Selasa, 9 Jun 2015

Mandian rangsang otak bayi




Memandikan bayi bukan sekadar rutin harian yang dilakukan ibu bapa atau penjaga untuk membersihkan tubuh si kecil. Tanpa disedari, belaian ke atas bayi ketika memandikan sebenarnya dapat membantu proses perkembangan fizikal dan mental mereka.

Ini kerana, perkembangan otak bayi dicetuskan oleh rangsangan pelbagai deria iaitu apa yang dirasa, dihidu, didengar, disentuh dan dilihat mereka. Oleh itu, sentuhan, percakapan dan usapan yang diterima bayi ketika dimandikan ternyata waktu paling sesuai boleh digunakan dalam menjana perkembangan minda mereka.

Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi berkata, komponen utama yang akan menentukan keseluruhan aspek pembangunan dalam diri bayi adalah perkembangan kognitif iaitu proses berfikir.

Perkembangan kognitif bayi perlu dirangsang seawal mungkin berikutan sehingga 85 peratus daripada perkembangan otak mereka dicapai menjelang usia tiga tahun. Pada peringkat ini daya penyerapan kognitif amat tinggi, sistem saraf dan neuron pula berkembang pesat.

“Dalam tempoh usia ini, bayi mula mengenali sisi sebenar dunia menerusi lima deria mereka, bau, sentuhan, rasa, dengar dan lihat. Oleh itu, mereka perlu diperkenalkan dengan aktiviti yang merangsang deria berkenaan sekali gus melatih fungsi perkembangan mental dan fizikal.

“Ada beberapa aktiviti yang boleh kita lakukan sendiri untuk membantu merangsang minda bayi dan waktu mandi boleh menjadi saat terbaik untuk mengajar mereka pelbagai kemahiran asas dengan beberapa teknik mudah. Bermain dengan bayi dan bercakap dengannya ketika waktu mandi adalah cara paling baik untuk merangsang otak bayi kerana mereka banyak belajar daripada persekitaran terutama melalui interaksi antara anda dengannya.

“Setiap kali anda bermain ataupun berinteraksi dengan bayi dan aktiviti berkenaan dilakukan berulang-ulang akan memberi kesan terhadap perkembangan derianya,” katanya ketika sesi perbincangan sempena kempen So Much More anjuran rangkaian penjagaan bayi, Johnson & Johnson di hospital itu, baru-baru ini.

Kempen itu mendorong ibu bapa menjadikan masa mandi sebagai masa yang berkualiti, dipenuhi dengan rangsangan pelbagai deria untuk memupuk keupayaan bayi belajar, berfikir, berkasih sayang dan membesar dengan sihat.

Dalam usaha merintis jalan untuk menjamin penjagaan bayi secara berkesan, Johnson & Johnson menjalankan penyelidikan secara terperinci dalam Sains Deria untuk menggalakkan perkembangan bayi yang ceria dan sihat.

Hasil penyelidikan daripada Sains Deria itu menunjukkan keseimbangan di antara satu amalan biasa dan rangsangan kepada deria dapat menggalak dan mencorakkan perkembangan otak bayi. Proses pembelajaran otak dipertingkatkan apabila pelbagai deria dapat dirangsang, berbanding penggunaan hanya satu deria.

Banyak hasil penyelidikan menunjukkan bahawa rangsangan pelbagai deria penting dalam tiga tahun pertama untuk perkembangan laluan neural yang menyokong komunikasi, kefahaman, perkembangan sosial dan kesejahteraan emosi.

Otak bayi mencipta sehingga 1.8 juta sambungan antara sel (sinap) setiap saat, dan pengalaman ini akan menentukan sinap untuk dikekalkan. Rangsangan pelbagai deria iaitu apa yang dirasa, dihidu, didengar, disentuh dan dilihat oleh bayi membantu memupuk kelangsungan jangka panjang sambungan sinap.

Dalam kajian itu, bayi yang biasa mendapat sentuhan dan belaian ibu bapa atau penjaga yang penyayang adalah 50 peratus lebih berkemungkinan membuat hubungan mata dan mempunyai ekspresi positif secara keseluruhan.

Malah, hasil kajian menunjukkan bahawa bayi yang dimandikan dengan produk mandian berbau harum memperlihatkan 30 peratus lebih keupayaan untuk bermesra dengan ibu bapa mereka selepas mandi dan mengurangkan hampir 25 peratus masa menangis sebelum tidur. Bau yang lazim, seperti bau ibu juga menambah baik mood, ketenangan dan kecerdasan.

Bercakap berulang kali dengan bayi ketika mandi boleh membantu perkembangan bahasa. Hasil kajian menunjukkan bahawa bayi yang lebih kerap diajak berbual mempunyai kosa kata lebih luas apabila mencapai usia 24 bulan.

Bayi turut bertindak balas kepada rangsangan visual dan menunjukkan pemprosesan neuro yang dipertingkatkan apabila dipandang terus atau diberi tumpuan. Ini adalah koordinasi antara mata, tangan dan kemahiran pengamatan yang penting untuk perkembangan sosial.

Pengarah Kumpulan Johnson & Johnson Malaysia Stuart Crabb berkata, jenama terbabit mempelopori sains dan menetapkan piawaian global dalam penjagaan kulit bayi selama lebih 120 tahun.

Pihaknya berpegang pada warisan setiap produk Johnson & Johnson dicipta khusus dengan mengambil kira kepentingan dan keperluan bayi dan menepati piawaian Best For Baby (Yang Terbaik Untuk Bayi).

“Penyelidikan adalah aspek penting kami kerana ia meluaskan sempadan sains untuk merintis kemungkinan baru dalam menambah baik penjagaan bayi sama ada menerusi kefahaman proses perkembangan bayi atau tingkah laku ibu bapa.

“Kini kami membawa komitmen kami ke satu tahap lagi dengan berkongsi hasil penyelidikan kami dengan rakyat Malaysia untuk menambah baik usaha mengasuh generasi masa depan,” katanya.

Bagi menjayakan kempen ini, Johnson & Johnson bekerjasama dengan Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri untuk mengubah persepsi terhadap masa mandi iaitu daripada masa untuk melakukan satu tugas biasa kepada masa untuk menimba pengalaman mesra yang sangat bermakna.

Kerjasama ini membolehkan penambahbaikan kemudahan penjagaan neonatal (bayi baru lahir) di hospital, latihan untuk kakitangan neonatal dan pendidikan dalam kalangan ibu baru mengenai sains deria.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54563#sthash.jqh38bvv.dpuf

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...