BERANI... Jablon makan dan tidur di dalam kurungan bersama Lea dan Ed. |
BEKAS tentera berusia 42 tahun dan bapa tunggal, Jim Jablon menggemparkan dunia apabila dia berjanji untuk meluangkan masa selama sebulan sepanjang Januari dengan tinggal bersama-sama dua singa di taman hidupan liar diuruskannya iaitu Taman Hidupan Liar dan Pemeliharaan wilayah Hernando di Florida.
Satu gambar yang dipaparkan ini menunjukkan cabaran hari kelima dihadapi Jablon ketika dia menikmati hidangan sekali sehari yang disajikan pada waktu petang untuk makan malam dengan Lea dan Ed yang memakan 14 paun daging mentah. Lea adalah singa Afrika berusia 18 bulan manakala Ed pula 10 bulan.
Setakat ini, masalah terbesar Jablon ialah memastikan seluar panjang dipakainya tidak tertanggal.
MANJA... Lea dan Ed cuba bermain dengan Jablon. |
Setiap kali saya membongkokkan badan, dua singa itu akan menerkam punggung saya. Mereka mencarik seluar saya. Saya sudah menukar enam seluar panjang setakat ini,” katanya.
Jablon juga perlu tidur di atas timbunan rumput kering di ruangan seluas 3,000 kaki persegi dengan ketinggian 12 kaki - atau di tempat yang sukar dicapai dua singa itu jika keadaan semakin membahayakan.
“Saya mungkin perlu membina tempat tidur di atas satu daripada pokok di sini supaya Lea dan Ed tidak dapat menerkam saya jika keadaan memaksa.
“Secara umum, singa akan tidur 18 hingga 20 jam sehari, jadi saya akan memperoleh masa rehat yang panjang.
“Bagaimanapun, saya akan sentiasa berwaspada dan perlu menyediakan satu ruang selamat di penjuru tempat ini jika singa itu menjadi agresif atau saya berasa keadaan semakin membahayakan,” katanya.
Cabaran dilakukan Jablon bertujuan mengutip dana dalam usaha menyelamatkan haiwan yang cedera atau kehilangan ibu bapa bagi memberi mereka peluang kembali ke hutan.
Jablon membuka taman hidupan liar itu pada 1999 dan pada awalnya, dia memberi perlindungan kepada haiwan seperti rakun, rusa yang tercedera, kucing hutan, koyote, ular, helang dan burung hantu.
Namun, haiwan yang dibawa ke situ kemudian semakin bertambah termasuk daripada spesies eksotik - buaya, monyet dan spesies kucing besar seperti singa, harimau, harimau kumbang dan kucing hutan.
Jablon yang berasal dari Long Island, New York cuba memastikan untuk tidak menolak haiwan yang dibawa ke situ dan bergantung kepada bantuan sukarelawan serta anak perempuannya, Chelsey, 13, untuk mengendalikan tempat itu.
Berikutan jumlah haiwan semakin bertambah di taman itu, kos untuk menampung kemudahan di situ juga semakin meningkat seperti makanan dan rawatan perubatan hingga menyebabkan rancangan asal Jablon berubah.
“Saya mencari jalan untuk mengutip dana bagi membantu haiwan di sini dan memastikan mereka hidup gembira, jadi saya terdorong untuk hidup bersama mereka selama sebulan bagi meneliti sifat mereka dan apa yang membuat mereka gembira.
“Saya tidak mungkin dapat meneruskan usaha membantu haiwan di sini tanpa sumbangan orang ramai dan saya berharap masyarakat tahu tujuan saya melakukan cabaran ini. Saya memerlukan bantuan anda semua untuk membolehkan saya menolong semua haiwan ini.
“Namun jika Lea dan Ed sudah besar, saya mungkin tidak dapat melakukan cabaran ini. Saya rasa mereka masih di peringkat pembesaran kerana saya boleh mengawal mereka. Ya, saiz mereka besar dan saya memang perlu berhati-hati.
“Saya juga tidak melatih haiwan di sini untuk bersifat jinak kepada manusia. Saya cuba untuk memberi mereka habitat kehidupan semula jadi dan jika mereka semakin besar tentu saya tidak akan tinggal bersama mereka,” katanya.
Jablon mula tinggal bersama Lea dan Ed pada malam tahun baru lalu dan dijangka keluar dari kurungan haiwan itu pada 31 Januari ini.
Harian Metro
0 Komen:
Catat Ulasan