Pengikut

MH370 | Kenyataan penuh sidang media Perdana Menteri

MH370

Petang ini saya telah diberikan taklimat oleh wakil daripada Badan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB). Mereka memaklumkan kepada saya bahawa Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit yang menunjukkan koridor utara dan selatan, telah menjalankan perkiraan lanjut ke atas data berkenaan.

Menggunakan satu bentuk analisis yang belum pernah digunakan dalam siasatan seperti ini, mereka mampu memberikan beberapa petunjuk yang lebih jelas mengenai laluan penerbangan pesawat MH370.

Berdasarkan analisis baharu mereka, Inmarsat dan AAIB merumuskan bahawa pesawat MH370 telah terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang lokasi pendaratan. Oleh itu dengan perasaan yang amat sedih dan terharu, menurut data terkini yang diperolehi, saya ingin memaklumkan bahawa penerbangan pesawat MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi.

Kami akan mengadakan satu sidang media esok (Selasa) bagi memberikan butiran lanjut. Buat masa ini, kami akan terus memaklumkan tentang perkembangan baru ini secepat yang mungkin. Kami berkongsi maklumat ini kerana kami komited kepada keterbukaan dan menghormati ahli keluarga yang terlibat, dua prinsip yang sentiasa menjadi panduan dalam siasatan ini.

Malaysia Airlines sudah berhubung dengan ahli keluarga penumpang dan anak kapal untuk memaklumkan kepada mereka perkembangan terbaru ini. Buat mereka, beberapa minggu lepas merupakan masa yang amat memilukan; saya sedar berita ini akan lebih menyedihkan lagi. Saya menggesa pihak media agar menghormati privasi mereka dan memberikan mereka sedikit ruang yang amat diperlukan di saat-saat sukar seperti ini.

Berita mula diterbitkan pada: Mac 24, 2014 23:27 (MYT)

Read more at:http://www.astroawani.com/news/show/kenyataan-penuh-sidang-media-perdana-menteri-32480?cp
Previous
Next Post »