Selasa, 15 November 2011

Lesen Ekspres

CONTOH LESEN : SuMBER GOOGLE

Terpedaya dengan sindiket pemalsuan lesen

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Hanya dengan bayaran RM300, seorang lelaki berusia 21 tahun mendakwa terpedaya dengan sindiket pemalsuan lesen selepas dikesan memiliki dokumen memandu tidak sah.
Lelaki terbabit menunggang motosikal milik rakannya ketika ditahan polis dalam Operasi Samseng Jalan Raya di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, petang kelmarin.
Difahamkan, hasil pemeriksaan mendapati lesen penjawat awam itu palsu dan dia mengakui mendapatkan lesen berkenaan melalui seorang lelaki berusia 40-an di hadapan sebuah sekolah memandu di Selayang di sini.

Dia memberitahu tidak mengetahui lesen miliknya palsu namun rekod Jabatan Pendaftaran Jalan (JPJ) mengesahkan nama dan nombor siri lesen miliknya itu tidak wujud menyebabkan dia ditahan dan motosikal disita bagi membantu siasatan. 


Lelaki itu mendakwa mendapatkan lesen itu lapan bulan lalu ketika menemani rakannya belajar memandu sebelum dia didatangi seorang lelaki yang memberitahu boleh membuat lesen dengan harga RM300 tanpa perlu mengikuti kelas.

Ketua Unit Kuat Kuasa Khas Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Wahid, berkata berdasarkan semakan mengesahkan lesen dimiliki lelaki itu palsu.

“Melalui keterangan awal lelaki terbabit, kami percaya wujud sindiket memalsukan lesen dan berkemungkinan didalangi orang dalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) atas kesalahan memalsukan dokumen dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih setahun,” katanya.

Menurutnya, 260 kenderaan diperiksa dalam operasi bermula jam 7.30 malam itu dan tamat dua jam kemudian dengan 115 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Selain itu, operasi disertai dua pegawai dan 16 anggota itu turut menyita 22 motosikal atas pelbagai kesalahan antaranya penunggang tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh dan menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

Malah, pihaknya juga mengejar sebuah motosikal curi jenis 125Z yang dipandu seorang lelaki lebih 10 kilometer sebelum suspek meninggalkan motosikal berkenaan di tepi jalan dan melarikan diri.

Azmi berkata, operasi terbabit dijalankan dari semasa ke semasa bagi mendidik penunggang motosikal mematuhi undang-undang dan menjadikan jalan raya tempat selamat untuk semua pengguna.
 

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...