Isnin, 31 Mac 2014

Pak Lah antara pemimpin dunia diawasi Agensi Keselamatan AS


KUALA LUMPUR: Sebuah akhbar Jerman, Der Spiegel, mendedahkan bahawa mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah antara pemimpin dunia yang diawasi oleh Agensi Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat (NSA).

Der Spiegel mendedahkan perkara itu berdasarkan sebuah dokumen rahsia NSA tahun 2009, yang menyasarkan individu berprofil tinggi dengan sumbernya datang dari bekas ejen Agensi Perisikan Pusat, CIA, Edward Snowden.

Dokumen terbabit mengandungi senarai 122 pemimpin negara yang diawasi dengan Abdullah adalah nama pertama yang tersenarai.

Selain Abdullah, antara pemimpin lain di dalam senarai itu adalah Canselor Jerman, Angela Merkel, mantan Presiden Somalia Abdullahi Yusuf Ahmad dan Perdana Menteri Syria, Bashar al-Assad.

Nama terakhir di dalam senarai itu adalah bekas Perdana Menteri Ukrain, Yuliya Tymoshenko.

Dokumen itu turut mendedahkan nama Merkel diletakkan di bawah pangkalan data TKB, iaitu sebuah agensi pusat yang mengumpulkan data seseorang individu.

Penjelasan dari sumber dalaman NSA, menyatakan bahawa petugasnya dibenarkan menggunakan pengkalan data terbabit untuk menganalisis "profil lengkap" individu yang menjadi sasaran pencarian.

Der Spiegel sebelum ini pernah melaporkan pemberi maklumat perisikan, Snowden mendedahkan bahawa risikan telah dibuat ke atas Malaysia oleh kedutaan Amerika Syarikat dan Suruhanjaya Tinggi Australia bagi memintas maklumat radio, telekomunikasi dan internet.

Susulan itu, Malaysia telah menghantar nota bantahan ke pejabat Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Suruhanjaya Tinggi Australia berhubung dakwaan pengintipan dilakukan di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia pada prinsipnya menentang sebarang kegiatan pengintipan terhadap mana-mana kerajaan kerana ia melibatkan soal kedaulatan negara.


Berita mula diterbitkan pada: Mac 30, 2014 12:53 (MYT)






Read more at:http://www.astroawani.com/news/show/pak-lah-antara-pemimpin-dunia-diawasi-agensi-keselamatan-as-32810?cp

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...