Selasa, 9 November 2010

Penuntut Malaysia di Mesir hadapi masalah kewangan diberi pinjaman

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Penuntut Malaysia jurusan perubatan di Mesir yang menghadapi masalah kewangan untuk membiayai pengajian mereka akan ditawarkan pinjaman oleh Amanah Raya Bhd.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penuntut yang kebanyakannya berada di tahun dua dan tiga itu merupakan mereka yang menggunakan pembiayaan sendiri, dan bagi mendapatkan pinjaman itu beberapa kriteria telah diputuskan semasa mesyuarat bersama agensi berkaitan.

"Kita telah ambil persetujuan bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Kementerian Pengajian Tinggi dan Amanah Raya, bahawa Amanah Raya akan menawarkan pinjaman bagi tampung pengajian mereka.

"Dalam pinjaman ini, kita telah menetapkan beberapa kriteria iaitu mata pelajaran perubatan yang dipilih mendapat pengikitirafan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) kerana kita mahu supaya apabila mereka balik nanti boleh bertugas sebagai pengamal perubatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung nasib penuntut Malaysia jurusan perubatan di Mesir yang mengalami masalah kewangan untuk membiayai pengajian mereka.

September lepas, Majlis Perundingan Melayu (MPM) dalam satu laporan akhbar menggesa kerajaan meneliti semula mengapa 500 penuntut Melayu yang mengikuti pengajian dalam beberapa bidang kritikal terutama perubatan dan farmasi di Mesir tidak diberikan biasiswa.

Laporan itu turut menyebut bahawa kesemua penuntut terbabit menggunakan pembiayaan sendiri bagi tahun pertama yang kosnya mencecah RM90,000 dan jika mereka masih gagal mendapatkan biasiswa, mereka terpaksa menamatkan pengajian.

Selain itu, Jamil berkata, untuk membolehkan penuntut-penuntut itu layak mendapat pinjaman, mereka perlu lulus sekurang-kurangnya peringkat Jayyid dalam keputusan peperiksaan, mendapat enam A subjek teras yang berkaitan dengan pendidikan perubatan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta memperoleh Sijil Tiada Halangan (NOC) yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran.

Mengenai jumlah penuntut yang akan menerima bantuan pinjaman itu, Jamil Khir berkata setakat ini jumlahnya belum dikenal pasti kerana ia masih dalam proses perbincangan.

Pada masa ini terdapat 6,440 penuntut Malaysia di Mesir dan daripada jumlah itu, seramai 668 orang menerima biasiswa dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), 936 penuntut tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan 52 orang lagi Amanah Raya. - BERNAMA

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...