Rabu, 23 Oktober 2013

Tok Gajah tak kecut perut

Azamuddin Akil meraikan jaringannya ketika membantu Pahang membenam Sarawak 3-1 pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Kuantan, minggu lalu.

KUANTAN - Biar pun bakal beraksi di depan puluhan ribu penyokong fanatik Ngap Sayot di Stadium Negeri, Kuching, Sabtu ini, namun suasana 'panas' itu tidak sedikitpun menakutkan pemain-pemain Tok Gajah yang cukup bersemangat untuk memburu tiket final Piala Malaysia.

Penyerang Pahang, Azamuddin Akil berkata, keinginan untuk mengulangi memori 1997, iaitu kali terakhir mereka layak ke perlawanan akhir mengatasi segala-galanya.

Katanya, skuad Tok Gajah tidak akan mensia-siakan kelebihan dua gol yang dimiliki dan tetap akan turun bermati-matian untuk mencari gol di Kuching.

''Jika misi ini berjaya, ramai pemain Tok Gajah akan melakar sejarah peribadi tersendiri kerana buat pertama kalinya melangkah ke final Piala Malaysia.

"Saya sendiri hanya pernah beraksi sehingga peringkat suku akhir Piala Malaysia tahun lalu bersama Pahang tetapi belum lagi ke final.

''Andai kami menang, sudah tentu ini hadiah berharga kepada penyokong sepanjang tujuh tahun saya bersama skuad Pahang," katanya semalam.

Pada perlawanan separuh akhir pertama Sabtu lalu, anak jati Kuala Lipis itu berjaya meledakkan dua gol pada minit ke-28 dan 32, manakala satu lagi gol dicipta Matias Conti pada minit ke-37 bagi meletakkan Pahang berkelebihan untuk bersaing di final pada 3 November depan.

Bagaimanapun, Azamuddin, yang terkenal dengan jolokan Alex berkata, dia agak terkilan kerana rakannya sepasukannya, Hafiz Kamal tidak dapat beraksi pada perlawanan penting itu ekoran penggantungan perlawanan selepas menerima kad kuning.

"Agak malang kerana Hafiz tidak dapat diturunkan tetapi saya percaya kesebelasan utama Pahang tidak mudah mengalah dan berupaya mencipta kemenangan berdasarkan prestasi terkini.

''Apa pun saya dan rakan-rakan akan melakukan yang terbaik dan mengikut segala perancangan jurulatih, Dollah Salleh," katanya.

klik untuk : 

Azimat Muadzar | TOK GAJAH


0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...