Ahad, 31 Oktober 2010

Kemalangan Genting Sempah 2

Pemandu bas tiada lesen memandu

2010/10/31: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Tragedi yang meragut nyawa tujuh remaja manakala 17 lagi parah dalam kemalangan di Kilometer 38 Genting Sempah, Lebuh raya Karak, malam kelmarin membongkar rahsia pemandu bas berusia 40 tahun itu tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Superintendan Che Husin Omar, berkata pemandu bas yang patah kaki serta cedera di muka itu dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kini ditahan untuk siasatan lanjut
“Semalam ketika diambil keterangan, pemandu pertama bas itu mengaku mempunyai lesen memandu tetapi apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan pemeriksaan, didapati dia tidak mempunyai lesen,” katanya ketika dihubungi semalam. Che Husin berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara berbahaya yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


“Polis percaya wujud unsur kecuaian pemandu bas yang memandu laju dan menyiasat sama ada wujud rekod kesalahan lampau.

“Kita juga akan memeriksa kotak hitam bas untuk mengetahui punca kemalangan sebenar selain akan merakamkan percakapan kedua-dua pemandu dan penumpang bas berkenaan,” katanya.

Dalam kemalangan itu, bas rombongan yang dinaiki 44 ahli Belia 4B Kampung Baru Siong, Baling, dilaporkan hilang kawalan ketika menuruni Genting Highlands.

Sebelum itu, pemandu kedua, Abdul Ghani Ahmad, 56, memandu ketika menaiki pusat peranginan berkenaan dan bertukar giliran apabila bertolak ke Kuala Lumpur.

Sementara itu Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata pihaknya menunggu laporan penuh siasatan kes kemalangan itu sebelum mengambil tindakan terhadap pemilik bas, Syarikat Taipan Suria Sdn Bhd.

0 Komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...