Khamis, 20 Mac 2014

MH370: Inikah dia yang dicari???

MH370: Inikah dia?

                                      
KUALA LUMPUR: Apakah misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang ghaib daripada radar sejak 8 Mac lalu akan mula terjawab hari ini — pada hari ke-13 usaha mengesannya?

Apakah objek yang dikesan oleh satelit di selatan Lautan Hindi adalah bahagian daripada pesawat Boeing 777-200 itu? Apakah petunjuk kali ini betul dan tidak seperti beberapa petunjuk sebelum ini yang kemudiannya disahkan tidak betul?

Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) mengetuai misi mencari pesawat yang hilang itu di jalur selatan dengan kerjasama Angkatan Tentera Australia, Tentera Udara New Zealand dan Tentera Laut Amerika Syarikat.

Awal hari ini, ia menerima imej satelit yang menunjukkan dua objek yang boleh jadi ada kaitan dengan pesawat yang dicari itu.

"Ini satu petunjuk. Ini mungkin petunjuk yang terbaik yang ada setakat ini," kata Ketua Pengarah Bahagian Kecemasan AMSA, John Young dalam satu sidang media yang jadi perhatian dunia tengahari tadi.


map sar aussie 1

Pelan rancangan laluan NTSB dalam misi SAR MH370



Satu daripada objek itu dikatakan berukuran 24 meter panjang. Objek yang kedua itu lebih kecil. Apakah ini bahagian daripada pesawat MH370? Boleh jadi ya, boleh jadi tidak.

Semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari di jalur selatan itu kemudiannya mengerahkan pesawat dan kapal laut masing-masing ke kawasan carian yang terletak lebih kurang 2,500 kilometer ke barat daya Perth. Sesetengahnya sudah tiba dan beberapa lagi akan sampai dalam waktu yang terdekat.

Sebuah pesawat tiba di kawasan itu pada pukul 10.50 pagi tadi waktu Malaysia. Lima buah pesawat dijadual tiba pada pukul 12 tengahari manakala dua buah pesawat lagi berlepas ke kawasan itu pada pukul 3 petang dan 5 petang.

Sebuah kapal dagang yang kebetulan ada dekat kawasan itu juga menyahut seruan untuk menyertai operasi. Ia dijangka tiba pada pukul 3 petang.

Malaysia sebelum ini mengirimkan dua kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) -- KD Kelantan dan KD Selangor untuk menyertai operasi di jalur selatan.

Perdana Menteri Australia, Tony Abbott menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyampaikan perkembangan terbaru ini pada pukul 10 pagi tadi. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga diberikan taklimat sama oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia.

"Setakat ini, pihak berkuasa Australia masih belum memastikan apakah objek berkenaan ada kaitan dengan misi mencari MH370," kata Hishammuddin dalam satu kenyataan.

map sar aussie 2
Pelan pencarian yang dirancang untuk 19 Mac 2014





Usaha mengesan objek yang dirakamkan oleh satelit itu bukan mudah. Jarak penglihatan di kawasan berkenaan dilaporkan tidak begitu baik biarpun cuaca dilaporkan sederhana. Tetapi setakat ini dunia diberitahu bahawa "inilah petunjuk terbaik".

Beberapa petunjuk sebelum ini terbukti tidak betul dan pada suatu ketika disifatkan sebagai membantutkan tumpuan usaha mencari dan menyelamat. Ada tompokan minyak yang dijumpai di Laut China Selatan yang kemudiannya disahkan bukan daripada pesawat. Ada objek yang dikesan oleh pihak berkuasa Vietnam yang kemudiannya didapati tidak ada kena-mengena dengan pesawat MH370. Ada juga imej satelit yang dikeluarkan oleh China yang kemudiannya diumumkan sebagai "telah tersilap edar". Terakhir, penduduk di Maldives mendakwa melihat pesawat terbang rendah pada pagi kejadian. Itupun tidak benar serta dinafikan oleh tentera dan pihak berkuasa penerbangan Maldives.

Tetapi apakah imej satelit yang diterima oleh pihak berkuasa di Australia ini akan memberikan kita gambaran awal apa yang sebenarnya terjadi kepada pesawat MH370?

"Kita perlu sampai ke sana terlebih dulu, cari (objek itu), lihat dan nilai untuk mengetahui apakah ia bermakna atau tidak," kata Young.


map sar aussie 1
Pelan pencarian yang dirancang untuk 19 Mac 2014



Beliau juga memberi dua peringatan: usaha mencari objek yang dirakamkan oleh satelit itu tidak mudah dan kalau ditemui nanti, ia mungkin tidak ada hubung kait dengan pesawat MH370.
Tetapi setakat hari ini — pada hari ke-13 — operasi mengesan pesawat MH370 yang hilang dengan penuh misteri mendapat petunjuk baru. Adakah ini harinya — selepas kita menunggu selama hampir dua minggu khabar berita pesawat yang hilang itu? Apakah ini yang dicari-cari sejak 8 Mac lalu?
Berita mula diterbitkan pada: Mac 20, 2014 15:30 (MYT)

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...