Selasa, 24 Julai 2012

FADHILAT RAMADHAN DAN HADIS PALSU


Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni (Jabatan Hadith KUIS)
Suatu masa dahulu hadith tentang kelebihan solat tarawih yang diriwayatkan dari Sayyidina ’Ali RA cukup popular. Barangkali kerana tersebarnya kitab Durrah al-Nasihin dan terjemahan Melayunya yang memuatkan hadith tersebut di dalamnya.
Antara teksnya; daripada Sayyidina Ali RA beliau telah menanyakan kepada Rasulullah SAW tentang fadhilat Solat Tarawih pada bulan Ramadhan. Jawab Rasulullah SAW tentang fadhilat tarawih sebagai berikut, mulai dari malam pertama sampai malam 30 Ramadhan:
1. Malam Pertama: Diberi balasan seperti bayi baru dilahirkan.
2. Malam Kedua: Diampuni Allah dosanya dan bagi ibu-bapanya jika keduanya mukmin.
3. Malam Ketiga: Diseru oleh malaikat di bawah Arasy dan dengan solat tersebut diampuni Allah dosanya yang telah lalu.
4. Malam Keempat: Dibalas Allah seperti membaca kitab Taurat, Injil, Zabur, dan Quran.
5. Malam Kelima: Kemudian dikurniai Allah seolah-olah sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah, dan Masjidil Aqsa.
6. Malam Keenam: Dikurnia Allah seolah-olah dia tawaf di Baitul Makmur dan dipintakan ampun oleh segala batu dan pasir.
7. Malam Ketujuh: Dikurniai Allah seolah-olah ia berjumpa dengan Nabi Musa AS dan membantu Musa melawan Fir’aun dan Haman…
8. … demikian seterusnya hingga akhir malam ke-30.
Pengarang Durrah al-Nasihin hanya menyebut sumber petikannya daripada kitab Majalis. Bagaimanapun, hadith ini adalah hadith palsu, malah tiada sumber asal yang muktamad bagi hadith ini sebagaimana yang disebutkan oleh pakar-pakar hadith. Antaranya seperti yang disebut oleh Dr. Ahmad Lutfi Fathullah dalam tesisnya (Ph.D.), Takhrij Hadith-hadith Durrah al-Nasihin. Dalam Fatwa Mufti Kerajaan Brunei (1999) juga menyatakan ianya tiada di dalam kitab-kitab Ahlus Sunnah, namun ada diriwayatkan seumpamanya di dalam kitab-kitab Syiah seperti kitab Bihar al-Anwar oleh al-Majlisi dan Wasa’il al-Syi’ah oleh al-Hurr al-’Amili. Dan rujukan mereka tidak dapat dipegang oleh kita.
Maka bagi menggantikan hadith palsu tersebut saya telah menemukan empat buah hadith yang sabit mengenai kelebihan solat tarawih ini. Iaitu sepertimana berikut;
1. Diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يرغب في قيام رمضان من غير أن يأمرهم بعزيمة ثم يقول : من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه. رواه البخاري ومسلم وأبو داود والترمذي والنسائي.
Terjemahan;
Daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW pernah menggalakkan sahabatnya berqiam Ramadhan tanpa menyuruh mereka dengan kesungguhan (yang menunjukkan wajib), kemudian sabdanya: “Barangsiapa yang berqiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan redha dan ganjaran Allah) akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”.
(HR al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa’i)
2. Kembali sepertimana hari ibunya melahirkannya.
حديث عبد الرحمن بن عوف: من صامه وقامه إيمانا واحتسابا خرج من ذنوبه كيوم ولدته أمه. رواه النسائي في الكبرى (11،295) والصغرى (2199)، وأحمد (1618، 1645) وابن خزيمة (2015) وابن ماجه (1331) والبيهقي في الشعب (3462).
Terjemahan;
Daripada ‘Abdur Rahman bin ‘Awf, sabda Nabi SAW: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dan berqiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, ia akan keluar daripada dosa-dosanya sepertimana hari ibunya melahirkannya”.
(HR al-Nasa’i, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Majah dan al-Bayhaqi)
3. Ditulis dari kalangan para siddiqin dan syuhada’.

عن عمرو بن مرة الجهني رضي الله عنه قال : جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله، أرأيت إن شهدت أن لا إله إلا الله وأنك رسول الله وصليت الصلوات الخمس وأديت الزكاة وصمت رمضان وقمته، فممن أنا ؟ قال : من الصديقين والشهداء. رواه البزار وابن خزيمة وابن حبان في صحيحيهما واللفظ لابن حبان.
Terjemahan;
Daripada ‘Amru bin Murrah al-Juhani RA katanya: Datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu katanya: Wahai Rasulullah, apakah pendapat tuan sekiranya saya bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan sesungguhnya tuan adalah utusan Allah, dan saya bersolat lima waktu, menunaikan zakat serta berpuasa bulan Ramadhan dan berqiam Ramadhan, maka dari golongan siapakah saya ini? Jawab baginda: ”Dari kalangan para siddiqin dan syuhada’”.
(HR al-Bazzar, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban)
4. Ditulis baginya pahala seumpama berqiamullail.


