut.

Wallahua’lam





MasyaAllah Tabarakallah






rujukan / sumber : http://falakonline.net/

















0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...