NANNING 14 Nov. - Seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun nyaris maut selepas terjatuh dan tersangkut pada jeriji besi di tingkat empat pangsapurinya di wilayah autonomi selatan China, baru-baru ini.
Kejadian di bandar Guilin, Guangxi Zhuang itu berlaku selepas mangsa, Chyou Wang ditinggalkan bersendirian di rumah oleh ibu bapanya yang pergi bekerja.
Menurut pasukan kecemasan, kanak-kanak itu tergantung pada jeriji besi yang dibina di tingkap rumah mereka selepas dipercayai bermain di atas jeriji itu sebelum terjatuh.
Dia bagaimanapun bernasib baik tidak jatuh ke bawah selepas kepalanya tersangkut pada batang jeriji besi dengan penduduk yang terdengar tangisan mangsa bergegas menghubungi pasukan kecemasan untuk menyelamatkan kanak-kanak malang itu.
Pasukan kecemasan terpaksa memecah masuk rumah tersebut dan melebarkan batang jeriji besi itu sebelum dapat menyelamatkannya.
Menurut ayah mangsa, Lian, 44, dia dan isteri selalu meninggalkan Wang bersendirian di rumah ketika bekerja, tetapi biasanya anak mereka itu hanya akan tidur dan menonton televisyen.
"Mungkin dia bosan atau mahu melihat kami dari tingkap, tetapi kami juga tidak tahu bagaimana dia boleh membuka tingkap itu sedangkan kami telah menguncinya.
"Apa pun kami bersyukur semuanya selamat dan selepas ini kami tidak lagi akan meninggalkannya bersendirian di rumah," katanya. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131115/lu_10/Kepala-tersangkut-pada-jeriji-besi#ixzz2kg3eUAZa
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 Komen:
Catat Ulasan