Ahad, 14 November 2010

2 pengilat kuku Skin Food bahaya

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Kementerian Kesihatan telah menarik balik notifikasi dua produk pengilat kuku jenama Skin Food yang dikesan mengandungi bahan kimia terlarang.

Produk tersebut adalah Skin Food Jajoba Pure Nail PK004 dan Skin Food Milk Creamy Nail Base Coat yang dikesan mengandungi bahan kimia benzin pada paras rendah iaitu masing-masing 22.3 ppm (bahagian per juta) dan 30.3 ppm.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi kementerian, Eisah A. Rahman berkata, notifikasi produk berkenaan telah ditarik balik susulan daripada status keselamatan terkini.

"Benzin adalah bahan organik yang boleh menyebabkan kanser dan penggunaannya dilarang dalam semua penyediaan produk kosmetik di Malaysia, negara ASEAN dan Kesatuan Eropah," katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Menurutnya, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan telah menerima Pos Amaran Pemasaran daripada Penguatkuasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura mengenai penarikan semula dua produk ini.

Beliau berkata, produk Skin Food Milk Creamy Nail Base Coat tidak pernah diimport masuk ke pasaran Malaysia sejak dinotifikasikan pada 2007.

Sementara produk kedua telah diberhentikan pasarannya di Malaysia dua tahun lalu kerana kurang permintaan.
Sementara itu, Eisah memberitahu bahawa orang awan boleh menghubungi BPFK di talian 03-78835532 atau e-mel kepada potm@bpfk.gov.my untuk sebarang pertanyaan berhubung kedua-dua produk ini.

2 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...