Selasa, 16 Jun 2015

Pengurusan berpuasa penghidap kencing manis


Kuala Lumpur: Ramadan hanya beberapa hari saja lagi. Bagi umat Islam, ramai yang sudah mempersiapkan diri secara fizikal dan mental.

Bagaimanapun, bagi penghidap kencing manis beragama Islam, pembatasan pengambilan makanan dan minuman itu boleh menjejaskan kesihatan.

Mereka berisiko mengalami komplikasi seperti hipoglisemia (kandungan gula terlalu rendah), hiperglisemia (kandungan gula terlalu tinggi) dan dehidrasi meningkat apabila berpuasa. Meskipun dikecualikan daripada berpuasa, masih ramai pesakit kencing manis yang mahu menunaikan rukun Islam ketiga itu.

Oleh sebab itu, Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS) Prof Nor Azmi Kamaruddin berkata, pesakit diabetes Islam perlu membuat beberapa penyelarasan atau 'adjustment' sebagai persediaan menghadapi bulan puasa.

FISIOLOGI TUBUH BERUBAH KETIKA BERPUASA

Apabila seseorang menahan diri daripada makan dan minum, perubahan fisiologi tertentu akan berlaku. Perubahan yang berlaku dalam tubuh sebagai tindak balas terhadap aktiviti berpuasa bergantung kepada tempoh berpuasa.

"Tubuh anda akan memasuki fasa berpuasa lebih kurang lapan jam setelah anda menikmati hidangan terakhir, apabila usus anda selesai menyerap semua nutrisi daripada makanan yang anda ambil.

"Ringkasnya, tubuh anda akan mula mengguna sumber glukosa yang tersimpan (gula darah) untuk menjana tenaga, dan pada peringkat selanjutnya dalam tempoh berpuasa akan mula menguraikan lemak tubuh anda sebagai sumber tenaga yang seterusnya," jelas Dr Nor Azmi.

Beliau berkata, pesakit kencing manis menghadapi pelbagai cabaran walaupun ketika berada dalam situasi yang optimum, apatah lagi apabila terpaksa berhadapan dengan situasi yang menuntut lebih daripada kemampuan tubuh mereka.

Kajian Epidemiologi Kencing Manis dan Ramadan (EPIDIAR) menunjukkan peningkatan sebanyak 7.5 kali ganda kemasukan ke hospital bagi pesakit kencing manis jenis dua akibat hipoglisemia yang teruk.

Satu kajian tempatan turut menyatakan bahawa kadar hipoglisemia adalah 1.6 kali lebih tinggi semasa tempoh berpuasa berbanding tempoh tidak berpuasa.

Sementara itu daripada kajian EPIDIAR yang sama, didapati peningkatan sebanyak lima kali ganda akibat daripada hiperglisemia yang teruk, sehingga memerlukan pesakit kencing manis jenis dua dimasukkan ke hospital. Ini mungkin terjadi kerana kesan ubatan yang semakin berkurangan untuk mengawal keadaan itu.

"Sama ada didiagnosis dengan kencing manis jenis satu atau jenis dua, adalah penting bagi pesakit untuk mendapatkan nasihat perubatan sekiranya mereka ingin meneruskan hasrat untuk berpuasa pada Ramadan.

"Ini adalah bagi membolehkan pesakit memahami kaedah bagaimana untuk berpuasa dengan selamat dalam tempoh ibadah yang panjang ini, atau mengetahui kesesuaian berpuasa untuk pesakit bagi kes-kes yang tertentu," jelas Dr Nor Azmi lagi.

PERSEDIAAN SEBELUM PUASA

Sementara itu, Perunding Endokrinologis Hospital Putrajaya, Dr Masni Mohamad berkata, terdapat keperluan untuk mendidik pesakit dan doktor mengenai kaedah pengurusan kencing manis ketika Ramadan bagi mengurangkan komplikasi.

"Umat Islam yang menghidap kencing manis dan ingin meneruskan rukun ibadat dalam Ramadan masih boleh berbuat demikian, tetapi adalah amat penting bagi mereka untuk menerima nasihat dan mengetahui sepenuhnya kaedah untuk berpuasa dengan selamat," jelasnya.

Beliau berkata, Ramadan membuka peluang keemasan bagi pesakit kencing manis untuk menangani keadaan diri mereka dengan lebih baik, bukan sahaja pada bulan tersebut bahkan untuk sepanjang hayat mereka.

Namun mereka haruslah berjumpa doktor beberapa minggu sebelum Ramadan untuk berbincang dan bersiap sedia bagi menghadapi bulan puasa.

Meluangkan masa untuk bertemu doktor akan dapat mengurangkan perasaan tidak selesa akibat daripada kesan sampingan yang mungkin dialami, selain memberi ketenangan fikiran kerana mengetahui bahawa mereka boleh berpuasa dengan selamat.

Bagi doktor pula adalah penting untuk menasihatkan pesakit mengenai risiko hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi dan cara bagaimana untuk mengenal pasti simptomnya serta bila perlu berhenti berpuasa.

"Nasihat lain yang berguna turut meliputi pelaksanaan aktiviti fizikal dan penyesuaian jadual pengambilan ubat," tambah Dr Masni.

PANDUAN KETIKA RAMADAN

Berikutan peningkatan bilangan kemasukan ke hospital pada bulan Ramadan bagi kes kecemasan akibat kencing manis, Kementerian Kesihatan dan MEMS dengan sokongan syarikat perubatan Novartis, telah bekerjasama untuk menerbitkan panduan praktikal bagi menguruskan penyakit kencing manis semasa bulan Ramadan.

Objektif utama usaha ini adalah untuk menyediakan struktur rangka kerja yang akan membolehkan doktor memberi nasihat kepada pesakit mengenai kaedah terbaik yang dapat mereka amalkan bagi mengurus diri dan mengurangkan komplikasi pada bulan Ramadan.

Perunding Endokrinologis Hospital Putrajaya Dr. Zanariah Hussein berkata, panduan itu akan diedarkan kepada semua pakar perubatan yang berkaitan.

"Kami mahu mencapai satu kemajuan dalam pengurusan diabetis semasa bulan Ramadan, yang seterusnya dapat mengurangkan kemasukan ke hospital berhubung kes-kes kecemasan diabetis semasa bulan Ramadan.

"Ini akan memberi isyarat jelas bahawa pesakit menerima dengan baik nasihat dan mengambil langkah-langkah agar mereka dapat melaksanakan ibadah dengan lebih tenang," ulas Dr Zanariah.

-- BERNAMA

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/58092#sthash.7MYooBY0.dpuf

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...