Pengikut

Risiko diabetes ketika hamil


RAMAI dalam kalangan wanita hamil menghidap kencing manis, yang dikenali sebagai diabetes gestasi. Diabetes akan berlaku apabila badan tidak boleh menghasilkan insulin yang secukupnya, iaitu hormon yang dihasilkan oleh pankreas.
Insulin mengawal jumlah gula dalam darah yang digunakan untuk tenaga dan membolehkan gula yang tidak diperlukan segera disimpan.
Semasa kehamilan, badan seorang ibu akan menghasilkan lebih insulin untuk memenuhi keperluan bayi, terutamanya dari pertengahan kehamilan dan seterusnya.
Jika badan tidak boleh menyediakan insulin tambahan, si ibu akan mempunyai terlalu banyak gula dalam darah dan menimbulkan diabetes gestasi.
Diabetes gestasi selalunya akan hilang dengan sendiri selepas bayi dilahirkan, berbeza dengan jenis diabetis lain yang merupakan penyakit seumur hidup.
Boleh dikatakan semua orang mengetahui mengenai komplikasi yang melibatkan pesakit diabetes.
Biasanya pesakit diabetes yang tidak terkawal terdedah kepada pelbagai komplikasi seperti buah pinggang, masalah mata, jantung dan luka yang sukar sembuh.
Kecacatan Bagaimanapun pesakit diabetes yang hamil terdedah kepada pelbagai risiko yang boleh menyebabkan kecacatan kepada bayi.
Pakar Runding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Petaling Jaya, Dr. Dharmini Veerakumaran berkata, terdapat dua golongan wanita iaitu pertama, yang mempunyai diabetes sebelum hamil dan kedua, yang tidak ada diabetes tetapi mempunyai masalah penghadaman gula semasa hamil dinamakan diabetes gestasi.
"Golongan pertama pula terbahagi kepada mereka yang mengetahui menghidapi diabetes dan tidak mengetahui mereka menghidapi diabetes," katanya.
Golongan pertama yang mengetahui diri mereka mempunyai diabetes sepatutnya mendapatkan nasihat dan kaunseling doktor sebelum hamil.
"Mereka perlu mengawal kandungan gula dalam darah dan menukar ubat kepada suntikan insulin bagi menstabilkan gula dalam darah," katanya.
Bagaimanapun golongan ini biasanya datang berjumpa doktor selepas mendapat tahu diri mereka hamil dan ini mendedahkan ibu dan bayi kepada pelbagai risiko.
"Paling bahaya apabila wanita yang hamil tidak mengetahui mereka menghidapi diabetes dan terdedah kepada pelbagai komplikasi.
"Biasanya doktor akan mula dengan suntikan insulin bagi mengawal kandungan gula dalam darah dan mereka ini biasanya perlu berada di wad bagi tujuan pemantauan," katanya.
Golongan ketiga adalah wanita yang berisiko menghidapi diabetes semasa hamil atau dikatakan menghadapi masalah penghadaman gula.
Ujian yang disarankan untuk diagnosis diabetis gestasi adalah ujian toleransi glukosa oral (OGTT) di mana ujian gula darah diambil semasa berpuasa dan dua jam selepas minum air gula.
Jika si ibu berada dalam kumpulan yang berisiko tinggi mendapat diabetis gestasi, mereka akan diberikan ujian ini antara minggu ke-24 dan minggu ke-28 kehamilan.
Bacaan gula semasa puasa perlu kurang daripada 5.6 mmol/liter dan 7.8 mmol/liter selepas dua jam minum air gula.
Jika bacaan ujian OGTT lebih tinggi daripada yang disarankan, pesakit perlu dirujuk kepada dietitian bagi menggalakkan mereka makan sedikit dan selalu.
Wanita hamil yang menghidapi diabetes perlu melahirkan anak dua minggu lebih awal bagi mengelakkan komplikasi seperti bayi terlalu besar atau bayi meninggal di dalam kandungan akibat plasenta tidak berfungsi.
Previous
Next Post »