Selasa, 9 Jun 2015

Melihat aib diri bantu bentuk peribadi mulia


Kita ini milik Allah SWT dan kepada Allah SWT kita akan kembali. Firman Allah SWT mafhumnya: "Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu." Selain kembali dengan jiwa yang tenang, setiap individu juga bercita-cita menemui Pencipta dengan hati yang sejahtera atau qalbun saleem iaitu bersih daripada dosa, jauh daripada sifat mazmumah serta bebas daripada syirik sama ada syirik kecil mahupun besar. 

Umpama membersihkan pinggan mangkuk selepas makan, metadologi membersihkan hati juga sama seperti mengenal pasti kekotoran pada pinggan mangkuk. Itulah tamsilan yang cuba digambarkan Ustaz Pahrol Mohd Juoi minggu lalu menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm ketika mengulas tajuk Tahu Aib Diri dengan Ilmu. Membersihkan diri dan hati adalah wajib. Justeru, perlu tahu lokasi dan kaedah membersihkannya.

Sudah menjadi fitrah, manusia sayang dan cinta pada diri sendiri. Buktinya, individu itu perasan diri cantik tatkala melihat cermin. Hakikatnya, melihat cermin ke dalam diri akan melahirkan perasaan baik yang membawa kepada hijab daripada melihat aib diri sendiri, sedangkan titik mula dalam membersihkan hati terletak pada nilaian diri terhadap aib yang sudah sebati, tetapi kewujudannya dinafi. 

Berdoalah agar ilmu diperoleh sepanjang hari menerusi majlis ilmu atau menelaah kitab mahupun buku, ceramah di radio dan televisyen membawa kepada penambahan ilmu yang akan menyedarkan aib sendiri, agar mampu melihat banyaknya dosa yang dilakukan. Sesungguhnya, dosa itu tiada bunyi dan bau. Jika ditakdirkan ia memiliki bau, pasti tiada siapa yang akan mendekat bau busuk dosa itu.


Kenali aib diri.

Imam As-Syafie pernah bersyair dengan penuh rasa rendah hati mengenai dosa beliau dengan tamsilan, bebuih di pantai yang menggambarkan dosa yang terlalu banyak. Jika itu Imam As-syafie, apatah lagi diri kita yang jauh lebih banyak dalam melakukan dosa dan kemaksiatan. Begitu juga sahabat Rasulullah SAW, Hanzalah yang berasa dirinya munafik kerana tatkala berada bersama Rasulullah SAW, beliau berasa iman dan hatinya dekat dan akrab dengan Allah dan Rasulullah SAW, tetapi dirasa berjauhan tatkala kembali bersama isteri dan anaknya. Itulah cara orang terdahulu mengenal dan tahu aib diri. 

Beberapa faedah dapat diperoleh apabila mendalami ilmu iaitu tahu dan dapat mengenal pasti aib diri dan semakin di dalami ilmu itu, semakin terasa kejahilan yang terpahat dalam diri. Seperti ungkapan Imam As-Syafie: "Semakin aku belajar, semakin aku rasakan aku tidak tahu". Maka benarlah rasa tidak berilmu adalah rasa orang yang berilmu. 

Justeru, antara kaedah mengenali keaiban diri adalah berasa kejahilan yang wujud dan mendorong mendapatkan ilmu bermanfaat. 

Dalam episod sejarah kehidupan sahabat, semakin bertambah ilmu, kian bertambah kesedaran akan dosa dan tebalnya kejahilan mereka. Saidina Umar Al-Khatab selepas kewafatan Rasulullah SAW, bertemu seorang sahabat, Saidina Khuzaifah RA yang Rasulullah SAW nyatakan seorang penyimpan rahsia orang munafik. 

Kedatangan Saidina Umar bukan untuk melihat siapa yang munafik agar mudah beliau membetulkan kesilapan individu terbabit, tetapi sebaliknya bertanyakan adakah beliau tergolong di dalam golongan munafik.
 
Begitu hebat keperibadian seorang khalifah yang sentiasa berasa sifat mazmumahnya begitu banyak sehinggakan beliau pernah berkata: "Jika semua orang pergi ke syurga dan hanya seorang yang terhumban ke neraka, aku takut akulah orang itu.

" Hadis Rasulullah SAW mafhumnya: "Akan ada di dalam neraka nanti orang yang akan diseksa dengan seksaan yang paling ringan iaitu dipakaikan kasut atau selipar daripada bara api neraka yang mendidihkan otaknya. Orang ini berasa dialah yang paling berat seksaannya." Justeru jika masih suka mengumpat, fitnah, hati penuh hasad, maka balasannya pasti lebih dahsyat daripada itu. 

Terdapat analogi yang menggambarkan tahap api neraka berbanding yang ada di dunia dengan menyatakan jika orang yang sedang diseksa di dalam api neraka diganti dengan api dunia nescaya dia boleh tertidur berbanding menjerit-jerit kesakitan asbab panasnya api neraka. Allah SWT berfirman mafhumnya: "Jangan menyatakan diri kamu suci kerana Allah SWT lebih mengetahui siapa yang lebih bertakwa." (Surah an-Najm ayat 32). 

Tanda bagi orang yang kenal aib diri. Antaranya, tidak berasa dirinya lebih baik daripada orang lain, tidak sibuk memperkatakan aib orang lain, menyegerakan ibadah. Tidak wujud istilah esok masih ada atau masih ada masa dalam melakukan ibadah. Pasti tatkala diri disahkan berpenyakit kronik, kita tidak akan bertangguh untuk dapatkan rawatan dan mencari penawarnya. Apatah lagi ini bukannya sakit lahiriah tetapi sakit dalaman yang akan mendorong diri untuk bertaubat dan kembali taat kepada Allah. 

Besar cita-cita itu boleh tetapi tidak kepada panjangnya angan-angan kerana kematian itu boleh hadir tanpa ada ruang waktu. Imam Al-Ghazali menerusi Ihya Ulumuddin, menggariskan beberapa perkara untuk kenal diri. 

Proses didik hawa nafsu 

Pertama, perlunya kepada pimpinan guru yang mursyid dalam proses mendidik hawa nafsu.

Kedua, memiliki sahabat salih dan baik yang menyayangi walau tahu kekurangan dan keburukan yang ada pada diri. Sahabat ini mampu memberi teguran dengan kasih sayang sehingga tidak rasa dipersalahkan tetapi berasa bersalah atas kesalahan dan sahabat jenis ini akan mendoakan kala tidak disedari oleh sahabatnya. 

Ketiga, mendengar kritikan daripada musuh kerana kata-kata musuh kebiasaannya kasar dan pedih tetapi benar. Justeru, perlu mahir membezakan antara kritikan benar dengan kecaman dusta untuk mendapatkan manfaat daripada musuh. Akhir sekali, bergaul dengan masyarakat yang merupakan cermin kepada diri.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/59046

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...