Pengikut

Ketua Penguat Kuasa JAIP ditembak

KESAN darah di halaman rumah Ahmad Raffli Abdul Malik yang ditembak mati oleh lelaki tidak dikenali di Indera Mahkota 2, Kuantan, Pahang, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI


KUANTAN 10 Nov. - Ketua Pegawai Penguat Kuasa di Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abdul Malik maut ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki tidak dikenali di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2 di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 1.55 petang itu mengakibatkan mangsa yang berusia 49 tahun mati di tempat kejadian akibat terkena dua das tembakan di dada kanan dan kerongkong.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zakaria Ahmad berkata, sebelum kejadian mangsa sedang berehat di dalam rumah bersama isteri dan anaknya.

"Siasatan awal mendapati sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna putih berhenti di hadapan rumah mangsa sebelum seorang lelaki memakai jubah hitam serta berkopiah putih berumur lingkungan 50-an keluar dan memanggilnya.

"Sebaik sahaja mangsa menghampiri suspek, seorang lagi suspek berumur lingkungan 30-an dari tempat duduk belakang tiba-tiba meluru keluar dari kereta lalu melepaskan tiga das tembakan dan terus melarikan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Dua daripada tembakan itu mengenai mangsa mengakibatkan pegawai itu mengalami pendarahan teruk dan meninggal dunia di tempat letak kereta rumahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memburu habis-habisan suspek yang menembak mati Allahyarham Ahmad Raffli.

Dalam kenyataan beliau menerusi laman sosial Facebook peribadinya, Khalid memberitahu polis akan berusaha menjejaki mereka yang bertanggungjawab dalam kes itu.

"Saya dan seluruh warga PDRM mengucapkan takziah kepada waris Ustaz Raffli di Kuantan. Kami akan jejak pembunuh ini. Insya-Allah," kata beliau.

Allahyarham merupakan seorang pegawai penguat kuasa agama yang tegas terutama dalam membanteras isu Syiah dan maksiat di negeri ini.

Pada 28 September lalu, Allahyarham yang mengetuai serbuan Bahagian Penguat Kuasa JAIP menahan seorang imam berusia 64 tahun dipercayai pengikut ajaran Syiah di kuarters kakitangan Ladang RISDA Pekoti Timur di Muadzam Shah.

Menurut Zakaria, polis percaya kejadian itu bermotifkan bunuh kerana berlaku dalam masa yang singkat iaitu kurang dari satu minit.

"Kita percaya suspek berlegar-legar di kawasan perumahan mangsa beberapa kali sebelum berhenti di hadapan rumah mangsa.

"Bagaimanapun kita masih menyiasat motif kejadian itu sama ada berkaitan dengan tugas mangsa sebagai ketua penguat kuasa," katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131111/je_02/Ketua-Penguat-Kuasa-JAIP-ditembak#ixzz2kIVkZc4s
© Utusan Melayu (M) Bhd 
Previous
Next Post »