Jumaat, 1 Oktober 2010

Bekas tapak masjid dikongsi



Bekas tapak masjid dikongsi

Anggota separa tentera India berkawal di dalam kawasan bersejarah Taj Mahal di Agra, ibu negeri utara India bagi mengawal keselamatan menjelang keputusan Mahkamah Tinggi Allahabad memutuskan mengenai nasib bekas tapak Masjid Babri, semalam. - REUTERS



LAGI BERITA SAMA DI  SINI   ( BEN ASHAARI)




LUCKNOW, India 30 Sept. - Sebuah mahkamah India hari ini memutuskan sebuah tapak suci yang mencetus rusuhan berdarah di seluruh India suatu ketika dahulu perlu dibahagi-bahagikan antara komuniti Islam dan Hindu.
Menurut seorang peguam yang terlibat dalam tuntutan tersebut, masyarakat Islam menyatakan bahawa mereka akan merayu terhadap keputusan mahkamah itu di Mahkamah Agung.
Penduduk Islam menganggap satu kawasan di Ayodhya sebagai tapak bagi Masjid Babri yang dibina pada abad ke-16 yang kemudian dirobohkan puak radikal Hindu, manakala penganut Hindu pula menegaskan ia merupakan tempat lahir bagi dewa mereka, Rama.
Mahkamah Tinggi Allahabad memutuskan kawasan seluas 25.6 hektar itu perlu dibahagi-bahagikan dengan komuniti Islam mendapat satu pertiga kawasan tersebut sementara selebihnya dibahagikan antara dua kumpulan Hindu, kata peguam Ravi Shankar Prasad.
Penganut Hindu akan kekal memiliki kawasan di mana kuil kecil Rama dibina.
"Majoriti memutuskan lokasi kuil itu adalah tempat kelahiran Rama dan ia tidak boleh dipindahkan," katanya.
Mahkamah juga membuat keputusan bahawa status tapak itu perlu diteruskan selama tiga bulan untuk membenarkan ia diukur dan dibahagikan secara aman.
Peguam bagi masyarakat Islam, Zaffaryab Jilani menyatakan kesediaan memfailkan rayuan yang mungkin menangguhkan keputusan akhir mengenai kes itu selama bertahun-tahun.
"Ia bukan kemenangan atau kekalahan mana-mana pihak. Ia adalah setapak maju ke hadapan. Kami harap hal ini akan dapat diselesaikan," tambahnya.
Konflik mengenai hak ke atas kawasan di Ayodhya itu, 550 kilometer di timur New Delhi, mencetus keganasan antara penganut Hindu dan Islam yang meragut beribu-ribu nyawa serta mencabar demokrasi sekular dan kepelbagaian budaya di India.
Kerajaan dan pihak terbabit dengan pertikaian itu merayu agar semua pihak bertenang menjelang keputusan dibuat. Tidak mahu mengambil risiko. Beribu-ribu tentera India membanjiri jalan-jalan raya bagi mengawal keadaan.
Helikopter dilihat berlegar di sekitar bekas tapak masjid itu dengan mereka yang memasuki kuil diperiksa dengan pengesan logam.
Masjid Babri yang dibina pada 1528 oleh seorang maharaja Mogul, Babur sebelum dimusnahkan pelampau Hindu pada 1992, membawa kepada tercetusnya pertempuran di seluruh negara ini yang meragut 2,000 nyawa. - AP

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...