Jumaat, 8 November 2013

KEJAM.. Hukumannya MATI!!!!!

Empat pengawal dihukum mati


V. K Santirasagaran (kiri), C. Krishnakumar (belakang, kanan), S. S Arumugam (dua, kiri) dan P. Thinagaran (kanan) diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 7 Nov. - Kekejaman empat pengawal keselamatan yang menculik sepasang suami isteri dan merakam aksi isteri lelaki tersebut dirogol oleh rakan sejenayah mereka dua tahun lalu, akhirnya mendapat pembelaan setelah Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka.

Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman tersebut terhadap P. Thinagaran, 27, S.S. Arumugam, 24, C. Krishnakumar, 24, dan V.K. Santirasagaran, 32, selepas mendapati pembelaan keempat-empat tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Menurut hakim itu, pembelaan kesemua tertuduh tidak selari dengan keterangan saksi-saksi selain tidak menepati pembelaan alibi masing-masing.

Kesemua tertuduh didakwa bersama C. Manimavanan dan seorang lagi yang masih bebas, menculik pasangan berusia 29 tahun itu di sebuah rumah di Jalan Merak, Pusat Bandar Puchong dekat sini pada pukul 4.30 pagi, 4 Mac 2011.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut keterangan kes, kedua-dua mangsa pergi ke tempat kejadian untuk bertemu dengan lelaki bernama Shan (yang masih bebas) dan selepas bersalaman, Shan menarik tangan kedua-duanya ke dalam kereta yang turut dinaiki oleh keempat-empat tertuduh.

Mangsa (suami) ketika memberikan keterangan di mahkamah menyatakan, dia dipijak di kepala ketika di dalam kereta dan disuruh sujud sepanjang perjalanan ke sebuah rumah kosong di Pulau Carey, Klang dekat sini selain dikurung secara berasingan.

Mangsa wanita itu pula mendakwa dirogol oleh Shan meskipun dia memberitahu sedang dalam keadaan haid dan keempat-empat tertuduh pula tanpa rasa bersalah merakam aksi rogol itu menggunakan telefon bimbit.

Selepas itu, Shan menghubungi ibu mangsa wanita itu untuk meminta wang tebusan dan selepas rundingan, wang RM1,500 dimasukkan ke dalam akaun milik Manimavanan sebelum pasangan itu dibebaskan pada pukul 10.30 malam, hari yang sama.

Terdahulu peguam bela, V. Thiru Kumar yang mewakili kesemua tertuduh dalam rayuan menyatakan anak guamnya bukan dari keluarga senang dan itu merupakan kesalahan pertama mereka.

Menurut beliau, individu paling penting dalam kes ini yang patut dihukum adalah Shan yang masih bebas dan tidak dapat dikesan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md. Kamal menyatakan, mangsa mengalami trauma dan ketakutan tetapi menggagahkan diri tampil memberikan keterangan walaupun menjadi mangsa rogol.

Hakim Noor Azian sebelum menjatuhkan hukuman menyatakan, perbuatan kesemua tertuduh itu yang merakamkan aksi rogol adalah kesalahan berat yang perlu dipertimbangkan oleh beliau dalam menjatuhkan hukuman.

''Bayangkan bagaimana rasanya jika isteri kamu sendiri yang dirogol pasti meninggalkan kesan mendalam.

"Kes ini sesuai untuk saya membuat pilihan sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup," ujar beliau.

Katanya lagi, jenayah culik amat ditakuti orang ramai kerana bukan sahaja kanak-kanak yang menjadi mangsa malahan orang dewasa.

Selepas keempat-empat tertuduh didakwa, seorang lagi iaitu Manimavanan ditangkap dan dia masih dibicarakan atas pertuduhan sama secara berasingan di mahkamah berbeza.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131108/ma_01/Empat-pengawal--dihukum-mati#ixzz2k1BOXfrE
© Utusan Melayu (M) Bhd 



0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...