Selasa, 16 Jun 2015

Penangan Kun Anta


Ikut perancangan awal, Malaysia tidak tersenarai langsung dalam rangka promosi album sulung Humood Alkhudher, 26. Namun, selepas video nyanyian berdurasi 15 saat di laman Instagram menjadi viral, populariti penyanyi kelahiran Kuwait ini melonjak naik.

Lagu berjudul Kun Anta yang dinyanyikan berjaya menarik perhatian masyarakat Malaysia. Sejak itu, pelbagai versi rakaman dimuat naik di laman sosial tidak terkecuali pelakon dan pengacara cantik, Neelofa.

“Semua itu tidak dirancang. Apabila saya menerbitkan album sulung mengandungi 10 lagu, sasaran untuk mempromosikan album berkenaan adalah negara Arab. Namun, saya terkejut apabila dimaklumkan lagu Kun Anta sangat popular di Malaysia.

“Saya mula sedar muzik sangat universal dan boleh diterima semua bangsa tidak kira di mana,” katanya.

Humood berkata, lagu yang dimuatkan dalam album berkenan lebih kepada unsur positif dan tidak terhad kepada satu tema sahaja.

Graduan jurusan radio dan TV di Universiti Kuwait itu tidak menolak seandainya digelar ‘one hit wonder’.

“Perkara itu tidak mustahil berlaku. Justeru, menjadi cabaran buat saya dan syarikat rakaman tampil dengan lagu baru untuk terus diminati.

“Mungkin saya akan merakamkan lagu Kun Anta dalam versi Bahasa Melayu atau lagu lain yang sesuai dengan cita rasa peminat di sini,” katanya.

Kongsi Humood, sejak dimuat naik di laman YouTube pada Januari lalu, Kun Anta yang bermaksud Be Yourself sudah mencatat 13,065,717 tontonan.

Menyentuh sisi peribadinya, Humood yang mendirikan rumah tangga empat tahun lalu mengakui berulang alik dari Kuwait ke Boston, Amerika Syarikat kerana isterinya menyambung pengajian dalam bidang Penulisan Kreatif.

“Sebelum berkahwin, saya sudah popular di beberapa negara Arab. Apabila berkahwin, isteri boleh menerima situasi saya sebagai penyanyi.

“Bohonglah kalau dia tidak cemburu, tapi ia bukan masalah besar kerana dia memahami kerjaya saya,” katanya.

Konsert Ku Mohon

Selain menjayakan beberapa persembahan sepanjang berada di Malaysia, Humood turut diumumkan sebagai salah seorang pe­nyanyi yang menjayakan konsert Ku Mohon anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) di Stadium Malawati, Shah Alam pada pada 31 Oktober nanti.

Pengarah Negara IRM, Zairulshahfudin Zainal Abidin berkata, konsert berkenaan mensasarkan kutipan dana RM5 juta dan disalurkan terus ke projek pembangunan dan kemanusiaan dalam negara.

“Selain itu, ia diadakan bagi meraikan 10 tahun penubuhan IRM di Malaysia dan sebagai tanda terima kasih kepada sukarelawan yang banyak mengorbankan masa serta tenaga membantu misi badan bukan kerajaan ini,” katanya.

Zairulshahfudin berkata, pemilihan Humood bukan kerana popularitinya sebaliknya ia berlaku secara kebetulan.

“Ikutkan Maher Zain antara nama yang disenarai, namun tidak dapat turut serta berikutan jadual kerjanya padat. Jadi kami menggantikan tempatnya dengan Humood yang turut bernaung di bawah syarikat rakaman yang sama,” katanya.

Bagi Humood, terpilih menjayakan konsert berkenaan satu penghargaan tertinggi dalam kembara seninya.

“Saya sangat berbesar hati apabila dijemput menjayakan persembahan ini apatah lagi ia anjuran organisasi terbesar dunia. Ini persembahan berskala besar pertama saya di Malaysia,” katanya.

Konsert Ku Mohon membariskan nama besar seperti Raihan dan Akim dari Malaysia, Opick dan Ebiet G Ade (Indonesia) serta Zain Bhikha (Afrika Selatan).

Pihak IRM menjual 9000 tiket kepada orang ramai, persatuan, badan kerajaan dan korporat. Tiket boleh ditempah menerusi laman sesawang www.ticketpro.biz bermula 30 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 12:17 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/57927#foto

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...