sumber : google |
SEREMBAN 20 Jun - Tiga disahkan maut, manakala lima lagi dilaporkan cedera selepas kesemuanya terbabit dalam kemalangan jalan raya melibatkan lima kenderaan di jambatan Bukit Putus dekat Kilometer 15, Jalan Seremban-Kuala Pilah, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, yang maut ialah pasangan warga emas, L. Muthu, 63, S. Duggamah, 58 dan seorang anggota tentera, Mohd. Hafiz Shamsudin, 27.
Katanya, siasatan awal mendapati kereta Mercedez-Benz yang dinaiki pasangan itu dalam perjalanan dari arah Kuala Pilah menuju ke Serdang, Selangor sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan di atas jambatan Bukit Putus berkenaan.
“Berikutan itu, kereta Mercedez berkenaan telah melanggar sisi sebelah kanan sebuah kereta jenis Proton Pesona yang dinaiki seorang pemuda, Fazrul Anuar Sulaiman berumur 23 tahun.
“Kemudian, kenderaan Mercedez itu telah bertembung dengan kenderaan Proton Wira Aeroback yang dipandu Mohd. Hafiz. Akibat pertembungan itu, kenderaan yang dinaiki pasangan warga emas dan Mohd. Hafiz telah berpusing beberapa kali.
“Pada masa yang sama, kenderaan Mercedez itu telah melanggar sebuah Toyota Hilux yang dinaiki tiga orang termasuk seorang kanak-kanak. Pada masa yang sama juga, Toyota Hilux berkenaan dilanggar oleh sebuah kenderaan lain jenis Viva yang dipandu seorang pelajar Politeknik Shah Alam,’’ katanya di sini hari ini.
Kata Muhamad Zaki, akibat kemalangan itu juga, Muthu dan Mohd. Hafiz disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana tercampak dan tersepit di tempat duduk manakala Duggamah meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.
Sementara itu, mangsa lain, Fazrul; pemandu Viva, Khirul Izwan Md. Yasin, 24; pemandu dan penumpang Toyota Hilux, A. Wiiliam Dass, 34, M. Shareenah, 35 dan seorang kanak-kanak, Daveena Isabel, 1 tahun 6 bulan diberikan rawatan di HTJ kerana mengalami kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/tiga-maut-lima-cedera-dalam-nahas-di-jambatan-bukit-putus-1.105135#sthash.SlmTrJrl.dpuf
0 Komen:
Catat Ulasan