Khamis, 18 Jun 2015

Jangan gunakan lagi pemain JDT- Tunku Ismail


Kuala Lumpur: Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini meminta pengurusan pasukan kebangsaan tidak lagi menggunakan khidmat pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mewakili negara pada masa akan datang.

Baginda yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berkata demikian berikutan ada pihak yang menyalahkan pemain JDT setiap kali pasukan kebangsaan kalah teruk pada kejohanan bola sepak antarabangsa.

"Ada beberapa pihak menyalahkan pemain Johor Darul Ta'zim setiap kali pasukan kebangsaan kalah teruk.

"Nasihat saya kepada pengurusan pasukan kebangsaan, jangan gunakan lagi pemain pasukan JDT untuk mewakili pasukan kebangsaan pada masa akan datang sebaliknya gunalah pemain yang lebih handal daripada pasukan lain," kata baginda.

Tunku Ismail bertitah demikian dalam laman Facebook JOHOR Southern Tigers, hari ini.

Enam daripada lapan pemain JDT yang tersenarai dalam skuad kebangsaan, beraksi pada perlawanan menentang Palestin yang menyaksikan skuad Harimau Malaya dibelasah 0-6 dalam aksi Kumpulan A kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Mereka ialah Safiq Rahim selaku kapten pasukan, penjaga gol Farizal Marlias, Mohd Fahdli Mohd Shas dan Mahalli Jasuli di bahagian pertahanan serta Mohd Amri Yahyah dan Mohd Safee Sali selaku jentera serangan.

Dua lagi pemain JDT yang tidak beraksi ialah Mohd Nazrin Mohd Nawi dan Putera Nadher Amarhan yang mengalami kecederaan.

Pada perlawanan pertama Kumpulan A, Malaysia sekadar seri 1-1 berdepan Timor Leste sebelum diaibkan Palestin 0-6, malam tadi.

Malaysia akan menentang Emiriah Arab Bersatu pada 3 September dan Arab Saudi (8 September). BERNAMA

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/58427#sthash.ta0kpJrw.dpuf

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...