Pengikut

KENYATAAN AKHBAR PENGARAH JABATAN SIASATAN JENAYAH ( NURUL NADHIRAH )



 





Merujuk kepada kes Nurul Nadirah Abdullah, (5 tahun) yang dilaporkan hilang pada 1 Mac 2012 dan mayatnya yang ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Johor.

Polis Diraja Malaysia ingin merakamkan rasa simpati yang tidak terhingga kepada keluarga Allahyarham di atas pemergiannya.

Setelah Nurul Nadirah dilaporkan hilang oleh neneknya, satu pasukan petugas telah dibentuk untuk mencari beliau. NUR Alert juga telah diaktifkan dan pihak NGO serta RHB turut membantu polis mencarinya di seluruh negara. 

Kumpulan RHB Bank turut bertindak mengedarkan poster dengan gambar adik Nur Nadirah dan diiklankan di akhbar-akhbar.

Bantuan segera daripada masyarakat telah membolehkan pihak polis menangkap tiga orang suspek beberapa jam selepas laporan kehilangan Nur Nadirah dibuat. Suspek keempat juga telah ditahan beberapa hari kemudian. Dengan empat penangkapan ini, kami percaya bahawa polis berada di landasan yang betul untuk menyelesaikan kes ini.

Kami sedang menyiasat dari semua sudut untuk memastikan motif di sebalik penculikan dan pembunuhan kanak-kanak ini dapat dikenal pasti. 

Kami tidak menolak kemungkinan bahawa dendam peribadi terhadap keluarga tersebut menjadi motif di sebalik penculikan dan pembunuhan ini.

Pihak polis ingin menyampaikan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai yang telah membantu polis dalam kes ini, terutamanya dalam memberikan maklumat yang membawa kepada penangkapan suspek dan penemuan mayat. 

Seperti yang sering kita ketengahkan, penguatkuasaan undang-undang yang berkesan memerlukan perhatian dan kerjasama orang ramai.

Sekali lagi pihak polis ingin mengingatkan ibu bapa untuk mengawasi anak-anak mereka terutamanya yang masih kecil pada setiap masa dan tidak meninggalkan mereka tanpa pengawasan.

Kami juga menyeru kepada orang ramai supaya sentiasa berjaga-jaga. Jika mendapati seseorang yang dilihat mencurigakan, segera melaporkan perkara ini kepada pihak polis agar tindakan pencegahan awal boleh dilakukan.

Kami ingin menegaskan bahawa pihak polis akan bertindak sepenuhnya mengikut undang-undang bagi memastikan bahawa pesalah-pesalah jenayah keji ini menerima hukuman dengan setimpal.

sumber : fb PDRM
Previous
Next Post »