حديث أبي ذر : من قام مع الإمام حتى ينصرف كتب له قيام ليلة. رواه الترمذي وقال : هذا حديث حسن صحيح -791.
Terjemahan;
Hadith Abu Zar RA, sabda Nabi SAW: “Barangsiapa berqiam (Ramadhan) bersama-sama imam sehingga ia selesai, akan ditulis baginya (ganjaran) seumpama berqiamullail”.
(HR al-Tirmizi)
Demikianlah fadhilat-fadhilat yang besar bagi orang yang mengerjakan solat tarawih ini. Kelebihan-kelebihan tersebut tidak tertentu pada malam tertentu sahaja, bahkan ianya adalah umum bagi solat tarawih sepanjang bulan Ramadhan. Semuanya dapat diperolehi dengan kemurahan rahmat Allah Taala bagi mereka yang bersungguh-sungguh mengerjakannya. Mudah-mudahan fadhilat-fadhilat solat tarawih ini dapat tersebar secara lebih luas menggantikan hadith palsu mengenainya.
Sumber : 
http://jomfaham.blogspot.com/

2 ulasan:

  1. Astaghfirullah al-Adhim..

    terlalu mudah benar ustaz-ustaz sekarang melabelkan sesuatu hadis itu sebagai hadis palsu dengan hanya bersandarkan hujah daripada tesis Ph.D, ulama-ulama zaman moden ini yang hanya belajar di Jabatan Hadis, tetapi tidak pernah mempelajari daripada para ulama Muhaddisin yang muktabar.

    Dengan hanya berbekalkan ijazah dalam bidang hadis, ataupun bekerja sebagai pensyarah dalam Jabatan Hadis, seseorang itu masih belum layak lagi untuk mengatakan sesuatu hadis itu palsu atau tidak.

    Sebenarnya fadhilat Ramadhan ini telah disebut dalam banyak kitab-kitab yang muktabar baik dari kalangan ulama melayu dan ulama silam seperti Imam Al-Ghazali dan lain-lain. Saya agak terkejut bagaimana ustaz dari Jabatan Hadith KUIS ini begitu mudah sekali mengeluarkan “fatwa” mengatakan hadis ini palsu?

    Ketahuilah sidang pelayar sekalian, bahawa memang wujud hadis palsu tentang fadhilat Ramadhan ini.. namun kepalsuannya adalah dari sudut perawi dan rantaiannya. Dari segi matannya masih sahih kerana disokong oleh hadis-hadis lain.

    Sidang pelayar sekalian, janganlah kita mengatakan sesuatu hadis itu palsu hanya kerana mendengar orang lain atau ustaz dari Jabatan Hadis mengatakan ia palsu, jika kita berbuat demikian sesungguhnya kita sudah zalim dengan agama Allah s.w.t.

    Ketahuilah bahawa dalam bidang ilmu hadis ini ada dua mazhab yang berselisihan, ada ulama yang mengatakan bahawa sesuatu hadis itu palsu, dan ada pula yang mengatakan bahawa hadis yang sama itu sebenarnya sahih. Ini dapat dilihat dalam banyak pertikaian antara ulama Feqah , seperti Ibnu Taimiah r.h. dan penyokong-penyokongnya dengan barisan ulama hadis dan tafsir yang diwakili oeh Imam As-Sayuti r.h. Antara isu hadis yang dibahaskan ialah hadis seperti “Barang siapa yang mengenal dirinya, maka kenallah tuhannya”.

    Ibnu Taimiyah r.h. menganggap bahawa hadis itu ialah hadis palsu dan bathil. Dalam satu pihak yang lain, ulama hadis dan tafsir seperti Imam As-Sayuti r.h. pula mengatakan bahawa hadis itu sah! (Sila rujuk tulisan Tuan Guru Hj. Wan Saghir dalam kebanyakan kitabnya).

    Oleh itu, sidang pelayar sekalian.. janganlah disebabkan hanya Ustaz Mohd Hafidz Soroni, Dr. Ahmad Lutfi Abdullah dan mereka yang seangkatan dengan mereka mengatakan bahawa hadis itu palsu, kita semua menghukum hadis itu palsu. Perbuatan ini.. zalim namanya bahkan dari sudut keilmuan, lemah sekali hujahannya.

    Saya nasihatkan kepada siaing pelayar semua supaya timbalah ilmu agama di madrasah, di pondok-pondok dan sekolah agama. Janganlah kita menimba ilmu di internet kerana ilmu di internet itu tidak lengkap. Ini bagi mengelakkan kita daripada mengeluarkan sesuatu hukum yang salah.

    Berbalik kepada hadis yang dianggap palsu di atas, saya juga menyeru kepada semua pelayar supaya rajin-rajinlah ke masjid dan bertarawih, kerana janji-janji Allah s.w.t itu benar, sesungguhnya semua fadhilat Ramadhan (yang tersebut dalam hadis “palsu” di atas) mungkin dianggap terlalu besar pada mata dan kiraan kita, tetapi sebenarnya fadhilat itu terlalu kecil di sisi Allah s.w.t.

    Rebutlah pahala bertarawih dari malam pertama sehingga akhirnya..

    Salam Ramadhan daripada,
    Tablighster

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...