Pengikut

Video pendek tema kemerdekaan

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM




“VIDEO pendek yang saya hasilkan ini mengisahkan kepayahan hidup seorang datuk dan cucunya sebelum negara merdeka. “Bagaimanapun, datuk tersebut tidak menjadikan kesusahan itu sebagai penghalang untuk cucunya menyaksikan Hari Kemerdekaan,” kata pengarah video The Call of Freedom, Woo Mun Kit ketika ditemui Kosmo! selepas majlis pertandingan Anugerah Video Merdeka (MAViC) 2010 di UPM.
Menurut Mun Kit, 23, video pendek itu memerlukan masa selama sembilan hari untuk disiapkan sepenuhnya dengan hasil jerih-payah sembilan tenaga kerja.
Ujarnya mengenai cerita arahannya itu, watak datuk tersebut telah melakukan pelbagai pekerjaan semata-mata untuk mencari duit agar mereka berdua dapat menyaksikan detik bersejarah negara ini.
Malangnya, kata Mun Kit, duit yang dikumpul hanya mencukupi untuk melepaskan cucunya menyaksikan detik bersejarah tersebut, tetapi bukan dirinya sendiri.
“Bagaimanapun, si datuk meminta jirannya untuk menemani cucunya. Cucu itu diharapkannya menjadi manusia berguna apabila meningkat dewasa.
“Saya membikin video pendek berkenaan untuk menyampaikan mesej kepada mereka yang lahir selepas merdeka tentang kepentingan menghayati makna kemerdekaan negara,” katanya.
Menyimpan impian menjadi pengarah terkenal suatu hari nanti, Mun Kit turut diumum sebagai Pengarah Terbaik. Hasil karyanya menerima anugerah Konsep dan Skrip Terbaik serta Anugerah Khas Juri untuk Poster Terbaik.
Menyedari kepentingan generasi pelapis dalam bidang perfileman tanah air, Sekretariat Anugerah Merdeka dan Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan pertandingan Anugerah Video Merdeka (MAViC) sempena semangat sambutan ulang tahun kemerdekaan negara baru-baru ini.
Karya terbaik
MAViC 2010 yang bertemakan Aku dan Merdeka turut mendapat kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Astro. Ia diadakan khas untuk mencari 10 karya terbaik pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini meluahkan erti kemerdekaan dalam bentuk visual.
SYAFIKA hampir menitiskan air mata apabila karyanya mendapat tempat naib juara.


Kerja-kerja penggambaran mereka telah pun dimulakan sejak bulan Mei, hinggalah hasilnya dinilai dan diakhiri pada malam anugerah MAViC 2010 yang berlangsung di UPM akhir September lalu.
Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) telah mendominasi kemenangan apabila karya hasil kreativiti pelajar institusi pengajian swasta tersebut membolot lima daripada 11 anugerah dipertandingkan.
UTAR menjadi juara bagi kategori Video Pendek Terbaik menerusi karya bertajuk The Call of Freedom, manakala karya universiti itu yang bertajuk One pula dinobatkan sebagai Pengumuman Khidmat Awam (PSA) Terbaik.
Bagi pengarah juara PSA pula, K. Sarannya, 22, dia sangat gembira dengan kemenangan yang dicapai dalam pertandingan berkenaan.
“Kejayaan yang dicapai akan menjadi pemangkin kepada saya untuk menempa nama dalam industri ini,” katanya.
Hadir pada majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Datuk Dr. Abu Bakar Salleh, Pengarah Eksekutif Sekretariat Anugerah Merdeka, Datuk Khalid Mohd. dan Pengerusi MAViC 2010, Dr. Megat Al-Imran Yasin.
Diminta mengulas mengenai pertandingan tersebut, Khalid berkata, beliau berpeluang menonton karya-karya yang dihasilkan dan berpuas hati dengan hasilnya.
“Memandangkan ini merupakan kali pertama pertandingan seperti ini dianjurkan, adalah tidak adil jika memperkatakan soal mutu. Saya yakin mutu karya akan meningkat.
“Saya berharap MAViC dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha memberi peluang kepada mereka bergelar karyawan muda,” katanya.

BARISAN tenaga produksi The Call of Freedom dari UTAR meraikan kemenangan besar mereka.


Sementara itu, hasil arahan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Syafika Mohd Ghazi, 20 berjudul Titis-Titis Kealpaan diumumkan sebagai naib juara dalam kategori video pendek manakala Cermin Mata Atuk hasil karya Mohd. Rahhiemie Alias, 24 dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam merangkul naib juara PSA.
Ilham pengarahan
Syafika berkata, dia mendapat ilham untuk membikin video berkenaan apabila ternampak keratan akhbar yang melaporkan statistik pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara tidak kembali ke tanah air.
“Saya cuba mengambil idea tersebut dengan menghasilkan sebuah karya mengenai seorang pelajar Malaysia yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Namun, dia tidak menepati janji untuk pulang semula selepas tamat pengajian. Lebih menghibakan, dia terlupa pada permata berharga di tanah air iaitu ibunya yang telah membesarkan agar dia menjadi insan berguna,” katanya.
Lebih menyayat hati, Syafika menambah, apabila pelajar itu pulang ke tanah air segala-galanya sudah terlewat kerana ibunya telah meninggal dunia.
Syafika turut menerima anugerah Bunyi dan Kesan Khas Terbaik serta Suntingan Terbaik untuk video pendek berkenaan.
Selain Titis-Titis Kealpaan, UPM turut menerima Anugerah Khas Juri untuk kategori Mesej Terbaik menerusi video yang bertajuk Lain-Lain.
Sementara itu, Mohd. Rahhiemie mengakui bahawa dia perlu berdepan dengan cabaran membantu pelakon menjiwai watak yang dikehendaki dalam PSA berkenaan.
“Boleh dikatakan pelakon-pelakon yang melakonkan watak dalam PSA ini tidak pernah muncul di kaca televisyen.
ANTARA adegan dalam video pendek Titis-titis Kealpaan.


“Saya perlu membuat kelas lakonan melatih mereka menjiwai watak yang dipegang untuk memastikan keberkesan lakonan mereka,” katanya yang turut memenangi anugerah Sinematografi Terbaik.
Juara dan Naib Juara setiap kategori menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan RM3,000 beserta trofi serta sijil penghargaan.
Bagi Anugerah Cipta iaitu Pengarah Terbaik, Konsep dan Skrip Terbaik, Sinematografi Terbaik, Bunyi dan Kesan Khas Terbaik, Suntingan Terbaik dan dua Anugerah Khas Juri masing-masing menerima wang tunai RM1,000 beserta trofi dan sijil penyertaan.
Pertandingan tersebut menerima sebanyak 177 penyertaan daripada institusi pengajian tinggi di seluruh negara dan ia merupakan satu bilangan yang memberangsangkan kerana melebihi sasaran awal 100 penyertaan.
Kesemua filem yang menang akan
 ditayangkan di saluran Astro Prima pada 13
 Oktober bermula pukul 9 malam.

Previous
Next Post »