Selasa, 5 Oktober 2010

KAEDAH MENGURUSKAN BERAT BADAN

MEMILIKI bentuk badan bersaiz besar dan mengalami masalah kegemukan akibat pola pemakanan tidak seimbang lazimnya menyebabkan rasa rendah diri pada individu berkaitan terutama wanita.
DR HARON...kaedah pintasan gastrik dapat mengurangkan hingga 80 peratus berat badan asal pesakit.
DR HARON...kaedah pintasan gastrik dapat mengurangkan hingga 80 peratus berat badan asal pesakit.
sebelum  -  selepas
BUAH-BUAHAN...amalkan banyak makan buah-buahan.


BUAH-BUAHAN...amalkan banyak makan buah-buahan.
Malah, ada kalanya ia membawa kepada masalah kemurungan melampau akibat perbezaan fizikal yang ketara.
Keadaan ini akhirnya membawa kepada masalah kesihatan seperti obesiti yang boleh mengancam nyawa penghidapnya sekiranya tidak ditangani dengan segera tanpa mengira jantina.
Tapi, bagi sesetengah individu walaupun sudah berusaha untuk mengubah corak pengambilan makanan harian dengan melakukan diet, senaman serta mencuba pelbagai produk pelangsingan di pasaran, hasil yang diperoleh cukup mendukacitakan.
Perunding Surgeri Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr Haron Ahmad berkata, pada ketika ini, pilihan akhir yang boleh diberikan kepada mereka yang mengalami berat badan berlebihan ataupun obesiti adalah menerusi teknik pembedahan bariatrik (pembedahan obesiti).
Menurutnya, rawatan melalui pembedahan ini bertujuan menyekat ataupun mengurangkan jumlah pengambilan makanan yang diambil individu berkenaan.
“Ia dapat membantu pesakit menurunkan berat badan secara sekata dan bukan secara drastik hingga boleh membahayakan nyawa mereka.
“Malah, rawatan ini juga boleh membantu mengekalkan berat badan diperoleh tanpa perlu bimbang ia akan kembali kepada bentuk asal tapi paling penting, pesakit perlu mengamalkan bentuk pemakanan seimbang dan mengutamakan disiplin diri,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.
Katanya, terdapat tiga jenis pembedahan bariatrik yang digunakan iaitu Lingkaran Laporoskopik Boleh Ubahsuai (LAGB), pembedahan Sleeve Gastrectomy (SG) dan pintasan gastrik (GB).

LAGB ialah sejenis lingkaran silikon lembut dengan belon elastik yang boleh menggelembung apabila disuntik mengikut keperluan individu.
Ia akan diikat pada bahagian atas perut dan menjadikannya terbahagi kepada dua bahagian berbeza.
Bahagian kecil yang berada di atas lingkaran berkenaan mempunyai muatan kira-kira 10 mililiter hingga 20 mililiter manakala bahagian besar sedia ada berada di bawah lingkaran.
Rawatan ini tidak memerlukan perut pesakit dibedah ataupun dirosakkan dan ia menyebabkan jumlah pengurangan berat badan menggunakan kaedah ini juga agak ketinggalan berbanding dua rawatan lain.
Di samping itu, melalui kaedah ini, pesakit perlu peka dan memberikan komitmen 100 peratus terhadap segala saranan diberikan doktor kerana ia memerlukan penjagaan rapi dan mereka juga perlu hadir berjumpa doktor secara berkala bagi memantau lingkaran silikon yang diletakkan.
Selain itu katanya, rawatan melalui kaedah Sleeve Gastrectomy (SG) pula memerlukan pembedahan dan pembentukan semula perut dan hasil yang diperoleh akibat pengurangan berat badan sememangnya memberikan kepuasan kepada pesakit.
Ini disebabkan 80 peratus daripada perut asal akan dibuang dan apa yang tinggal hanyalah bahagian yang sebesar sebiji pisang.
Keadaan ini akan menyebabkan pesakit berkenaan mengambil hanya sedikit saja jumlah makanan yang diperlukan kerana kuantiti penerimaan sudah berkurangan.
Malah, melalui kaedah ini, pesakit dapat menurunkan sebanyak 60 peratus daripada jumlah asal berat badan mereka.
Sementara itu, Dr Haron berkata, bagi rawatan menggunakan pintasan gastrik (GB), sekatan dilakukan dengan menghalang makanan daripada terus memasuki perut, sebaliknya dialirkan keluar menerusi tiub luar yang disambungkan terus pada usus kecil.
Sungguhpun begitu, bahagian perut sedia ada masih berfungsi untuk mengeluarkan enzim diperlukan badan. Apa yang terbabit hanyalah aliran penghadaman makanan dipintas agar dapat mempercepatkan rasa kenyang walaupun dengan pengambilan yang sedikit.
Kaedah ini paling mendapat perhatian disebabkan kadar penurunan berat badan pesakit adalah antara 60 peratus hingga 80 peratus daripada berat badan asal selepas melakukan pembedahan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, sebelum sebarang keputusan diambil untuk menggunakan salah satu daripada kaedah itu, keadaan pesakit terlebih dulu akan dinilai secara menyeluruh oleh doktor.
Ini bagi mengelakkan sebarang masalah yang boleh memudaratkan pesakit sekiranya menjalani pembedahan berkenaan.
Dr Haron berkata, pembedahan ini tidak akan dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum sesuatu keputusan untuk menjalani rawatan dilakukan.
“Pesakit perlu memiliki indeks jisim tubuh (BMI) 38 dan ke atas bagi orang Asia, tidak menghidap penyakit yang boleh menyebabkan berat badan berlebihan serta bersedia membuat komitmen seumur hidup untuk tindakan susulan dan mematuhi diet diberikan.
“Pesakit juga perlu mengesahkan mereka tidak memiliki sebarang masalah berkaitan psikologi dan tidak mengambil alkohol ataupun terbabit dalam penyalahgunaan dadah,” katanya.
Oleh itu, katanya, pesakit yang dibenarkan untuk melakukan pembedahan juga perlu berusia antara 18 hingga 60 tahun.
“Ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang komplikasi berbahaya ketika melakukan pembedahan serta rawatan susulan selepas pemulihan.
“Bukan mudah untuk kami menyarankan rawatan dalam bentuk pembedahan ini kepada individu berkenaan kerana pelbagai faktor yang perlu diambil kira untuk keselamatan mereka,” katanya.

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...