Jumaat, 19 Jun 2015

Al-Fatihah buat diri sendiri


Machang: “Al-Fatihah buat Nik Rimi,” demikian status aplikasi WeChat Nik Rimi Ikhman Nik Mohd Faizul, 14, yang dikemas kini, Selasa lalu, sebelum meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan di Kilometer 6.8, Jalan Machang-Pasir Puteh, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, Nik Rimi yang menunggang motosikal berseorangan bertembung dengan sebuah motosikal lain ketika cuba memotong sebuah lori.

Akibat kemalangan itu, Nik Rimi meninggal dunia di Hospital Machang, di sini, selepas mengalami pendarahan organ dalaman.

Ibu arwah, Nor Suzila Mohd Nor, 43, berkata, dia tidak menyedari anak keempat daripada enam beradik itu ada mengemas kini status pada aplikasi WeChat dan hanya menyedari perkara berkenaan selepas dimaklumkan oleh salah seorang anaknya yang lain.

“Saya hanya mampu menitiskan air mata membaca status itu kerana masih berat untuk menerima pemergiannya seolah-olah dia mengetahui akan meninggalkan kami buat selamanya.

“Jika dilihat pada komen rakannya, ada yang mengucapkan al-Fatihah kerana menyangka statusnya itu sekadar gurauan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Selising, kelmarin.

Menurut Suzila, arwah seorang yang suka berdikari, ceria dan aktif, namun sejak kebelakangan ini menunjukkan perubahan termasuk mengambil berat terhadap adik-adiknya termasuk berpesan meminta mereka jangan tinggal mengaji al-Quran.

“Selain itu, arwah juga berpesan dia hendak pakai jubah pada hari raya nanti dan tidak mahu baju Melayu,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kemalangan terbabit daripada suaminya yang sempat memangku arwah ketika kejadian sebelum menghantar arwah ke hospital.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, siasatan awal mendapati setibanya di tempat kejadian, mangsa yang datang dari arah Pasir Puteh menghala ke Machang dipercayai cuba memotong sebuah lori dari arah sama.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa bertembung dengan motosikal lain yang ditunggang seorang lelaki berusia 33 tahun dan pemboncengnya seorang wanita berusia 53 tahun dari arah bertentangan.

“Kemalangan menyebabkan mangsa meninggal dunia di Hospital Machang manakala penunggang dan pembonceng sebuah lagi motosikal mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di hospital sama,” katanya.

Loo berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/58699#sthash.FveUQq0P.dpuf

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...