Ramadan adalah bulan yang penuh barakah dan bulan ujian untuk umat Islam. Kesabaran kita diuji dengan menahan lapar, dahaga, menjaga mata, hati dan lidah daripada perkara yang merosakkan pahala berpuasa.
Dalam berpuasa kita akan mendapat faedah kesihatan yang amat baik jika mengikut kaedah berpuasa dengan makan secara betul dan sihat. Pemakanan yang salah dan tidak sihat akan menyebabkan kita tidak mendapat faedah yang maksimum dalam proses kita berpuasa.
Bagaimanakah pemakanan sihat yang patut diamalkan dalam bulan Ramadan? Beberapa panduan umum boleh kita ikuti dan jadikan panduan ketika berbuka, bersahur dan juga makan antara waktu keduanya.
Ketika berbuka, perkara yang utama adalah mengawal jumlah pemakanan yang diambil. Kita perlu mengikut sunah Rasulullah SAW iaitu dengan beberapa biji buah kurma dan minum air kosong.
Kajian saintifik terkini menunjukkan buah kurma sememangnya mempunyai banyak kelebihan daripada aspek kesihatan. Buah kurma amat kaya dengan serat, vitamin, mineral, antioksidan, antikeradangan dan antibakteria.
Kandungan khasiat pemakanan yang tinggi dalam buah kurma amat baik untuk mencegah pelbagai jenis penyakit dan mengekalkan kesihatan yang optimum.
Kurma kaya dengan bahan sebatian fenolik antioksidan seperti pro-cyanidin, tannins, coumaric, ferulic, sinapic dan flavonoids seperti beta karotin, lutein dan zeaxantine.
Semua sebatian antioksidan ini mampu melawan kesan radikal bebas dan boleh mencegah kanser. Bahan flavonoids ini juga boleh meningkatkan imuniti, melawan kesan keradangan dan mencegah mutasi sel.
Kurma juga mempunyai zat besi yang tinggi dan boleh mencegah masalah anemia. Kurma mempunyai kandungan mineral kalium yang tinggi dan amat baik mengawal tekanan darah tinggi.
Di samping itu ia juga mengandungi mineral lain seperti magnesium, kalsium, manganese dan kuprum yang amat penting untuk fungsi metabolisma tubuh manusia.
Buah kurma juga mempunyai indeks glisemik yang sangat tinggi serta cepat meningkatkan paras glukosa dalam darah. Ini amat baik kerana setelah seharian berpuasa paras glukosa dalam darah kita menurun ke tahap yang sangat rendah menjelang waktu berbuka.
Dengan makan makanan berglisemik indeks tinggi, kita dapat memulihkan tenaga dengan sangat cepat dan mengurangkan rasa lapar dengan segera. Kelebihan ini boleh kita manfaatkan untuk mengurangkan jumlah makanan yang kita makan semasa berbuka.
Selepas berbuka dengan kurma dan air, kita perlu menunaikan solat Maghrib terlebih dahulu dan hanya selepas itu kita menjamah makanan yang lebih berat secara sederhana.
Selera kita akan mula berkurangan selepas solat Maghrib kerana paras glukosa darah mula naik disebabkan pengambilan kurma sebelumnya.
Di sinilah hikmahnya kita mengikut sunah Rasulullah SAW kerana kaedah ini akan mencegah daripada makan berlebihan sewaktu berbuka. Jika kita tidak dapat makan kurma kita boleh memilih buah-buahan yang lain atau makanan manis seperti kuih-muih untuk menggantikan kurma dan ini bersesuaian dengan saranan Rasulullah SAW.
Kita tidak digalakkan makan terus makanan yang berat semasa berbuka kerana ini akan menyebabkan kita makan secara berlebihan disebabkan isyarat ‘kenyang’ mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk sampai ke otak.
Oleh itu kita cenderung untuk makan secara berlebihan semasa berbuka. Apabila kekenyangan kita akan ‘tersandar’ dan berasa malas untuk bergerak seterusnya mengganggu ibadah solat.
Sedangkan kita perlu memperbanyakkan ibadah dalam bulan Ramadan. Inilah cabaran ketika berbuka yang perlu kita hadapi untuk mendapat pahala penuh dan keberkatan daripada Allah SWT.
Kita juga perlu minum secukupnya sepanjang Ramadan untuk mengelakkan dehidrasi. Minumlah air mineral atau air kosong secukupnya dan kurangkan minuman tinggi gula.
Minumlah lapan gelas air sepanjang malam dari waktu berbuka hingga ke waktu sahur setiap hari. Elakkan minuman manis seperti teh tarik atau minuman berkarbonat kerana ia mengandungi gula yang sangat tinggi dan boleh menyebabkan kita mengalami masalah dehidrasi ketika berpuasa keesokannya. Ketika bersahur minumlah sekurang-kurangnya dua gelas air mineral.
Apabila bersahur keutamaan kita adalah untuk makan makanan yang boleh membekalkan tenaga dengan lebih lama untuk berpuasa pada waktu siang. Oleh itu pilihan kita adalah makan lebih makanan berserat tinggi seperti beras perang, oat, roti serat penuh.
Jika kita memilih untuk makan nasi putih, kita boleh mendapatkan serat tambahan dengan makan lebih sayur-sayuran, ulam-ulaman dan buah-buahan.
Makan lauk yang dimasak de–ngan santan juga adalah baik kerana kajian menunjukkan lemak atau minyak kelapa atau santan keapa adalah lemak yang sangat sihat. Makan makanan yang bergoreng dan bergaram tinggi tidak digalakkan.
Elakkan meninggalkan bersahur kerana ia adalah makan yang amat penting ketika berpuasa dan mempunyai keberkatan yang dijanjikan. Sahurlah pada waktu yang dekat dengan waktu Subuh dan bukan di tengah malam.
Jika kita ingin makan moreh atau makan pada waktu malam sebelum tidur, jangan berlebih-lebihan atau makan makanan yang berat. Pilih buah-buahan dan kekacang yang lebih sihat.
Jika kita memilih untuk makan kuih-muih kita perlu makan sedikit sahaja. Utamakan beribadah secara maksimum dalam Ramadan dengan bersolat, berzikir, membaca al-Quran dan bersedekah sebanyak mungkin mengikut kemampuan kita, insya-Allah akan menjadi Muslim yang cemerlang selepas Ramadan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/60624#sthash.RXH7KJHY.dpuf
0 Komen:
Catat Ulasan