Oleh Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my
Persepsi kanser servik atau rahim hanya boleh menyerang wanita berkahwin perlu diperbetulkan kerana kenyataan itu meleset sama sekali.
Hakikatnya, kanser servik boleh menyerang sesiapa saja tanpa mengira usia dan paling perlu ditekankan, ia boleh menyerang wanita yang pernah melakukan hubungan kelamin.
Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Jamiyah Hassan berkata, setiap wanita ada risiko mendapat kanser servik.
“Ada yang mengatakan kanser servik hanya menyerang mereka yang berusia emas. Pendapat itu tidak tepat kerana setiap wanita yang pernah melakukan hubungan kelamin berisiko mendapat kanser itu.
“Wanita perlu peka dengan keadaan diri mereka. Jika berasa ada sesuatu yang tidak kena, segera berjumpa doktor bagi mengelak perkara lebih buruk berlaku.
“Mereka yang berusia antara usia 40 hingga 60 tahun adalah paling berisiko. Wanita yang sering bertukar-tukar pasangan, merokok dan mengambil alkohol adalah lebih berisiko,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu, baru-baru ini.
Menurut beliau, kanser servik tidak meninggalkan sebarang gejala atau rasa sakit pada permulaannya.
Kanser ini disebabkan pelbagai faktor, antaranya jangkitan kuman papillomavirus (HPV) iaitu penyakit kelamin, kurang menjaga kebersihan alat sulit, mempunyai ramai pasangan seks, memulakan hubungan seks pada usia muda, merokok dan beberapa sebab lain.
Di Malaysia, kanser serviks adalah barah kedua paling kerap berlaku kepada wanita. Sebahagian wanita menganggap pengambilan suntikan HPV akan membuatkan mereka bebas daripada kanser serviks.
Selain suntikan HPV, wanita dinasihatkan supaya melakukan pemeriksaan pap smear secara berkala sebagai inisiatif mengelak kanser serviks.
“Meskipun pelbagai inisiatif ditawarkan untuk mengesan penyakit ini, masih ramai wanita yang kurang peka dan ambil mudah mengenainya.
“Perasaan takut dan malu sudah ‘sebati’ dalam diri mereka kerana perlu membuat pemeriksaan yang dirasakan terlalu ‘terdedah’. Malah, sebahagian wanita takut menjalani ujian itu kerana sering dimomokkan dengan cerita yang bukan-bukan, termasuk sakit serta mengerikan.
“Sebenarnya ujian itu yang akan membantu pengesanan awal jika wujud kelainan pada alat sulit. Sekurang-kurangnya ia boleh dicegah sebelum keadaan bertambah teruk,” katanya.
Menurut Persatuan Kanser Kebangsaan (NCSM), lebih 11,000 wanita disahkan menghidap kanser serviks atau pangkal rahim setiap tahun, terutama dalam kalangan wanita muda berusia lewat 30-an.
Situasi ini sungguh membimbangkan kerana setiap tahun, lebih 5,000 penghidap kanser serviks meninggal dunia berpunca daripada kelewatan mengesan sel kanser yang merebak ke peringkat akhir.
Kanser servik boleh dicegah jika seseorang wanita itu menjalani kehidupan sihat dan tidak terjebak dengan aktiviti sosial, misalnya minum arak, merokok, memulakan aktiviti seksual pada usia terlalu muda, bertukar-tukar pasangan dan kurang mengambil berat penjagaan kebersihan alat sulit.
0 Komen:
Catat Ulasan