Selasa, 9 Jun 2015

Najib temui keluarga polis tidur dalam khemah selepas kuarters retak






RANAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini meluangkan masa melawat anggota keluarga polis yang terpaksa tidur di dalam khemah selepas berlaku retakan kuarters yang mereka huni di Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau akibat gempa bumi Jumaat lepas. 

Najib yang diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meluangkan masa 30 minit melihat sendiri keretakan di bahagian bawah satu daripada kuarters itu. 

Beliau kemudian berjumpa dengan beberapa anggota keluarga polis yang tinggal di dalam khemah sebelum meneruskan lawatan beliau ke Taman Kinabalu di Kundasang bagi mendengar taklimat bencana dan penyerahan bantuan kepada mangsa dan waris gempa bumi. 

Terdapat enam kuarters anggota polis di sini dan tiga daripadanya mengalami kesan retakan teruk akibat gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter pada Jumaat lepas yang melanda Ranau dan beberapa daerah lain.


Berikutan itu ada antara keluarga polis itu tidak yakin keselamatan mereka untuk tidur di rumah pada waktu malam. 

Terdapat 30 keluarga mengambil keputusan untuk tidur di dalam khemah yang didirikan di kawasan lapang berhampiran kuarters tersebut. 

Theresa Anak Edward Radin berkata, mereka menghargai kehadiran Perdana Menteri untuk melihat sendiri kesan gempa bumi dan bertanyakan khabar mereka. 

Beliau berkata, dia bersama suami dan tiga anak, mengambil keputusan untuk tidur di dalam khemah disebabkan masih bimbang dengan keselamatan mereka jika tidur di rumah mereka yang terletak di tingkat tiga satu daripada kuarters anggota polis itu. 

"Saya masih trauma dengan kesan gempa bumi sehingga hari ini dan belum yakin untuk tidur di rumah," katanya. 
Isteri kepada anggota polis bertugas di Bahagian Narkotik itu berkata, ini adalah kali kedua dia merasai gegaran gempa bumi sejak tinggal di kuarters itu sejak lapan tahun lepas.

Katanya, kali pertama dirasai pada tahun lepas tetapi ia tidak menyebabkan sebarang kerosakan dan kesan yang teruk. 

Theresa berkata, dalam kejadian gempa bumi pada Jumaat lepas, dia bersama suami, tiga anak mereka berusia 12, 11 tahun dan 10 bulan berada di rumah. 

Katanya, sebaik gegaran tidak berlaku, mereka bergegas turun ke bawah kerana risaukan keselamatan mereka jika terus berada di dalam rumah. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/60239

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...