Putrajaya: Siasatan terhadap kes kematian M Thanaseelan di lokap Balai Polis Bukit Sentosa, Hulu Selangor, Selangor, Sabtu lalu sudah dijalankan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
Pengerusi EAIC Datuk Yaacob Md Sam berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu susulan daripada dua kes kematian dalam tahanan lokap Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Soh Kai Chiok di IPD Bera, Pahang pada 18 Januari dan S Balamurugan IPD Klang Utara pada 8 Februari lalu.
Sehubungan itu, katanya, EAIC sudah membentuk satu pasukan pegawai penyiasat bagi menjalankan siasatan ke atas kes kematian itu selaras dengan kuasa yang diperuntukkan mengikut Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).
"Skop dan terma rujukan siasatan EAIC adalah untuk mengenal pasti sama ada terdapat sebarang salah laku seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 24 Akta 700, termasuk perlakuan yang bersifat jenayah oleh pegawai PDRM ketika mengendalikan tahanan dan berkaitan kematian tahanan itu.
"Sekiranya terdapat salah laku dizahirkan, siasatan dilakukan untuk menentukan dan mengenal pasti bagaimana dan mengapa salah laku itu terjadi.
"Selain itu, apakah peruntukan undang-undang, peraturan, kaedah, prosedur operasi standard (SOP) dan arahan tetap yang berkaitan dengan pengurusan dan pengendalian orang tahanan yang dipecahi dan individu yang bertanggungjawab ke atas salah laku atau perlakuan jenayah itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Thanaseelan, 43, ditangkap bersama dua lelaki lain jam 2 pagi pada 22 Februari lalu kerana disyaki terbabit dengan kes kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pencerobohan/pecah rumah).
Pada 24 Februari, si mati mengadu sakit perut dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk mendapatkan rawatan, sebelum dibawa semula ke lokap.
Namun, Sabtu lalu, Thanaseelan didapati tidak sedarkan diri dalam lokap dan disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan yang bertugas.
0 Komen:
Catat Ulasan