Pengikut

Cedera jiwa

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

GANGGUAN emosi turut terjadi walaupun sekadar melihat kejadian ngeri atau insiden buruk

BUNYI ciut tayar kereta sewaktu membrek di luar rumah membuatkan Nina gelisah. Bukan sekali dua dia berkeadaan begitu malah, setiap kali mendengar bunyi tayar berdecit atau melihat paparan kemalangan dalam berita televisyen, tiba-tiba sahaja jantungnya berdegup kencang.

Walaupun terselamat dalam satu kemalangan beberapa tahun lalu, Nina mendapati dia mudah resah, panik dan tersentak sewaktu tidur. Situasi yang berlarutan itu menyebabkan Nina menjadi seorang yang murung.

Mengulas kejadian cedera jiwa yang dialami Nina, Pakar Runding Psikiatri, Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman menjelaskan, apa yang dilalui Nina ialah simptom klasik gangguan tekanan pascatrauma (PTSD).

Jelas beliau, keadaan tersebut berlaku apabila seseorang terdedah kepada satu peristiwa buruk hingga membawa kepada trauma.

Trauma, menurut Daniel, adalah peristiwa yang tidak biasa dialami dalam kehidupan seharian seseorang.



Gemuruh


“Seringkali ia dikaitkan dengan keadaan anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang pernah bertugas di Vietnam dan mengalami pelbagai kejadian dramatik,” katanya yang ditemui di Hospital Pantai Kuala Lumpur baru-baru ini.

KESAN trauma akibat peristiwa mencemaskan mungkin berlarutan sehingga bertahun lamanya. - Gambar hiasan



Sambung beliau, penyebab PTSD mungkin berdasarkan beberapa faktor selepas sesuatu insiden sama ada ia berlaku pada diri sendiri atau hanya melihat insiden tersebut.

Jelasnya, terdapat tiga faktor yang berkait rapat iaitu faktor kecenderungan, pencetus dan kemudaratan.

“Bagi mereka yang datang daripada keluarga yang mempunyai darah gemuruh, kecenderungan untuk mendapat PTSD adalah tinggi.

“ Ini kerana urat saraf yang membawa bahan kimia untuk mengawal gemuruh tidak stabil,” ujarnya.

Selain itu, peristiwa seperti kemalangan atau rogol boleh menjadi pencetus kepada penyakit itu.

Jelas Daniel, bukan luar biasa sekiranya sesuatu insiden yang dipendam selama bertahun-tahun akan tercetus semula.

“Ia umpama api dalam tanah gambut yang menunggu masa untuk marak kembali,” ungkapnya yang turut menyatakan, individu yang mempunyai personaliti pendiam atau suka memendam perasaan berisiko mengalami PTSD.

Jelas Daniel, antara kes yang pernah ditangani olehnya ialah pesakit yang dirogol ahli keluarga terdekat sewaktu kecil.

Perkara tersebut dipendam hinggalah ia tercetus kembali ketika mahu berkahwin atau menjalinkan hubungan dengan seseorang.

“Perasaan trauma akan menghantui individu tersebut kerana ia seolah-olah memantulkan kembali memori silam ketika dirogol walaupun dalam perspektif berbeza,” dedah Daniel sambil memberitahu PTSD boleh tercetus walaupun melibatkan perkara kecil.

ROGOL merupakan insiden klasik dalam menterjemahkan keadaan PTSD terutama apabila ia dilakukan oleh orang yang dikenali. - Gambar hiasan
Termasuk dalam kategori gangguan keresahan, pesakit PTSD juga mengalami serangan panik, kemurungan, cepat berdebar atau gangguan tidur.

Sebenarnya, PTSD mula dikaji selepas tamat Perang Bosnia terutama di kawasan Sebrenica yang menjadi lokasi pembunuhan beramai-ramai.

Kajian dilakukan ke atas wanita yang dirogol oleh tentera Serb di hadapan suami mereka.

Berdasarkan temu bual dan pemerhatian, kebanyakan suami mangsa rogol mengalami PTSD.

“Keadaan tidak dapat berbuat apa-apa membuatkan rata-rata suami mangsa rogol khususnya yang sedang mengandung menghidap PTSD walaupun cuma melihat kejadian tersebut.

“Ia mengambil masa yang cukup lama sebelum mereka menyedari perkara tersebut,” kata Daniel.

Tambah Daniel, keadaan yang sama dialami veteran perang AS di Vietnam atau mangsa kemalangan, mangsa dera atau sesuatu yang melibatkan antara hidup dan mati.


Previous
Next Post »